Thursday, November 17, 2011

HOREY GOL! MALAYSIA MENANG! PADAN MUKA KAU ORANG KALAH!

Nilai Impian | Jumaat | 18.11.2011 |3.30 pagi | Panas

Tanggal 17 November 2011 (Khamis), UCU cukup seronok, cukup gembira, cukup berpuas hati, cukup berbangga dan cukup lega.  Ini kerana pasukan bola sepak Malaysia atau dikenali HARIMAU MUDA menang 1 gol ke atas pasukan bola sepak Sang Geruda dalam Sukan Sea 2011 Palembang-Jakarta.  UCU mulanya tidak lah mengharapkan sangat HARIMAU MUDA menang lebih-lebih lagi bila tengok pasukan Sang Geruda sebelum ini cukup kuat. UCU cuma hendak tengok HARIMAU MUDA main dengan baik kira sudah baik.  Tapi bila tengok dalam TV bagaimana penonton-penonton Sang Geruda tidak menghormati langsung lagu kebangsaan Malaysia dimainkan/ dinyanyikan timbul pelbagai perasaan dalam diri UCU – senang cakap - MARAH yang amat. Mereka betul-betul fanatik yang memalukan diri sendiri – tiada semangat kesukanan, tidak sensitif langsung malah macam orang tidak bersekolah. Sampai terkeluar dari mulut UCU perkataan “B***h betul dia orang ni”. Bila tercakap tu, UCU toleh kiri kanan juga takut didengari oleh anak-anak UCU. Nasib baik anak lelaki UCU sedang tidur.

Perbuatan penyokong-penyokong sang Geruda betul-betul menyakitkan hati UCU.  Patutlah Geruda itu hanya mitos sahaja dalam cerita rakyat. Menampakkan sifat yang ganas dan jahat.   Serta-merta UCU berdoa dan sangat mengharap HARIMAU MUDA menang.  Maka padan muka kalah!.  Kalau boleh kenapa tidak HARIMAU MUDA menang besar. Hentam sampai 5 gol, 6 gol dan 10 gol.  Baru betul padan muka mereka.  Tapi cukuplah maruah negara telah berbayar…puas rasanya.  Sang Geruda tercalar. Nasib baik tidak kena 6 gol.  UCU masa kecil-kecil dulu pernah tonton dalam TV yang pasukan disokong oleh penonton fanatik yang sombong, angkuh dan sempit maruah mereka ini kena 6 gol.  Masa itu muka toya pasukan Sang Geruda keluar padang. Mereka ini betullah menyakitkan hati. Tidak tahulah apa yang mereka sakit hati dengan pasukan Malaysia ini. Kalau diperhatikan dengan teliti mereka ini suka amat bila atlet-atlet Malaysia dalam Sukan Sea kali ini kalah dengan mereka… mereka ‘boo’ mereka ejek, tunjukkan aksi-aksi yang kurang menyenangkan…teruklah mereka ini. Hish! Kalau boleh lah UCU nak kata dan kaitkan kenapa lah orang-orang di Malaysia terutama Melayu ini suka amat tengok cerita-cerita dari negara Sang Geruda ini dan juga minat dengan lagu-lagu serta artis-artis mereka. Malah suka pada mat-mat dan bibik-bibik Sang Geruda ini serta berdangdut. Sebuah negara yang mempunyai rakyat yang tidak tahu menghormati orang lain. Semak lah balik cita rasa pada mereka punya kelebihan itu.  UCU betul kata bertambah meluat lihat mereka ini. Satu bangsa yang sombong, angkuh dan sempit maruah. 

UCU ringkaskan, kita kena patriotik dan tiada tolak ansur kalau maruah kita dicabar atau diperlekeh.  Kita warganegara yang bermaruah dan hidup dalam suasana hormat-menghormati. Cuma UCU nak kata sikit kurang baik, “ padan muka kau orang kalah”….sabar…sabar…sabar.

Salam hormat jua.


-UCU-

Friday, November 11, 2011

HIDUPLAH DALAM KEMAMPUAN

Nilai Impian | Sabtu | 12.11.2011 |6.37 pagi | Panas

Lama betul UCU tidak menulis dalam blog  ini.  Bukannya apa, UCU tidaklah sibuk yang amat tapi agak malas ‘kot’ atau tidak ada rasa terdorong untuk menulis.  Tapi hari ni terdorong pula hendak menulis sesuatu untuk berkongsi pengalaman dan pandangan dengan  siapa-siapa yang sudi membaca nukilan UCU.  Mungkin siapa-siapa itu dari kalangan  adik-adik, abang-abang, kakak-kakak, rakan-rakan sebaya, encik-encik, puan-puan, tuan-tuan, cik-cik, Dato’-Dato’, Datuk-Datuk, Datu-Datu, Tan Sri-Tan Sri, Datuk Seri – Datuk Seri, malah manalah tahu ada juga  kalangan pembaca dari Tengku-tengku, Mantan Perdana Menteri, Perdana Menteri dan Raja-Raja dan Sultan-Sultan…hiss! Kalau lah sampai macam inilah pembaca nukilan UCU maka kiranya tidak sia-sialah UCU menulis sedemikian.  Tapi bagi UCU memadai pada yang sudi membaca nukilan dari pemikiran UCU ini saja. 

Pagi ini tadi UCU teringat ungkapan kata dari abah UCU dalam perbualannya dengan emak UCU. Perbualan itu sudah lama, bertahun-tahun lamanya, masa itu UCU masih baya budak-budak dalam lingkungan umur 7 atau 8 tahun.   Antara ungkapan abah UCU itu, “…kita hidup senang bila kita boleh hidup dalam kemampuan kita…sama sekali tak usaha mengharap orang tolong kita, dan sama sekali tak usaha meminta-minta…selalunya orang ni suka kata tentang orang lain.  Kalau diberi peluang bagi cakap, suka sangat kata apa yang orang lain buat tu tak betul.   Ini tak membantu tapi jadi lebih teruk lagi adalah. ”

 UCU masih ingat lagi kata-kata itu malah suasana pada malam itu.  Abah seperti biasa pada malam hari selepas makan malam bersama emak dan anak-anak akan duduk di pintu tangga di depan rumah sama emak. Pastinya abah akan hisap rokok daun atau paip,  Jadi daun rokok, lopak tembakau dan paip sentiasa di sisi abah.  Tidak lupa secawan air kopi ‘O’ yang dibancuh oleh emak untuk abah.  Suasana samar-samar gelap kerana lampu depan rumah dipadamkan.  Ada ubat nyamuk lingkaran cap Ikan Emas. Cahaya hanya dari lampu jalan dan cahaya bulan.  Selalunya emak dan abah akan duduk depan rumah dalam suasana sebegitu hinggalah antara 9.00 malam hingga 11.00 malam.  Dan UCU akan selalu juga ada bersama mereka ialah kerana UCU kan anak bongsu dan masih kecil.  Sedangkan abang-abang dan kakak-kakak membaca di ruang dapur rumah.  Sekarang ini UCU baru pandai  kata suasana pada masa seperti  itu romantik antara abah dan emak dan masa untuk mereka berbual-bual. Selalunya tajuk perbualan mereka tentang isu-isu anak-anak, tempat kerja abah, keperluan rumah, pencapaian pelajaran anak-anak, keperluan orang tua mereka, sakit pening, hujan, banjir, panas dan ada kalanya tentang cerita-cerita politik pasal Mahathir, Ahmad Rahmat (Tok Mat), Dato’ Harun, Osman Saad dan beberapa orang menteri lagi.  Setiap kali juga abah buat lawak dan menyakat emak.  Cukup dulu, berbalik kepada perkara yang abah ungkapkan itu, UCU berkata kepada diri UCU, “adakah benar apa yang abah fikirkan itu”, dan “adakah itu pegangan abah dalam mencorakkan kehidupan keluarganya”.   Fikir punya fikir, UCU mengakui memang benar apa yang dikatakan oleh abah itu.  UCU percaya itulah pegangan abah yang menjadi dorongan untuk abah membesarkan anak-anak, memenuhi keperluan emak, memenuhi keperluan orang tuanya dan landasan pegangan memastikan keluarganya terus dapat kelangsungan (survival) hidup tanpa menerima akibat kesampingan dari sanak saudara dan masyarakat.    

Bila UCU perincikan memang benar apa yang abah kata, bila UCU memperhatikan dapat dilihat terdapat kalangan individu yang menjalani kehidupan mereka bukan dalam  kemampuan mereka.  Ada di kalangan mereka yang menggunakan kemudahan berhutang kepada perkara-perkara atau barang-barang atau perkhidmatan-perkhidmatan yang tidak perlu.  Ada di kalangan mereka yang mempunyai peralatan-peralatan dan barang-barang tetapi tidak menggunakan sepenuhnya.  Ada di kalangan mereka menagih kasih sayang dari orang lain sedangkan mereka mempunyai sumber kasih sayang dari ibu bapa, suami, isteri dan anak-anak.  Ada di kalangan mereka yang lebih senang bersama kawan-kawan berbanding bersama isteri dan anak-anak sendiri.  Ada di kalangan mereka yang suka memikirkan keperluan orang lain dari memikirkan keperluan diri, isteri dan anak-anak sendiri.  Ada di kalangan mereka yang suka menolong orang lain tetapi kurang peduli menolong isteri dan anak-anak sendiri.  Lebih prihatin penderitaan dan kesakitan orang lain dari merasai prihatin penderitaan dan kesakitan yang dialami oleh ibu bapa, isteri dan anak-anak.  Banyak menghabiskan masa di tempat kerja tetapi kurang banyak menghabiskan masa di rumah atau bersama ibu bapa, isteri dan anak-anak.  Ada di kalangan mereka lebih senang menegur anak orang lain tetapi tidak mempunyai keberanian menegur anak sendiri.


UCU percaya dengan abah kata.  Kalau seseorang individu dapat hidup dalam kemampuan yang mereka miliki pastinya mereka senang.  Senang sebab tidak susah hati kerana tidak berhutang, senang kerana lebih memikirkan keperluan diri sendiri dan keluarga sendiri, senang tidak menyusahkan hidup orang lain, senang kerana cukup duit kerana berbelanja dalam kemampuan, senang kerana tidak susah untuk fikirkan keperluan orang lain, senang kerana tiada sikap untuk bersaing untuk dapatkan harta, senang tidak mencemburui orang lain, senang kerana disayangi ahli keluarga dan pelbagai lagi kesenangan hati yang lain. Bukankah senang kalau difikirkan hanya dalam keperluan diri sendiri dan keluarga.  Kerana bukan senang untuk memenuhi keperluan diri sendiri dan keluarga sendiri.  Jadi tidak usahalah bersusah payah untuk mengadakan sesuatu di luar kemampuan kita untuk memenuhi pandangan dan cadangan orang lain.  Sudahnya diri sendiri yang merana. UCU ringkaskan kemampuan diri kita itu kita sendiri yang tentukan – kita ukur kain di badan sendiri – tidak begitu? Jangan sekali-kali tepuk dada tanya selera, kerana bukan selera kita yang akan menjawab sebaliknya nafsu yang menjawab. Jadi hati-hatilah bila bertanya itu tentang kemampuan kita.  Hiduplah dalam kemampuan yang kita miliki.

Salam hormat jua.

-UCU-