Monday, May 2, 2011

KAHWIN OH KAHWIN, BANYAK REMEH TEMEHNYA, HISS! YER KER? ADA KER?

Nilai Impian | Selasa | 3.5.2011 | 5.30 pagi | Panas
Perkahwinan adalah suatu yang amat mulia kerana dengan perkahwinan akan membolehkan pasangan mendapat memanjangkan warisnya yang lebih baik daripada mereka.  Kahwin bermakna perikatan yang sah antara lelaki dengan perempuan menjadi suami isteri selepas melalui upacara pernikahan yang mencukupi syarat-syarat dalam Islam.  Jadi bila dah kahwin maka ada status suami bagi seorang lelaki dan isteri bagi seorang perempuan.  Bila telah mempunyai anak status bapa bagi suami dan status ibu bagi isteri. Bila dipanjangkan mempunyai cucu maka status datuk bagi bapa dan status nenek bagi isteri.  Begitulah status terus menerus sebagai waris sejarah kepada generasi yang diwarisi.  Tapi bukan UCU hendak membincangkan pasal ikatan perkahwinan itu malah bukan juga pasal waris hasil dari sesuatu perkahwinan.  UCU di sini ingin membincangkan satu pandangan yang ringkas tentang remeh temeh dalam proses hendak melangsungkan perkahwinan bagi pasangan.  Remeh temeh ini adalah datang dari bukan pasangan yang hendak berkahwin tapi dari orang di sekeliling orang yang hendak berkahwin
Yang penting dalam perkahwinan bagi UCU ialah Majlis Ijab Kabul yang mana adalah saat yang penting bagi bagi bakal suami. Bila sebut Sah! Sahaja maka termeterailah ikatan perkahwinan antara diri si suami dengan si isteri. Perlu diingat bahasa tanggungjawab pun terpikul dibahu bukan malam pertama yang utama. Amanah yang besar perlu dilaksanakan.  Namun sebelum Majlis Ijab Kabul dilaksanakan, amatlah berharga dan penting bagi bakal suami isteri mengetahui tentang pengertian dan syarat-syarat yang terkandung dalam Pernikahan bukan remeh temeh berkaitan dengan majlis perkahwinan. Apa dia yang berharga dan penting itu… Akad Nikah! Lah. Jadi kenalah tahu Rukun Nikah ada lima:
·         Ada calon suami yang sudah tertentu.
·         Ada calon isteri yang sudah tertentu.
·         Mesti ada wali
·         Ada dua saksi.
·         Ijab dan kabul.
Rukun nikah ini kenalah fahami, hayati dan diselami dalam-dalam apa yang tersurat dan apa yang tersirat.  Ini kenalah cari dan belajar dalam ilmu perkahwinan dari orang-orang yang faham benar dengan ilmu perkahwinan ini.  Selalu orang kata dengan Ustaz.  Tapi UCU boleh kata dapatkan lah dari orang yang arif soal perkahwinan dari sudut agama dan pengalaman yang baik dari mereka yang berjaya dalam perkahwinan mereka.  
Berbalik kepada soal perbincangan utama UCU ialah ‘remeh temeh’ dalam proses perkahwinan.  Remeh temeh ini antara penyumbang kepada stress kepada pasangan yang hendak berkahwin.  Orang sekeliling selalu menjadi sumber kepada remeh temeh.  Selalulah bila UCU dengari “dah jadi adat”, “sekali dalam seumur hidup”, “nanti orang kata apa pulak kalau tak buat kenduri besar-besaran”, “nanti orang kata kedekut”, “kena lah gren”, “kau kena lah ikut cakap si anu tu”, “kau kenalah bincang dengan Pak Long/Mak Long” dan banyak lagi…hiss yea ker? Ada ker?
Ucu perhatikan emak bapak paling sibuk kerana memikirkan perancangan perkahwinan malah lagi pulak pembiayaan berkaitan dengan kenduri yang hendak diadakan. Aduh, pening kepala dari kecil-kecil punya perkara hingga sebesar-besar perkara… dari pada sarung telur sebagai buah tangan para tetamu hingga kepada ringgit Malaysia yang perlu dibelanjakan.  Yang paling pening yang si bakal berkahwin kerana pastinya kalau-kalau ada emak bapak yang  bernafsu besar hendak buat majlis di luar keupayaan pembiayaan maka anak kena cari duit-duit di mana kau duit. Tapi emak bapak kaya lain lah.  Jadi ada kalanya bila hendak cukupkan duit ada yang buat pinjaman dengan bank…mulalah “yeop…Bank Rakyat aje’  dan kalau lebih teruk ada mungkin pinjam dengan along, kalau dulu ceti. ..hiss yea ker? Ada ker?
Tak lupa juga UCU nak kata adik beradik pun kadang-kadang sibuk juga… ada sibuk bagi pandangan saja, ada yang sibuk mengaturkan perancangan, ada yang sibuk bagi nasihat, ada yang sibuk hendak menolong yang berkahwin, ada yang sibuk berbincang dengan pasangan mereka hendak pakai baju apa, ada yang sibuk berbincang dengan pasangan hendak sumbang berapa ringgit Malaysia, ada yang sibuk hendak menggelak. Tapi ada yang sibuk hendak dengarkan cakap dia sahaja yang betul dengan tidak bagi peluang kepada yang hendak berkahwin bagi pandangan dan ibu bapa yang mengahwinkan anaknya. Kemudian… biasalah dengar “nak beli itu”, “baju warna itu”, “catering lagi senang”, “masak sendiri kerana kita semua boleh masak”, “perlu bersanding”, “pelamin kena ikut tema baju”, “kena jemput semua suadara”, ‘rumah penangak”, dan hiss! Banyaklah lagi lah…hiss yea ker?Ada ker?
Yang lagi satu UCU perhatikan, saudara mara pulak kadang-kadang juga jadi penyibuk daripada membantu.  Kalau dulu dilihat bermufakat yang bagi telur, yang bagi beraslah, yang bagi ayamlah, yang bagi daginglah dan macam-macam yang di bagi malah lagi bagi tenaga gotong royong. Sekarang zaman bagi juga tapi bagi idea yang kadang-kadang bagi stress pada pasangan dan emak bapak yang nak kahwinkan anak.  Apa tidaknya yang ada yang bersuara; “tak apa aku aje masak kenduri kahwin nanti, aku gunakan orang aku”, “hantar nanti guna bas, sebab ramai boleh pergi”, “kita hantar nanti semua baju warna sama ada satu tema”, “hiss! Apa pulak kita hendak dengar orang sana punya cakap, terpulang pada kitalah hendak pakai baju apa dan berapa ramai hendak datang”, “aku tak datang kalau cuma aku dengan isteri aku aje yang dijemput”, “apa ler kau ni, kalau kau ambil si pulan tu lagi baik, kateringnya murah”,  “kenapa ler kau suruh dia masak, aku pun boleh masak”,…hiss yea ker? Ada ker? 
Ada pula yang turut UCU dengar, “siapa budak tu”, “kerja apa budak tu” “sapa mak bapak budak tu”, “hiss..tak sepadan budak tu”, “lah budak tu…tak ada budak lain kerja”. Lagi teruk bila ada kata… “hantaran punya ler mahal…rupa tah apa-apa”,  “boleh bagi makan ke pada anak kau dengan kerja macam tu”, “Yeop yang kau biarkan anak kau nak kahwin dengan budak tu sapa suruh”, “jauh tu…esok mahu anak kau tak balik tengok kau”…hiss yer ker? Ada ker?
Semasa hari majlis perkahwinan lagi pulak boleh tengok, semua orang ria gembira.  Si pengantin lelaki pastinya lepas nikah … pasti dalam hati berkata “SELAMAT”.  Yang perempuan UCU tak tahu ler apa dalam hatinya sebab UCU lelaki…mungkin berkata “AKU DAH KAHWIN”.  Emak bapak, kakak, adik, abang, Pak Long, Mak Long, Pak Ngah, Mak Ngah, Pak Uda, Mak Uda ..dan macam-macam lagi lah pangkat dalam keluarga dan sanak saudara pastinya menunjukkan kegembiraan. Apa taknya semuanya senyum, ketawa, mengilai ketawa dan macam lagi lah kegembiraan yang dipamerkan.  Ada juga DJ, ada karaoke dan kompang. Emak bapak juga kadang-kadang risau juga takut-takut nasi tak cukup bila tengok tetamu tak putus-putus datang dan ramai pulak tu.  Ada juga emak bapak yang risau bila tetamu tak ramai datang.  Ramai atau tak ramai tu pun adalah juga mempengaruhi “salam sangkut” berapa ler jumlah yang dapat?  Tapi pastinya suasana pasti masih mod riang dan gembira. Namun kalau di perhatikan betul-betul dalam celah-celah tu ada juga yang muka masam, mencuncun, tunjuk lagak tak puas hati dan macam-macam lagi juga..kenapa dan mengapa pastinya akan terurai bila selepas majlis biasalah bila rumah siap pahat akan berbunyi. …his yer ker? Ada ker?
Yang lagi best bila tetamu yang terdiri sanak saudara, sahabat handai, adik beradik dan jiran-jiran dan sebagainya ada juga kalangannya yang berkata lepas hadir majlis… “nasi minyak tak sedap ler hangit”, “nasinya tu lembik”, “masak tak sedap ler”, “teruk ler majlis tu, aku tak dilayannya”, “aku tak dapat makan pun, tak ada tempat duduk”, “tempoh hari aku dah cakap jangan catering”, “haram tak diberinya nasi bekal bawa balik”,  “pegantin tu tak lawa…gempal yang pompuan tu, yang lelaki tu tinggi”, “hiss tah apa rupa ler pengantin tu”, “anaknya yang mana tu, tak rupa dia pun…yang ni hitam, dulu kakaknya cantik”,  “tak tahu nak bincang, jadilah macam ni, nasi banyak bazir aje”, ‘tak berkawan dengan orang, mana orang nak datang”…hiss yer ker? Ada ker?
Satu lagi bila habis majlis, mula lah pahat berbunyi, macam-macam yang tak puas hati. Nak kat post mortem tak juga.  Ada yang kata tak jemput dia lah. Ada yang kata bukan seperti yang dirancangkan lah. Ada yang kata dia penat lah. Ada yang kata tak berbincang awal lah. Ada yang kata duit kopi atau duit penat tak dapat lah…macam-macamlah yang berkata-kata.  Mungkin pengantin aje yang kata  “PUAS” yang bermakna.  Emak bapak stress juga kalau dengar perkara-perkara ketidakpuasan hatinya.  Malangnya kata-kata tak menarik ini menjadi sembang-sembang kat kedai kopi, surau, masjid, rumah bila ziarah menziarahi, tepi jalan, dalam telefon dan macam-macam lagi…hiss yer ker? Ada ker?
Cerita-cerita kata atas tadi adalah apa yang UCU perhatikan dan dengar.  Kesihan bin simpati bila banyak cerita-cerita yang buruk diungkit kembali menjadi contoh kepada sapa-sapa yang berminat, sedangkan pengantin dah beranak penak.  Ada lagi yang tak enak bila dikaitkan jika musibah menimpa pada pengantin seperti jodoh tak panjang atau porak peranda  … bercerai, hidup susah dan bermadu…hiss yer ker? Ada ker?
Bukan  UCU nak katalah, berapa orang agaknya bila dengar aje si teruna atau si dara nak kahwin maka terus mereka tadah tangan dan mendoakan yang baik-baik kepada mereka bakal mendirikan masjid itu. Bila tahu emak bapak bakal si anak yang bakal mendiri rumah tangga ada masalah pembiayaan maka paling tidak mendoakan supaya dipermudahkan urusan mereka, malah kalau lebih baik menghulur bantuan yang mengurangkan beban mereka tanpa minta balasan atau mengunkit atau dengan tujuan menunjuk-nunjuk.  Bila ketahuan sesuatu perkahwinan itu, bagi orang sekeliling – adik beradik, sanak saudara, rakan-rakan, jiran-jiran dan sapa-sapa yang berkepentingan – jangan lah sekadar bagi idea yang  mendatang stress hanya kerana sedap bercakap.  Lebih baik diam dan tadah tangan doakan untuk kebaikan keluarga yang hendak adakan majlis perkahwinan itu.  UCU pun nak kata juga bukan kah lebih baik kalau boleh kata “Apa yang boleh aku bantu, manalah tahu kot-kot aku mampu” daripada berkata “kau patut…”, “patutnya…”, “sepatutnya kau..”, “tak patut…” maka banyaknya patut dengan imbuahan ‘se’..patutnya… hiss yer ker?Ada ker?
Yang dah makan atau hadir majlis tu…cukuplah kata ‘Alhamdullilah’.  Kenapa pula hendak dikeji, dihina atau dinilaikan prestasi majlis tersebut…dewasa ini cukuplah dengan slogan 1Malaysia, rakyat didahulukan, prestasi diutamakan. Tak payah lah terbawa-bawa hingga kepada majlis seperti sedemikian yang boleh mengaibkan orang lain.  UCU taklah salahkan mereka tapi itu macam dah jadi budaya masyarakat melayu…tapi ia boleh diubah kerana ia bukan budaya dalam orang yang kata dirinya Islam.  UCU ingat lagi arwah bapa UCU berkata pada arwahnya emak UCU masa mereka duduk beristirehat di tangga depan rumah.. “kalau nak bagi makan ni, baiknya bagi budak-budak. Dia orang tak tak banyak cakap sedap ker atau tak sedap ker.  Kalau tak sedap memang betul tak sedap, tapi jarang sangat dia orang nak kata macam tu”… Arwah bapa UCU pun pernah bergurau dengan arwah emak UCU, katanya “esok kalau anak-anak kita kahwin, kita jamu roti canai aje, jimat … kalau nak jimat lagi buat majlis masa bulan puasa”.  Bila UCU imbau balik gurauan itu, memang ada benarnya juga … kalau bagi jamuan yang sedap-sedap pun jadi kata orang juga, kalau buat masa bulan puasa mungkin dapat menghentikan kata-kata orang kerana bulan puasa bulan yang mulia …INGAT DOSA! Tapi bila dah terkata boleh minta maaf bila Hari Raya Aidilfitri…hiss yer ker? Ada ker?
Putus kata daripada UCU, kahwin oh kahwin,  banyak remeh temehnya.  Pandangan ini hanya sekadar pandangan namun kira ada betulnya jadikanlah sebagai teladan, tapi kiranya ada salahnya maka jadikanlah sempadan.
Salam ikhlas jua.

-UCU-

No comments:

Post a Comment