Friday, May 31, 2013

BERSIH! BERSIH! BERSIH!…TAPI MACAM INIKAH KEBERSIHAN RUMAHTANGGA?

BERSIH! BERSIH! BERSIH!…TAPI MACAM INIKAH KEBERSIHAN RUMAHTANGGA?
Nilai Impian | JUMAAT| 31.05.2013 |11.29 malam| Hujan Renyai

Malam ini tadi lebih kurang pukul 8.30 malam, sedang UCU makan malam bersama isteri berlegar di fikiran UCU satu pertanyaan, “Apa nak jadi dengan Malaysia ini?”.  Wah! Satu pertanyaan yang hebat rasanya muncul di benak UCU. Sebab sebelum persoalan ini timbul dalam fikiran UCU ini.  UCU mengimbas kembali beberapa peristiwa dan pemerhatian UCU dalam perjalanan dan persekitaran UCU.  Apa yang UCU lihat dan terfikir begini adanya sekadar melahirkan perasaan dan pemikiran.  Ramai akan kata positif jangan jadi negatif apabila nampak macam mengkritik.  Tapi ini bukan mengkritik tapi sebagai satu yang UCU fikirkan dan mungkin ramai yang berfikiran sedemikian kerana siapa lah UCU ini. Semua urutan tanggapan UCU bermula dengan pemerhatian dan rumusan dibuat daripada persekitaran terdekat UCU.
Isteri UCU ada ambil pembantu rumah yang kerja sambilan (part time) untuk membantu membersihkan dan mengemas rumah. Sebulan sekali atau dua minggu sekali ikut keperluan. Maklumlah dua-dua bekerja jadi masa amat terhad untuk membersihkan rumah.  Tapi tak bermakna rumah tidak berkemas atau tidak bersih. Hari-hari kemas dan vacuum rumah.  Tapi nak lagi bersih dalam rumah maka UCU setuju adalah orang datang bantu bersihkan rumah – cuci tingkap, korek habuk-habuk di celah-celah lantai dan cuci dapur dengan lebih teliti dan tandas.  Tapi UCU hadkan di ruang luar dalaman sahaja, tidak dibenarkan sama sekali di bilik-bilik tidur dan tandas persendirian.  Bilik dan tandas persendirian adalah tugas ahli keluarga. Tandas tetamu dan bilik tetamu pembantu rumah buat. 
Pembantu rumah ini pada asalnya ambil orang Malaysia, seorang pekerja swasta yang sedang belajar.  Rajinlah juga.  Isteri UCU juga kata bolehlah rajinnya..  Pada akhir bulan lepas (bulan Disember 2012) budak Malaysia ini  sakit maka isteri UCU pun panggil syarikat lain untuk bantu mencuci dan mengemas rumah, beliau seorang Indonesia (Jambi).  Apa yang UCU hendak syer kan di sini ialah pandangan beliau tentang keluarga di Malaysia tentang penjagaan rumah tangga.  Pandangan pembantu rumah ini dilontarkan kepada isteri UCU.  Isteri UCU lah yang cerita pada UCU.  Pandangan pembantu rumah ini mengkhususkan kepada orang Melayu kerana katanya dengan jelas, “aku bukan mahu burukkan keluarga Melayu di sini, aku cari makan pun kerana mereka, tapi untuk pengetahuan Kakak, banyak rumah Melayu yang Islam agamanya yang aku cuci dan kemas, rumah mereka kotor bangat…”.   UCU catatkan secara ringkas apa yang dikomen kan oleh pembantu rumah bertaraf antara bangsa (bertaraf antara bangsa sebab dari Indonesia kan) ini kepada penjagaan rumah tangga keluarga Melayu:
  • Rumah kotor, sampah sarap dalam rumah, berhabuk, berdebu, berlumut, tandas busuk hancing. 
  • Bilik tidur tidak dikemas, kotor dengan habuk, sampah, berbau busuk. Bagaimana suami isteri boleh tidur, atau bersama.
  • Isteri pemalas tidur saja, dapur kotor, tidak mengemas, pinggan mangkuk tidak dicuci.
  • Anak-anak pemalas tidak diajar untuk mencuci dan mengemas,
  • Isteri, suami dan anak-anak keluar pakai cantik-cantik tapi dalam rumah macam tong sampah atau macam tempat pembuangan sampah.
  • Ramai isteri tidak pandai jaga badan. Gemuk. Badan berbau. Malas di rumah.
  • Isteri berdandan bila keluar tapi tidak berdandan di rumah.  Suami ada kemungkinan bosan.

UCU tidak lah terperanjat bila dengar pandangan tersebut.  Memang ada kebenarannya pun bila UCU congak-congak kan. Tapi tidaklah hendak kata apa-apa sangat.  Bila orang luar negara yang kerja cari makan bersihkan rumah orang seperti di Malaysia ini, malu lah pula bila dicakapkan sebegitu tentang keluarga Melayu.  UCU bimbang nanti orang luar kata keluarga Melayu  di Malaysia pengotor… "pengotor bangat". Mungkin ini boleh di fikir-fikirkan untuk penyelidikan di peringkat nasional.  Ingat lah jangan asyik bergaya, bersolek, terkedek-kedek dengan tumit tinggi, Kpop lah, Hallyu (gelombang Korea) dan macam-macam lagi.  Hentikanlah terlalak-lalak dan tunjuk berani di jalan-jalan raya protes sana protes sini. Terjerit-jerit kata sini tidak betul dan sana tidak betul.  Bersihkan lah dalam rumah dulu, bersihkan ruang dalam rumah, dapur, bilik tidur, tandas dan luar rumah.  Baru lah boleh bersihkan perkara yang lain.  Barulah boleh glamour bukan gelama yang bau hanyir.
Tentang bersihkan rumah ini, UCU teringat macam mana arwah Abah UCU buat – dalam rumah mesti hari-hari disapu kerana dulu tidak ada vacuum. Rumput di halaman rumah perlu disabit setiap dua minggu sekali. Abang-abang UCU lah yang kena sabit.  Sabit bukan guna mesin rumput tapi guna sabit manual yang dipanggil ‘sabit’.  Air dalam parit sekeliling rumah kena di sapu tiap-tiap hari.  Kaki lima kena dibasuh dan di sapu boleh kata tiap-tiap hari. Bilik tidur mesti kemas dan bersih, tiada baju kotor, selimut mesti dilipat dan katil di kemas cantik. Semua kasut di tempat kasut mesti berkilat dan tidak berhabuk. Basikal mesti berkilat. Abah memang cukup jaga tentang kebersihan di rumah.  Itulah standard Abah. Anak-anak semua dikerah untuk sama-sama jaga kebersihan. Cara gaya anak-anak pula pastinya mesti berdisiplin dan kemas berpakaian.  UCU juga masih ingat arwah emak berkata, “bila dah berumah tangga nanti jangan pulak lantai berlumut, pinggan mangkuk jangan lak berkakah (kesan kotor tak bersih macam berdaki), esok jangan bini tumit pun berkakah, bini juga jangan biarkan berkemban ke sana sini hingga ke luar rumah”…katanya lagi, “rumah kena bersih, barulah orang nak datang, orang tak geli nak makan minum”. Jadi itulah pandangan dan tindakan abah dan emak menterjemahkan bersih dalam kehidupan dalam keluarga mereka yang dibina. Kepada Abah dan Emak, “terima kasih abah dan emak”… Al-Fatihah buat abah dan emak.
Akhir kata dari UCU, “suci dalam debu tidak diterima sama sekali… teriakan bersih di jalanan tidak diterima sama sekali… terimalah engkau bagai air yang jernih, di dalam bekas tak berdebu”.

Salam hormat jua.

-UCU-

No comments:

Post a Comment