Monday, June 3, 2013

SANA ROKOK, SINI ROKOK, SANA PEROKOK, SINI PEROKOK

SANA ROKOK, SINI ROKOK, SANA PEROKOK, SINI PEROKOK
Nilai Impian | SELASA| 4.06.2013 |1.54 Pagi| Panas

Di Malaysia ada rokok dan ada perokok. Memanglah dan itu semua orang pun tahu. Tapi yang sibuk-sibuk dari dulu sampai sekarang cerita tentang rokok kenapa pula? Dari UCU sekolah darjah satu tahun 70an hingga umur UCU ke senja ini pada abad ke 21 masih ramai pihak yang bercakap tentang rokok. Pi mai pi mai tang tu juga.  Dalam hal ini UCU hendak kongsi juga pandangan tentang cerita rokok yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.
Rokok? Rokok okay. Rokok tidak lakukan apa-apa. Rokok duduk diam saja. Rokok tidak kacau orang. Kalau lilin membakar dirinya untuk menerangi orang lain.  Rokok bakar dirinya juga untuk memberikan suatu rasa kepuasan kepada orang lain juga.  Rokok tidak membunuh manusia.  Tapi sikap yang tidak betul, kesedaran yang dinafikan, dan pengetahuan yang tidak digunakan dalam pertimbangan yang menjadi pilihan manusia untuk menjadikan rokok sebagai alat kepuasan untuk membunuh diri mereka secara perlahan-lahan. Namun, rokok banyak jasanya kepada masyarakat setempat.     Rokok menyumbang kekayaan kepada pengusaha, meningkatkan pungutan cukai dalam sektor peruncitan,  dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara. Namun kenapa rokok perlu dipersalahkan dan ada puak anti rokok. Contohnya dalam kempen – “rokok membahayakan kesihatan”, “rokok punca barah”, “rokok punca keguguran” dan sebagainya…betulkah rokok yang buat demikian.  Kasihan rokok.  Walhal rokok tidak buat apa-apa pun. Rokok kalau lah boleh berkata-kata akan bercakap kepada manusia; “rokok tiada kalau tiada pengusaha rokok, pengusaha rokok tiada kalau perokok tiada”… “guna akai lah brother”.  Senang cakap, “kenapa lah salahkan rokok”.
Bagaimana pula dengan perokok? Perokok tidak okay. Perokok menyumbang kepada pencemaran persekitaran dan menguji tahap kesabaran orang di sekelilingnya daripada marah…jadi Hulk! Perokok sangat melata. Lelaki merokok. Perempuan merokok. Tua merokok. Muda merokok. Dewasa merokok. Remaja merokok. Kanak-kanak merokok. Pekerja merokok. Pelajar pengajian tinggi merokok. Murid sekolah merokok. Menteri merokok. Bukan menteri merokok. Pegawai tinggi kerajaan merokok. Kerani merokok. Peguam merokok. CEO merokok. Ahli-ahli parti pemerintah merokok.  Ahli-ahli parti pembangkang merokok. Budak pejabat pun merokok. Jururawat merokok. Polis merokok. Kastam merokok. Imigresen merokok.  Tentera merokok. Jejaka kacak merokok.  Perempuan-perempuan cantik dan seksi pun merokok. Datuk merokok.  Nenek merokok. Bapa merokok.  Ibu merokok. Cikgu merokok. Banduan merokok. Pengemis merokok. Orang kurang upaya (OKU) pun merokok.  Ahli korporat merokok. Petani merokok. Iman merokok. Bilal merokok. Pak Haji merokok. Pelacur merokok. Gay merokok. Biseksual merokok, orang gila merokok…. Boleh kata mana-mana tempat boleh kita lihat perokok. Toleh kiri ada perokok. Toleh kanan ada perokok. Toleh belakang ada perokok. Toleh depan ada perokok. Pusing 360 darjah pasti dapat lihat perokok-perokok. Perlakuan pula, boleh lihat juga perokok mencampakkan puntung rokok.  Perokok menjentik batang rokok untuk menaburkan abu rokok.  Perokok meninggalkan puntung rokok dalam cawan, gelas, pinggan makan, pasu bunga, parit, kaki lima, tong sampah dan sebagainya.  Lebih tragik lagi bila bara rokok yang di cucukkan kepada anak, bini, suami atau individu lain yang di dera. Setakat ini asap berkepul-kepul keluar mulut atau hidung perokok.  Belum ada lagi kreativiti perokok menghembuskan asap dari lubang-lubang seperti liang roma, lubang telinga, mata, pusat, xxxxx, xxxxx dan lain-lain lubang dari anggota badan mereka. Perokok puas tapi orang yang terpaksa menghidu atau diselubungi asap rokok… “ya rabbi”… ada yang menyumpah dalam hati…paling tidak…”tak sukalah”.
Kalau hendak ceritakan tentang adab dan peradaban tentang perokok dengan yang bukan perokok ini banyak. Boleh perhati lah hari-hari di kedai makan, kedai makan mamak, kedai tom yam, hotel, rumah, pasar, kompleks beli-belah, masjid, di tangga-tangga bangunan pejabat, ruang legar pejabat, majlis kahwin, malah di kawasan parlimen sendiri.  UCU ceritakan sikit beberapa kes yang terkena pada batang hidung UCU sendiri seperti di bawah:
Kes 1:  Petang semalam UCU pergi makan dengan isteri UCU di sebuah kedai makan di Bandar Baru Nilai.  Di sebuah kedai makan nasi kandar yang agak terkenal juga.  Ramai orang makan di kedai makan nasi kandar ini.  Lepas ambil makanan UCU dan isteri cari tempat duduk yang bersih.  Jadi ada lah meja makan kosong di satu sudut yang agak selesa.  Lihat kumpulan pelanggan yang berdekatan duduk sedang asyik makan sambil berbual dan gelak ketawa. Tidak seorang pun yang merokok dan lihat mangkuk habuk rokok pun tiada di atas meja mereka.  Jadi meja makan pilihan UCU dan isteri memang sesuai.   Kipas di siling ligat berpusing laju. Kiranya nyaman lah juga kerana tidak rasa bahang panas tengah hari.  Tidak sampai 10 minit UCU makan, tiba-tiba kelihatan habuk rokok berterbangan di atas meja makan UCU.  UCU lihat kiri dan lihat kanan, tidak ada pula orang merokok.  Bila  toleh ke belakang, lebih kurang setengah kaki jarak dari leher UCU terpacak megah rokok di jari seorang perokok di belakang UCU.  Tiga pemuda baru selesai makan sedang berselera pula menyedut asap dan menghembus asap rokok.  Jari-jari mereka seronok menjentik-jentik batang rokok mereka.  Jadi habuk berterbangan lah.  UCU bersabar untuk marah sebab mereka tiga orang.  Silap-silap bertindak lebam muka UCU atau masuk ICU.  UCU dengan sopan berkata, “Maaf Bang habuk rokok terang ke meja kami.  Kami sedang makan”.  Pemuda yang betul-betul belakang UCU itu tadi tidak jawab apa-apa pun, minta maaf pun tidak, beri maaf pun tidak (sebab UCU ada kata minta maaf).  Dia cuma sebut “uhh!” saja dan betulkan kedudukannya dan bawa tangannya yang memegang rokok ke hadapannya menghala ke pinggan makan beliau…selamba saja.  Dalam hati UCU, kalau UCU macam Bruce Lee mahu UCU ketuk kepala dia.  UCU hendak dengki juga dia…UCU hendak kentut perlahan tapi niat itu UCU hentikan (Tuhan tidak izinkan agaknya).  Lepas itu meja makan sebelah kiri UCU pun sekumpulan budak  muda - 2 budak lelaki 2 perempuan - mula berkepul-kepul di meja mereka dengan asap rokok.  Budak lelaki lah yang hidup rokok.   UCU dengan isteri cepat-cepat makan dengan tujuan hendak selesai makan cepat.  Tapi mereka semua selesai dan bangun dulu.  Mereka ini perokok yang betul-betul tidak ada otak dan sikap tidak betul (senang cakap kurang ajar).  Puntung rokok  di buang ke lantai.  Habuk rokok bertaburan  di lantai.  Di meja belakang dalam pinggan dan gelas dibuangnya puntung rokok mereka.  Yang UCU faham dia orang ini otak di lutut dan pentingkan diri sahaja…lagak tidak bertempat.  Kemudian datang pekerja kedai makan mengemas dan menyapu habuk-habuk rokok.  UCU boleh kata kedai makan ini pun satu juga, tidak tampal tanda di larang merokok di kedai mereka.  Yang UCU faham banyak kedai macam ini kerana bimbang pelanggan akan lari atau takut perniagaan tidak laku.  Tapi kedai ini UCU tengok pekerja lelaki  pun merokok. Maka dua kali lima lah… UCU fikir lah pihak penguat kuasa patut keluarkan arahan semua di premis makan tidak dibenarkan sama sekali merokok.  UCU rasa tidaklah susah sangat pun. Lepas itu pantau lah…dengan buat teguran kepada pemilik kedai kerana membenarkan pelanggan merokok (kalau lagi ekstrem kompaun dikenakan)  dan tegur lah pada perokok kerana merokok di tempat yang tidak dibenarkan… susah kah…Singapura (adik bongsu nakal Malaysia) boleh buat kenapa Malaysia (abang) tidak boleh buat…di Singapura lagi strict gula-gula getah pun tidak boleh makan.  Realisasikan lah semangat Malaysia Boleh!... bukan Malaysia Boleh ker?
Kes 2:  UCU sama isteri, emak mentua dan bapa mentua pergi makan di sebuah kedai makan mamak di Melawati, Ampang.  Kami baru pulang dari menziarahi kematian.  Masuk kedai mamak kami cari tempat yang sesuai untuk duduk makan. Sebuah meja makan panjang yang memuatkan 8 orang jadi pilihan kami.  Kebetulan walaupun orang ramai tapi kami bernasib baik kerana ada meja kosong ketika itu. Kami pun duduk.  Pesanan hidangan sampai, kami pun makan sambil berbual-bual.  Lebih kurang 10 minit kami mula makan seorang lelaki dengan anak lelakinya yang lebih kurang berumur 6 tahun duduk sebelah bapa mentua.  Beri salam pun tidak, senyum pun tidak, menyapa kami pun tidak.  Duduk dengan muka selamba. Tidak lah salah, lantak lah dia dengan hal dia, memang pun 2 kerusi itu kosong. Lepas itu dia keluarkan kotak rokok dari kocek bajunya dan keluarkan sebatang rokok lalu menghisapnya.  UCU perhatikan sahaja.  Tengok kan muka dia bila sedut asap rokok dan hembuskan rokok cukup puas bagi dia.  Dia pun tanya juga pada anaknya hendak makan apa. Anaknya geleng kepala. Hembusan asap kali ketiga, UCU tengok emak mentua dan isteri UCU mula tidak selesa.  Bapa mentua UCU buat tidak endah sahaja.  Perokok ini buat tidak tahu sahaja.  UCU jadi hangat bila dia jentik batang rokok untuk buang habuk rokok dalam bekas habuk rokok.  Berterbangan habuk menghala kepada bapa mentua dan emak mentua.  Begitu juga kepada UCU dan isteri.  Muka perokok masih selamba sahaja. UCU terus bangun dan bergerak ke belakang bapa mentua dan berbisik kepada perokok tadi.  UCU cakap “Maaf tuan, tuan dah kurang ajar dengan kami, tapi saya tidak lah mahu kurang ajar dengan tuan.  Asap rokok dengan habuk rokok tuan mengganggu kami tuan perasaan tidak.  Kalau tuan mahu terus duduk di sini baik tuan jangan hisap rokok.  Kalau tuan hendak terus merokok pergi lah ke meja depan sana.  Jangan lak nanti tuan malu dengan anak tuan. Dan saya malu dengan bapa dan emak mentua saya”.  Perokok tadi tengok muka UCU.  Muka dia merah…marah lah.  Tapi dia diam sahaja.  Dia terus bangun dan pimpin tangan anak dia dan terus jalan.  Lepas tu UCU terus balik semula ke tempat duduk dan sambung makan.  UCU tengok bapa mentua dan emak mentua UCU macam tidak tahu apa-apa, agak tidak perasaan apa yang sedang berlaku.  UCU tengok ada tanda melarang merokok dalam kedai itu.  Tapi pengurus atau pekerja mungkin takut menegur mereka yang merokok atau tanda itu tiada beri makna pada mereka. Pernah juga UCU tengok seorang pekerja di kedai mamak kena maki dengan sekumpulan pemuda kerana melarang mereka merokok…”Apa! Apa! kau bukan orang sini jangan nak tunjuk lagak.  Kau dengan kedai-kedai ni aku bungkus campak ke negara kau.  Kau cari makan sini kau nak tunjuk sial”… pekerja itu diam dan terus berlalu.  UCU dapat perhatikan juga pekerja itu ditarik ke belakang kedai dan kena marah pula dengan pengurus kedai. Pekerja itu mampu geleng-geleng kepalanya sahaja.  Kumpulan pemuda bersahaja duduk di meja selamba sahaja macam tidak ada apa-apa berlaku, malah lagi bising bercakap dan ketawa terbahak-bahak yang dibuat-buat.  Begitu lah…jadi macam mana hendak tegakkan kebenaran di negara ini di kalangan rakyat yang di ketahui dunia sebuah masyarakat berbilang kaum yang berbudi bahasa.
Kes 3:  UCU masih ingat masa itu UCU sekolah darjah 5 di sekolah rendah.  Peristiwa tahun 70an / 80an yang tidak dapat dilupakan ialah bila Cikgu XXX minta anak-anak murid belikan rokok untuknya pada waktu rehat sekolah.  Beliau akan beri duit harga rokok dan lebihkan sikit sepuluh sen upah pada murid yang beli rokok. Murid-murid lelaki cari sahaja peluang untuk belikan rokok untuk Cikgu XXX waktu rehat sebab dapat upah sepuluh sen.  Siapa yang dapat belikan Cikgu XXX rokok dan dapat upah sepuluh sen punya lah rasa bangga dan habis hatilah pada hari itu. Pada suatu hari UCU dipanggil Cikgu XXX di sudut kantin untuk belikan dia rokok. UCU punya lah seronok. Misi UCU pada hari itu di waktu rehat sekolah ialah belikan Cikgu XXX rokok dan lebih hebat dapat habuan sepuluh sen. Sepuluh sen masa itu besar nilainya. Boleh beli satu mee siput berkuah dan air krim Malaysia atau sebungkus nasi lemak (3 kali suap), air sirap cincau sebungkus atau 2 tauhu sumbat  atau beli segulung peletup pistol mainan (pistol letop-letop – terkenal pada masa itu).  Masa itu manalah terfikir soal bahaya atau keselamatan.  Malah keluar dari kawasan sekolah masa waktu sekolah tidak dibenarkan oleh pihak sekolah Jauh kedai dengan sekolah lebih kurang satu kilometer. Tapi kereta masa itu tidaklah banyak, sesebuah kereta lalu di jalan raya selang 10 minit sebuah yang lalu.  Itu pun kereta Fiat lama, Nissan lama, dan Volkswagen lama (kereta katak) dan Volvo. Masa tu Proton Saga, Wira, Waja, Perdana, senang cakap jenama nasional jauh sekali, malah tidak terfikir pun akan ada kereta nasional ini pun. Lori dan bas pun selang satu jam baru ada.  Pengawas sekolah pun tidak berani tangkap sebab tugasan Cikgu XXX.  Malah Cikgu XXX adalah guru pengawas. Lebih-lebih lagi pengawas pun kadang-kadang Cikgu XXX suruh belikan dia rokok. Pernah nampak seorang budak kena tangkap oleh Cikgu lain, lepas budak itu jelaskan Cikgu tadi sengih saja dan lepaskan.  Kalau Guru Besar kesan pun pasti punya tidak “kantoi” sebab mereka berdua ‘geng’.  Cikgu Guru Besar pun bukan ambil tahu sangat… denda cubit pulas bahagian tetek (lelaki bukan perempuan), kalau perempuan cubit di lengan.  Lempang ikut suka. UCU pernah kena cubit pulas di tetek, ‘mak datuk’ sakit tapi UCU tidak bersalah kerana UCU cakap betul dan jujur.  Hukuman yang dikenakan pada UCU pada masa itu tidak sah sebab UCU tidak datang sekolah untuk hari gotong-royong sebab pada hari yang sama arwah Abah sakit masa itu.  UCU cakap, “Abah saya sakit cikgu”, Cikgu Guru Besar ini balas, “Abah awak sakit, jadi awak jadi doktor lah”…tidak sempat hendak cakap dalam hati menjerit “aduh!” kerana tetek telah dipulas. Sekarang kalau di kenang tindakan itu, UCU akan berkata dalam hati, “apa lah pun Cikgu macam ini, kena maki sia-sia dengan anak murid”.   Berbalik cerita beli rokok tadi, misi UCU berjaya pada masa itu dengan jayanya dan dapat sepuluh sen. Selepas puas susup keluar dari pagar sekolah, lalu denai semak samun, dan berlari ke kedai dan berlari balik ke sekolah kerana takut waktu rehat tamat.   Hari itu UCU makan besar, 2 tauhu sumbat UCU dapat beli di kantin.  Itu lah masalah perokok walaupun seorang Cikgu…pentingkan diri dan tidak tahu keselamatan anak orang lain dan disiplin murid.  Kalau diperhalus kan kini, abah UCU sendiri tidak pernah hendak suruh beli rokok walau dia seorang perokok tegar. Jangan kata beli, sentuh rokok pun tidak dibenarkan.
UCU bukan lah mengecam perokok.  UCU sendiri mempunyai kawan-kawan merokok.  Hampir 85% kawan UCU adalah perokok.  Terdapat abang dan anak-anak saudara UCU yang merokok.  UCU harap mereka adalah perokok yang berhemah. Cuma macam mana hendak kata perokok yang berhemah…tiada model atau kajian.  Pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian kesihatan sendiri tidak dapat tunjukkan model perokok berhemah, orang-orang ternama dan orang-orang besar pun tidak dapat tunjukkan model perokok yang berhemah. Kalau tengok lagak arwah abah UCU mungkin boleh fikir-fikirkan…UCU tengok abah tidak pernah merokok dalam rumah dan bilik tidur.  Abah selalu merokok di tangga rumah.  Itu pun malam.  UCU pernah ikut abah ke pejabat dia, dia merokok di belakang pejabat di pokok-pokok bunga. Abah buang puntung rokok dalam parit yang airnya berarus. Abah tidak pula merokok dalam kumpulan. Tidak pernah UCU tengok Abah minta rokok pada orang lain.  Abah juga tidak merokok depan orang tua-tua. Abah berhenti merokok bila dia mula sakit … kalau tidak salah UCU pada tahun 1980. Pesanan arwah abah yang selalu arwah emak ingatkan pada anak-anaknya ialah “jangan jadi macam saya, anak-anak jangan merokok”.  UCU sampai sekarang tak merokok kecuali adalah lah sekali dua sedut asap rokok resdung untuk tujuan perubatan.
Satu lagi UCU tertarik lihat perokok-perokok di Jepun.  Bukan pujian. Hanya berkongsi apa yang UCU lihat.  Perokok-perokok Jepun tidak lagi merokok merata-rata. Mereka pun tidak buang habuk rokok merata-rata.  Bila hendak buang puntung atau habuk mereka akan buang dalam bekas pembuang rokok yang mereka bawa ke sana ke mari. Kalau buang puntung rokok mereka akan buang dalam bekas yang disediakan.  Mereka tidak menghembuskan asap depan orang atau berdekatan orang.  Cuba tengok dalam filem-filem Jepun atau Korea.  Ada tidak adegan-adegan perokok walaupun samseng atau kumpulan gangster …jarang sekali. Kumpulan beruniform di Jepun, mereka langsung UCU tidak nampak yang merokok… polis, bomba, tentera, kastam, imigresen, atendan hospital, pegawai keselamatan, pemandu teksi … tak ada UCU lihat sama sekali mereka merokok.  Itu bukan negara Islam tapi mereka cukup beradab dan menghormati hak orang lain dalam soal rokok ini.
Celoteh sudah banyak… jadi macam mana hendak hapuskan fenomena merokok ini suatu perkara yang tidak mustahil.  Rokok tidak ada bila tembakau tidak ada. Rokok tidak ada kalau pengusaha rokok tidak ada. Rokok tidak ada bila tiada perokok. Perokok tidak ada bila semua perokok mati.  Perokok tidak ada bila rokok tidak ada. Orang bijak pandai kata berikan kesedaran dan ilmu pengetahuan untuk memberi tahu rokok adalah berbahaya.  Persoalannya berkesan kah?  Atau mesti ada soal pengukuhan negatif.  Contoh, bagi penjawat awam mereka tidak boleh merokok , calon pengambilan baru pastikan tidak merokok, pengesahan jawatan mesti pastikan mereka bersih dari merokok, perokok yang sedia ada dalam perkhidmatan mesti melalui program pemulihan hingga mereka tinggalkan tabiat merokok…jadi orang yang besar-besar juga tidaklah boleh merokok termasuk paip atau cerut…ekstrem sangat kah?  Mana lebih ekstrem, perhabiskan duit rakyat buat poster, periklanan, dan tajaan untuk program kempen kesedaran yang tidak tahu perokok akan sedar; atau perhabiskan duit rakyat buat tindakan ekstrem yang kesannya lebih berimpak dan pasti ramai menuruti walau mungkin mendapat penentangan…mungkin kononnya hak asasi manusia.  Tapi orang yang terpaksa sedut asap walau tidak merokok dan melalui hari-hari persekitaran yang kotor dengan habuk rokok mana pula hak asasi manusianya.
Rumusannya, UCU ikut pesan arwah abah “jangan merokok”, dan jangan lah hendak panjang-panjang berbahas memang semua orang tahu merokok itu tidak bagus untuk kesihatan…dan… “ada aku kisah kau hisap rokok, tapi jangan susahkan orang lain brother…betul kan sister?”
Salam hormat jua.

-UCU-

No comments:

Post a Comment