SATU PERISTIWA MEMBAWA ERTI BELAJAR – MENGAJAR – DIAJAR
Nilai Impian | Selasa| 18.06.2013 |3.30 pagi| Panas
Allah S.W.T. menciptakan sesuatu peristiwa yang dialami manusia itu untuk direnungi dan dikaji sebagai suatu pengajaran bermakna. Hari ini (Perhatian: Peristiwa ini berlaku pada 17.06.2013 (Isnin) sehari sebelum, bukan pada pagi ini) selepas menghantar anak UCU ke sekolah, UCU singgah ke sebuah kedai makan di Bandar Baru Nilai (BBN). Kedai makan biasa UCU. UCU suka makan di sini sebab semua makanan yang diniagakan sedap. UCU masuk kedai makan, terus ambil sepinggan nasi, sesenduk pucuk ubi masak lemak, seekor ikan cencaru bakar, sedikit sambal belacan, kicap untuk cicah ikan bakar, dan teh ‘O’ limau ais. Setelah ambil semua luak dan minuman, UCU tercari-cari meja makan. Tengah hari ini ramai pelanggan menjamu selera di kedai ini. Toleh kiri, toleh kanan, UCU ternampak di sudut kiri kedai masih ada meja dan kerusi kosong. Tapi UCU kena berkongsi dengan 2 orang pemuda yang sedang makan. Masa hendak duduk UCU dengan senyuman sapa mereka, “Kosong ker?”. Salah seorang pemuda tadi dengan senyum juga membalas, “Yea kosong”, sambil menunjukkan isyarat tangan mempersilakan UCU duduk. UCU pun duduk.
Selepas membaca doa makan dan membaca Bismillahirrahmanirrahim UCU meneguk sedikit air teh ‘O’ limau ais dan menyuap nasi ke mulut. “Peh! Sedapnya rasa masakan kampung ni, syukur nikmat dari Allah”, UCU berkata dalam hati. Sedang elok suapan kali kedua, seorang pemuda duduk berhadapan ke kanan sedikit daripada UCU. Dia duduk tanpa sapaan, pada 2 pemuda tadi dan pada UCU. Berkata dalam hati UCU, “Budak-budak muda Malaysia sekarang tak ada budi bahasa, tanyalah dulu, atau senyum paling tidak pada orang sekeliling”. UCU diam dan terkata juga dalam hati, “Apa pulak aku nak kisah, dia punya hal lah”.
Selang beberapa minit selepas itu datang tuan punya kedai mengira harga makanan. Selesai pengiraan dibuat, beliau serahkan kertas yang tercatat harga makanan kepada UCU sambil berkata, “Kira semuakan”. Rupa-rupanya beliau kira sekali gus harga makanan pemuda yang duduk kemudian tadi. Pemuda itu kata, “Tidak sekali”. UCU sambil tersenyum kata pada tuan kedai itu, “Tak apa Bang, saya bayarkan sekali”. “Maaf lah saya ingat Abang sekali tadi”, kata tuan kedai. “Ok”, kata UCU.
Lepas itu UCU sambung makan. “Terima kasih Bang”, tiba-tiba pemuda itu bersuara. “Sama-sama, tak apa. Insha’Allah, rezeki awak”, jawab UCU. Lepas itu wujud perbualan antara UCU dengan beliau. Menyedarkan UCU kenapa pemuda itu tidak menyapa kerana beliau bukan orang sini (bukan orang tempatan). Ada perasaan rendah diri dan malu menyapa orang tempatan. Sebab segelintir (tapi ramai juga) orang tempatan yang memandang rendah orang luar yang menjadi buruh di Malaysia. Daripada UCU, “Sedar-sedarlah, ‘agung’ masuuuk………… berapa kepada mereka, brother”. Lebih kurang kata daripada Mat Bangla, Mat/Minah Myanmar, Mat/Minah Vietnam, Mat/Minah Filipina dan Mat/Minah Indon, “Kerja sini bagus…saya mahu beli tanah, mahu beli lembu, mahu beli rumah”, “…kita cari duit sini sebab sini orang banyak wang. Anak-anak orang sini tak kerja pun tak apa, mak bapak banyak wang”…Yang menyedihkan bila Bangla berkata, “..adik manisss..mahu ikut boleh..”… Yang remaja dan belia tempatan pula ramai dah bergaya macam artis K-Pop dan liuk lintuk macam Bobo…dan yang berani melampau pula macam Mat rempit…hampeh!!!. Kalau macam ini lah punya remaja dan belia …soalan untuk karang SPM tahun-tahun mendatang ialah masih kah sesuai ungkapan ini di negara ini iaitu “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” bincangkan.
Berbalik kepada cerita tadi, pemuda itu perkenalkan dirinya. Beliau berasal dari Minang (Minangkabau). Kampungnya di Bukitinggi, Sumatera. Bernama Jafni (bukan nama sebenar dalam cerita UCU ini). Beliau sebenarnya lahir di Malaysia (Negeri Sembilan), tapi masa bayi lagi, nenek beliau bawanya ke Minang. Ibunya di sana. Bapanya di Malaysia. Pernah mohon untuk jadi warganegara Malaysia. Malangnya tiada surat beranak dan bukti beliau dilahirkan di Malaysia. Beliau kerja sendiri sebagai tukang kasut di BBN. Membantu pakciknya. Pendapatan purata sehari RM100.00. Berumur 20 tahun. Fasih berbahasa Melayu campur Bahasa Indonesia. Rupa paras macam Melayu di Malaysia.
Banyak perkara yang dibualkan. Namun, suatu yang menarik tentang beliau yang UCU hendak kongsi kan di sini ialah bagaimana beliau ingin menyempurnakan impiannya. Pada permulaan perbualan kami, pengamatan UCU, Jafni ini seorang yang terpelajar dan mempunyai matlamat hidup. Tekaan dari pengamatan UCU benar. Jafni mengatakan beliau sebenarnya layak untuk masuk ke Universiti di Indonesia. “Saya ada kelulusan sekolah tarafnya sama dengan SPM di Malaysia”, kata Jafni pada UCU. “Saya keluarga susah, ibu ada kata boleh adakan uang untuk saya belajar ke Universitas. Tapi saya tolak. Saya mahu cari wang belanja ke Universitas sendiri” kata Jafni. Beliau telah ada sijil dalam bidang perkapalan; kata Jafni, “Saya ada certificate perkapalan, tapi kalau kerja dengan itu tidak dapat upah yang lumayan. Mahu bagus kerja dan lumayan upah pastinya mahu ke degree atau jauh lagi untuk pendidikan”. Kini Jafni sedang mengumpulkan wang untuk pembiayaannya ke Universiti, katanya “Saya sedang kumpul wang bikin belanja masuk ke Universitas”.
Dalam perbualan UCU dengan Jafni, banyak perkara menarik diperkatakan. Beliau turut mengupas tentang bagaimana seorang jutawan di Indonesia menjadi senang dan berjuang untuk rakyat tempatan untuk menarik mereka menjadi jutawan sepertinya. Jutawan ini seorang Doktor Gigi yang mempunyai perusahaan berkaitan dengan pergigian. Jafni juga nyatakan beliau tidak mahu menjadi ahli politik. Namun beliau mahu menjadi seorang yang patriotik. Beliau berhasrat untuk membantu penduduk tempatan. Beliau juga mengulas beberapa buku yang dibaca yang menjadi motivasi dan mencorak hidupnya. Beliau juga mengatakan bahawa orang Minang adalah bangsa yang tidak mahu makan gaji tapi suka berniaga. Minang adalah kaum yang kuat beragama Islam dan ibarat akar Islam di Indonesia.
Menurut Jafni penduduk Malaysia sepatutnya bersyukur kerana boleh dikatakan segala-galanya mewah. Pendidikan di Malaysia kukuh. Peluang belajar banyak dan terbuka luas. Penduduk Malaysia mampu mendapat pendidikan yang baik. Kepada mereka yang kurang berkemampuan akan mendapat pembiayaan sama ada dalam bentuk biasiswa atau pinjaman. Kerajaan Malaysia sangat membantu rakyatnya. Di Indonesia berlainan, peluang itu ada tetapi persaingan amat tinggi. Faktor bilangan penduduk yang ramai, taburan penempatan, geografi dan keutamaan politik memainkan peranan dalam ke bersaingan peluang individu memperoleh pendidikan di Indonesia.
Jafni menyatakan beliau akan berusaha untuk meningkatkan hidupnya melalui pendidikan. Beliau percaya dengannya. Beliau mendapat nasihat daripada abangnya yang bekerja sebagai buruh binaan… sebagai manusia yang baik adalah belajar, mengajar dan diajar. “Saya akan usaha kumpul wang, pastikan saya dapat dalami bidang yang saya minati, insya-Allah hidup rezeki yang senang, dan boleh bantu orang lain dan keluarga’.
UCU pun sembang-sembang yang berfaedah dan berikan kata-kata semangat kepada beliau. UCU kagum dengan semangat yang beliau ada untuk merubah hidupnya dengan pendidikan. Hal ini membuatkan UCU cukup hormat dengan Jafni ini. UCU kagum juga dengan kematangan beliau berkata-kata dan beliau berfikir sebelum berkata-kata. Jafni ini zahirnya cuma seorang tukang kasut, tapi sebenarnya seorang anak muda yang terpelajar dan mempunyai wawasan. Beliau datang di BBN, Negeri Sembilan mencari rezeki. Rezeki di perantauan orang digali di bawa pulang ke negeri sendiri untuk di belanjakan bagi memperbaiki diri. Benarlah kata orang, “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri”. Bagi UCU, Jafni seorang yang tabah dan UCU mendoakan kejayaan beliau.
Selepas habis bersembang UCU pun membayar harga makanan RM 16.50. Bergerak keluar dari kedai bersama dengan Jafni. UCU bersalaman dan berjalan ke haluan masing-masing. Yang terharu beliau cium tangan UCU ketika bersalaman. “Tak perlu macam ini Jafni”, kata UCU. Balas beliau, “Mana boleh, saya dapat sesuatu yang baik dari abang. Banyak nasihat dan pengajaran dari Abang walaupun sekejap”.
Sepanjang perjalanan balik, di atas motor SYM, di fikiran UCU bermain-main dengan peristiwa tadi tentang Jafni. Semangat dan usaha beliau untuk mencapai cita-citanya. Kesukaran beliau untuk melanjutkan pengajian kerana batasan sejumlah wang perbelanjaan bagi UCU agak memeritkan juga. UCU amati remaja-remaja dan belia-belia di Malaysia yang dapat peluang belajar sangat beruntung. Tapi mengapa ada segelintir besar yang lalai dan melakukan perkara-perkara yang bagi UCU tidak sewajarnya. Di kalangan yang berada di menara gading terpengaruh dan sangat taksub berpolitik, selalu tidak puas hati, memberontak, berarak tidak tentu hala memperjuangkan perkara yang tersangat ideal bukan realiti sebenar, bermewah-mewahan dengan wang saku dan pembiayaan yang diberikan. Malah tak tahu lah apa yang terjadi kalau pendidikan diberikan percuma di negara ini. Mungkin pendidikan mula tiada nilai lagi, kerana senang diperoleh peluang yang diberikan.
UCU setuju dengan pandangan Jafni iaitu bukan mahu politik tapi patriotik adalah lebih penting. Seperkara yang UCU belajar hari ini adalah apa yang diperkatakan oleh abang jafni yang disampaikan dalam perbualan kami iaitu menjadi manusia yang baik adalah “Belajar”, “Mengajar” dan “Diajar”. Satu konsep yang konkrit daripada seorang yang tiada gelaran Doktor Falsafah pun atau berpangkat bergaji besar. UCU sangat setuju. Malam ini UCU akan fikir-fikirkan dengan mendalam cetusan konsep ini..mungkin suatu hari nanti UCU akan menulis buku tentang konsep BELAJAR, MENGAJAR dan DIAJAR untuk menjadi insan yang baik di muka bumi ini.
Dalam hal ini juga UCU ingat pesan arwah emak, “…Belajar betul-betul, bila dah pandai boleh masuk U (Universiti) lepas tu boleh kerja gaji empat angka”. Arwah abah juga pernah kata “…dalam kelas dapat nombor 1, nombor 2 bagus, tapi perangai kenalah baik juga”, kata abah lagi “…pergi sekolah belajar bukan main”. Bagi UCU arwah emak dan arwah abah sangat pentingkan anak-anaknya belajar. Cuma mungkin mereka tiada dapat pendedahan. Pada ketika itu ahli-ahli keluarga terdekat belum ada yang berjaya hingga ke menara gading dan kerja bergaji besar. Maka arwah emak dan abah terbatas cara bagaimana mereka mengaturkan dan mencorakkan anak-anaknya dalam pendidikan. Apa yang mereka buat, malam anak-anak disuruh baca buku. Televisyen hanya boleh tonton pada hari cuti. Dulu tiada tuisyen. Malah perkhidmatan tuisyen adalah kos atau suatu yang membebankan keluarga. Hal ini kerana pendapatan yang kecil yang diutamakan perbelanjaan asas seperti makanan dan pembayaran bil-bil seperti air, elektrik, cukai dan rutin lain. “Gaji abah dulu RM200 aje, cukup untuk besarkan kau orang semua…”, kata arwah emak pada satu ketika dulu. Suatu perkara yang kadang-kadang terpacul dalam fikiran UCU, iaitu kata keramat arwah emak, “..belajar untuk jadi orang…”. Kata keramat arwah abah pula, “…saya tidak tinggalkan apa-apa untuk anak-anak, kecuali pendidikan yang mereka dapat”. Malam ini UCU menguatkan tekad akan belajar dan terus belajar sama ada secara formal dan tidak formal…UCU perlu BELAJAR, perlu MENGAJAR, dan perlu DIAJAR untuk menjadi insan yang baik…semoga UCU sentiasa dipertunjukkan ke jalan yang lurus.
Akhir kata dari UCU … Memburu Impian:
Ku jejak
jalan yang berliku
membara jiwa ku
memburu impian
Ku renang lautan gelora
biarpun tersadai
di hujung dunia
akan ku tempuhi segala rintangan
biarpun rebah ku bangun sendiri
Akan ku genggam biarpun hitam
menjadi milik mu...
Ku mula
dengan langkah ini
menuju sinaran abadi
Salam kemaafan jua.
-UCU-
No comments:
Post a Comment