Saturday, June 22, 2013

TAHUKAH PENCEMARAN ITU TINDAKAN JIRAN LAH

TAHUKAH PENCEMARAN ITU TINDAKAN JIRAN LAH 
Nilai Impian | Sabtu| 22.06.2013 |3.51 petang| Panas dan Jerebu

Pada hari ini Berita Nasional TV1 mewartakan Nilai, Seremban dan di beberapa tempat lain persekitaran tidak sihat. Jerebu akibat dari pembakaran hutan di Indonesia. Kerajaan Malaysia telah meminta kerjasama jiran Malaysia ini malah “Abang” Malaysia untuk berbuat sesuatu. “Abang” kata perkara ini akan disiasat.  Kemudian iklan kesedaran di TV1 disiarkan tentang  jerebu meminta penduduk Malaysia perlu banyak minum air, cuci muka dan kurangkan aktiviti di luar rumah. Kemudian itu Berita Nasional TV1 menyiarkan secara lintas langsung tentang program Floria, Putrajaya.  Mempromosi dan mengalu-alukan orang datang beramai-ramai ke program tersebut.  Anak UCU tanya, “Tadi berita kata jangan keluar rumah, kurangkan aktiviti di luar sebab jerebu yang tidak sihat. Apa ni Abah. Mana satu yang betul ni”.  UCU pun jawab, “Abah pun confuse”.   

Dalam hal ini, apa yang UCU hendak perkatakan hari ini ialah pencemaran akibatkan daripada tindakan jiran-jiran. Mungkin isu jerebu ini besar isu nasional yang melibatkan kerajaan dan perhubungan luar dua hala. Namun satu isu yang dianggap remeh oleh ramai orang tapi juga isu pencemaran yang berlaku saban hari yang juga hasil pertimbangan tidak wajar dari jiran-jiran. Isu pencemaran yang dibuat sendiri oleh jiran-jiran di taman-taman perumahan.  Contoh, pembuang sampah, pembakaran terbuka secara kecil-kecilan,  majlis karaoke dalam majlis kenduri kahwin atau parti hari jadi sampai ke tengah malam, bunyi alat-alat penyelenggara dan pembinaan rumah, terpekik terlolong, limpahan air basuhan kereta, limpahan air basuhan binatang peliharaan, bunyi mercun, deruman kuat bunyi kereta dan motosikal, bengkel kereta dan motosikal di rumah kediaman, pasang audio radio atau televisyen yang kuat, dan macam-macam lagi.

Pengalaman UCU sendiri, pada hari ini malah sebelum ini pun UCU hadapi masalah pencemaran yang dibuat oleh jiran UCU.  Malah UCU rasa begitu juga jiran-jiran yang lain.  Jiran UCU membuat penyelenggara dan pembinaan tambahan rumah mereka.  Tambahan mana-mana yang patut pada rumah mereka. Tidaklah salah kerja-kerja yang mereka buat untuk capai impian mereka. Tapi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan dilaksanakan juga pada hari Ahad dan Sabtu. Dua hari dan masa yang UCU dan keluarga hendak beristirahat di rumah.  Berlaku pencemaran bunyi.  Bunyi dari ketukan tukul, mesin pemotong kayu atau besi, malah yang paling teruk bunyi gerudi (drill).  Dalam suasana begini macam mana hendak beristirahat.  Hendak keluar bersiar-siar dinasihatkan duduk di rumah kerana jerebu.  Tapi duduk di rumah bising dengan pencemaran bunyi pula.  Tidak selesa dan aman.  Kalau hari Isnin, selesa, Rabu Khamis dan Jumaat tidak lah jadi masalah kerana UCU dan keluarga tiada di rumah. Cuma selepas pukul 5.00 petang baru ada di rumah.  Nasib baik kerja-kerja di buat setakat jam 6.00 petang.

Dalam hal ini UCU perhatikan banyak berlaku di mana-mana taman perumahan tentang pencemaran bunyi ini akibatkan tindakan jiran membuat penyelenggara rumah.  Kerja-kerja dilaksanakan pada hari-hari minggu yang di sambut macam hari Sabtu dan Ahad  atau Jumaat dan Sabtu. Lebih meletihkan bila salakan anjing yang tidak henti-henti siang dan malam.  Ada jiran yang bela anjing yang macam kena sampuk asyik menyalak setiap masa.  Hendak bela tapi tidak pandai pelihara dan latih anjing – anjing menyalak mungkin lapar, terikat dan macam-macam payah nak cakap. Kalau malam sekali sekala bolehlah hendak fahamkan juga, paling tidak kata anjing nampak hantu.  Ada jiran yang pula baiki kereta atau motosikal di rumah.  Enjin yang sedang hidup di tekan-tekan minyak, berderum-derum bunyi yang tidak menyenangkan. Kalau buat aduan pada pihak penguat kuasa kerana gangguan maka jiran akan bermasam muka. Jadi macam mana.  Tiada keprihatinan payah lah untuk hidup berjiran.  Adakah aturan hidup ini semuanya hendak ada undang-undang.  Banyak undang-undang pun tidak guna juga kalau tidak dikuatkuasakan.  Penguat kuasa juga bertindak bila ada aduan. UCU tertanya-tanya juga adakah perlu buat aduan kalau terang-terang kejadian di depan mata. Buat lah sedikit rondaan. Nasihatkan sahaja atau hentikan aktiviti yang kurang menyenangkan pada mereka yang kurang isu sivik. Sivik dikuatkuasakan daripada pihak berkuasa dapat kurangkan rasa tidak senang antara jiran dengan jiran yang hari-hari bersemuka.  Orang Malaysia mana suka berterus terang. Banyak cakap berlapik.  Paling-paling main secara ‘halus’. Tidak mahulah sampai peringkat macam ini.

UCU fikirlah kalau bab-bab penyelenggara rumah ini kenalah buat pada hari-hari bukan hari minggu dan tetapkan masa dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.  Sebelah malam tidak lah usah ada kerja-kerja pembinaan, pencemaran bunyi. Ramai jiran yang hendak beristirahat.  Jiran-jiran yang ada keperluan kepada menghasilkan pencemaran kenalah prihatin kalau ada jiran yang sakit di rumah, kenalah memberitahu mereka tentang sesuatu yang mungkin mengganggu seperti penyelenggara, pembinaan dan sebagainya.  Maka adalah budi bahasanya. Ini kurang bijak yang ramai, main belasah sahaja tanpa hiraukan perasaan jiran.

“Biarlah, jangan pedulikan, nanti gaduh”, kata arwah Emak bila UCU merungut masa anjing jiran menyalak tidak henti-henti siang malam macam kena sampuk. Itulah Emak UCU. 

Abah pula,  “Apa ni, tolonglah gerakkan bas jauh sikit dari rumah ini.  Asap menghala ke rumah.  Tak tahu ker rumah ini ada orang sakit. Bisinglah sama.  Kenalah faham”, UCU masih ingat bila arwah Abah hilang sabar menegur seorang pemandu bas yang hidupkan basnya sambil tekan minyak berkali-kali menderumkan enjin bas. Sebenarnya pemandu bas ini buat hari-hari sebelum ini.  Rumah UCU di kampung berada di sebelah tempat simpanan bas yang beroperasi.  Arwah Abah memang sakit terlantar.  Pada suatu pagi, memandangkan Abah tidak tahan lagak beberapa pemandu bas, jadi dia gagah kan diri bangun dan menempelak pemandu-pemandu tersebut. Nasib baik pemandu-pemandu itu tidak bertindak keterlaluan. Mungkin adalah sikit hormat dalam diri mereka, atau sebelum ini tiada orang menegur pada mereka. 

Arwah Emak dengan arwah Abah memang sangat hormat jiran-jiran. Mereka tidak mahu cari gaduh dengan jiran-jiran.  Malah anak-anak pun Abah larang bermain di rumah atau kawasan jiran-jiran.  Abah lebih menggalakkan anak-anak dan anak-anak jiran bermain di kawasan rumah kami. Emak pula paling mudah dan sinonim dengan kata, “Biarlah tidak usah pedulikan, nanti gaduh dengan dia orang”.  Itu lah kata-kata Emak bila anjing menyalak hari-hari, bila ayam-ayam jiran datang cari makan di kawasan rumah sampai tahi ayam merata-rata di kaki lima rumah, bila orang letakkan kenderaan di kawasan rumah tanpa kebenaran sebab hendak hadir parti atau kenduri kahwin, bila anak-anak jiran-jiran menghalakan mercun terbang ke rumah masa hari raya  atau tahun baru cina dan lain lagi lah peristiwa yang tidak menyenangkan.  Hikmahnya ialah tidaklah keluarga kami bergaduh atau bermusuh dengan jiran-jiran.  Cuma satu UCU tertanya-tanya adakah jiran-jiran fikirkan tentang keluarga UCU.  Atau kesempatan yang mereka ambil dari kebaikan Emak dan Abah.  UCU berpendirian mesti ada cara menanganinya jangan sampai orang pijak ke kepala. Cuma kena fikir dan pilihan yang dibuat perlu berhemah.

Akhir kata dari UCU…jiran-jiran tolong lah fahami jiran-jiran lain…pencemaran itu tindakan tuan-tuan bukan orang lain pun. Bertindak lah secara bijak supaya terhindar dari menjadi kurang bijak.

Salam  jua.

  -UCU-

No comments:

Post a Comment