PINTU UTAMA SEKOLAH CANTIK TAPI MASUK SEKOLAH IKUT PINTU KECIL
Nilai Impian | ISNIN| 24.06.2013 |7.13 malam| Jerebu
Pintu utama sekolah cantik tapi masuk sekolah guna pintu kecil…pengawas jaga pintu utama pastikan murid-murid tidak masuk melalui pintu utama…pengawas jaga pintu kecil pastikan ambil kedatangan murid-murid datang lambat dan tutup pintu kecil bila sampai waktu. Apa rasionalnya dan banyak mana rasional yang dibuat oleh pihak sekolah dan penerimaan PIBG ikut sahaja lah.
Sekolah menengah dan sekolah rendah itu untuk semua peringkat usia rakyat Malaysia antara 6 hingga 18 tahun mendapat pendidikan formal. Bagus. Malah Malaysia adalah sebuah negara yang memberi peluang seluas-luas kepada semua peringkat rakyatnya tanpa mengira warna kulit untuk mendapat pendidikan formal. Lainlah mereka yang berduit atau membuat pilihan lain sekolahkan anak-anak di sekolah bukan penajaan kerajaan.
Institusi persekolahan kerajaan adalah terbesar muridnya. Murid-murid sebagai pelanggan yang diraikan yang menjadi pewaris agama, bangsa dan negara. Malah dasar pendidikan negara juga cukup jelas bagi penyampaian ilmu pengetahuan yang menyediakan seorang insan di Malaysia sejak mencapai kemerdekaan. Dengan pembentukan sahsiah diri, nilai-nilai murni, nilai-nilai kemanusiaan dan fahaman keagamaan sebagai perisai diri. Namun bagaimana pemahaman, penghayatannya dan amalannya. Sehalus mana pemahaman, penghayatan dan amalannya. Sejujur mana pemahaman, penghayatan dan amalannya. Sehalus mana penzahiran pemahaman, penghayatan dan amalannya.
Jika hendak diulas atau mengkritik amat sedap dan banyak perkara boleh diperkatakan secara logik. Setidaknya terpandang dan terfikir dan meluahkan apa yang difikirkan logik. Kerana logik itu adalah realiti walaupun pahit ditelan dan memedihkan hati.
Hari ini UCU hendak sentuh satu perkara tentang pintu besar kebanyakan sekolah tidak boleh dilalui oleh murid untuk memasuki sekolah pada hari persekolahan. Suatu penguatkuasaan yang efisien di sekolah. Larangan murid sekolah yang tidak boleh melalui pintu utama sekolah. Mereka kena melalui pintu kecil sekolah. Kenapa? Apa rasionalnya? Dimaklumkan PIBG telah setuju dengan cadangan sekolah dengan rasional-rasional yang di bawa pertimbangan.
UCU juga mendapat respons tentang perkara ini. UCU syer kan apa respons yang diperoleh. Sama-sama direnungi apa yang tersurat dan apa yang tersirat…”Lu fikirlah sendiri”. Antara respons, iaitu:
· Pihak sekolah mengatakan, “Sebagai langkah menjaga keselamatan murid-murid. Kerana kenderaan memasuki melalui pintu utama sekolah. Supaya tiada berlaku kemalangan”
· Pihak PIBG memaklumkan, “kita terima sebagai langkah memastikan anak-anak kita selamat daripada di langgar kenderaan yang melalui pintu utama”.
· Kalangan murid mengatakan pelbagaian iaitu:
o “Cikgu kata VIP atau VVIP kadang kala datang ke sekolah jadi tidak mahu laluan terhalang dengan murid-murid”.
o “Cikgu kata, memudahkan cikgu yang berkenderaan memasuki sekolah dan tidak perlu risau daripada terlanggar murid-murid”.
o “Peraturan sekolah tidak membenarkan murid-murid pejalan kaki melalui pintu utama. Entah apa sebabnya…kecuali murid yang naik basikal, murid yang naik motor atau anak-anak cikgu yang bersekolah di situ boleh lalu pintu utama”
o “…memang macam tu Pakcik, sekolah ni pelik tapi benar. Ada setengah murid boleh lalu pintu utama..bila kenal pengawas yang jaga. Bukan itu sahaja tandas sebuah yang busuk untuk kami yang ramai, tapi pengawas, anak-anak cikgu, atau murid kesayangan cikgu boleh guna tandas guru atau pejabat. Ada di antara mereka kunci tandas itu malah boleh pinjam kunci dengan cikgu”.
o “..Ikut ajelah Pakcik banyak sangat kerenah nanti cikgu marah. Emak dan bapa saya tak kisah pun lalu pintu mana janji pergi sekolah. Kadang-kadang tu cemburu juga tengok ada murid-murid yang diberi keistimewaan di sekolah ini”.
o “Ha..Ha..Ha..saya tak kisah pun pintu mana. Saya tak ada pintu pun boleh masuk dan keluar sekolah…dinding dan pagar sekolah adalah pintu yang tiada daun pintu…senang kata ada aku kisah”.
o “Keputusan tidak boleh masuk pintu utama tu sebab nanti mak bapak hentikan anak-anak di pintu utama. Jadi depan pintu jadi sibuk. Cikgu-cikgu yang bawak kereta payah nak masuk”.
o “Saya sekolah lima tahun aje di sini. Lepas tu masuk Universiti. Lepas tu dapat diploma dan ijazah. Lepas dapat kerja. Lepas cukup duit beli kereta kwau-kwau punya…tayang depan cikgu di sekolah ni. Apa dia orang ingat sekolah ni dia punya jadi suka-suka pintu utama dia dan anak-anak dan barua nya aje yang boleh lalu. Kami ni ikut pintu kecil…kecil hati kami dia orang tak tahu malah tak nak ambil tahu pun… sikit-sikit kata PIBG dah setuju. Mentang-mentang emak bapak saya ni pakcik, takut jumpa sekolah atau malas bersuara. Banyak perkara tak betul di sekolah ni Pakcik…nak kencing pun kena tahan nafas separuh mati…nak tanya juga Pakcik ni siapa?”
o “My god… crazy regulation, Uncle”
o “Okay juga pakcik sebab hendak jaga keselamatan kami dari terlanggar oleh kereta cikgu”.
o “Ok lah tu pakcik, cikgu boleh zoom laju masuk. Tak payah nak fikir murid-murid. Seronok juga bila tengok kalau cikgu kalau dah terlewat, berdesup masuk ..nasib baik tak buat drift. Lepas tu keluar…kalau yang cikgu lelaki selama aje … kalau cikgu perempuan seronok tengok..terkedik-kedik jalan masuk pejabat nak punch..lagi best bila perhimpunan cikgu-cikgu yang macam ini naik pentas dan berkata “anda semua mesti menepati masa datang sekolah jangan lewat… tolong beritahu ibu bapa yang menghantar kamu ke sekolah tolong berhati-hati di kawasan sekolah, perlahankan kereta di kawasan sekolah, jangan henti di depan kon, minta kerjasama tentang perkara ini, bila kemalangan susah jika melibatkan kamu semua”…ha..ha..ha.. pakcik tak gelak sama ”
o “Biasalah lalu pintu kecil ni… sekolah rendah dulu pun macam ni juga. Peraturan adalah peraturan”
o “Suka cikgulah apa nak larang…pintu kecil ni pintu juga sama aje…tapi tertanya juga apa guna ada pintu utama”.
o “Bapak saya ada juga komen dan cakap dengan cikgu…bukan pintu besar ni aje banyak perkara…tapi saya malu lepas tu sebab kadang-kadang cikgu perli saya dan soseh-soseh …jadi satu salah pulak. Sedang kan banyak kali cikgu ada kata kalau ada perkara yang ibu bapa rasa boleh bincangkan dengan pihak sekolah datang lah berbincang…tapi bila bapak saya jumpa cikgu kenapa pulak nak heboh-heboh perkara macam ni”.
Banyak lagi UCU boleh tuliskan semula respons yang diberikan tentang penggunaan pintu utama sekolah. Tidak habis nanti. Cuma UCU terfikir lah bukankah murid-murid sekolah ini adalah pelanggan yang diraikan. Mereka ada hati dan perasaan. Mereka aset negara. Hal ini kerana adanya mereka maka adalah sekolah, kerjaya rasmi sebagai guru, peluang pekerjaan sebagai guru dan pendidik, pemikir-pemikir perkembangan ilmu pengetahuan, usahawan-usahawan pembinaan dan perkhidmatan, perniagaan buku dan stationery, penjual baju seragam sekolah, tokoh cikgu cemerlang, dan macam-macam perkara tentang keperluan murid. Cuma adakah terfikir dengan larangan melalui pintu utama sekolah sebaliknya melalui pintu kecil untuk memasuki sekolah itu sebagai lambang atau simbolik kurang meraikan murid-murid yang suci hati untuk menuntut ilmu.
UCU kata “suci hati” kerana mereka sanggup datang sekolah dalam keadaan apa sekalipun mungkin dipaksa ibu bapa, ikhlas kerana hendak belajar, suka belajar, kerana kawan, bosan berada di sekolah, boleh merokok dengan kawan-kawan, boleh gurau senda, boleh membuli, boleh bercerita dan berbual-bual, tempat yang selamat, cikgu-cikgu sayang, ikut saja sebab budak-budak kena sekolah, ada kuasa jadi pengawas, boleh makan bersama rakan-rakan, boleh bermain dan bersukan dan macam-macam lagi. Seribu satu macam sebab. Belum pernah lah sekolah beroperasi dengan berpuluh cikgu cuma seorang murid dalam satu masa. Walaupun hujan ribut, panas terik, berjerebu, rusuhan, berperang dan pelbagai halangan cuaca dan peristiwa murid-murid akan datang sekolah lebih dari seorang untuk belajar atau apa-apa saja justifikasi mereka untuk berada di sekolah. Cikgu-cikgu pun ada juga yang sebegitu yang “suci hati” ke sekolah. Tidak dinamakan sekolah jika ada murid tiada cikgu atau tiada murid tiada cikgu.
Tapi penekanan kepada pengukuhan pendidikan kepada murid-murid bukan pada buku dan pelajaran yang disampaikan tapi cara falsafah sekolah itu diterjemahkan kepada sesuatu tindakan keputusan dibuat. Murid-murid sebenarnya melalui proses pembelajaran formal dan tidak formal. Mereka mengalami banyak perkara di sekolah. Mereka pemerhati dan merasai setiap apa yang dilalui di sekolah dari disiplin diri hingga tuntutan belajar. Facilities dan kemudahan yang diterima juga sebagai pengukuhan diri mereka. UCU percaya larangan melalui pintu utama mencetuskan pelbagai pengalaman dan peristiwa yang diperhatikan dan penilaian yang dibuat oleh murid-murid. Lihatlah respond yang diberikan tadi. Kesan keputusan pihak sekolah dan penerimaan keputusan pihak PIBG atas rasional keselamatan murid-murid. UCU sendiri terkata bila perhatikan dari semasa ke semasa, “Konon keselamatan murid…apa tu”. Hari ini sahaja pintu utama sesebuah sekolah dijaga oleh seorang pengawas murid dalam keadaan berjerebu. Seorang pengawas murid yang tidak dibekalkan dengan topeng muka maka “Selamat kah murid ini…sebab nak pastikan murid tidak lalu di pintu utama seperti arahan cikgu”…kenapa?…”Sebab nanti terlanggar oleh kereta cikgu”…”Please lah tuan pengetua …atau cikgu-cikgu…logik lah sikit”. Murid-murid sebenarnya saban hari diberi pengukuhan secara tidak sedar tentang perbezaan status, sifat mementingkan status, mementingkan diri, peraturan yang double standard, sifat cemburu, sifat iri hati, peraturan dibentuk untuk kepentingan segelintir manusia sahaja, kesombongan, cakap tak serupa bikin, hak mereka dinafikan dan ketidakpuasan hati. Tidak bermakna bagi mereka apa yang tertulis di tembok pagar sekolah “Terima kasih kerana anda datang ke sekolah”, “Sekolah ku syurga ku”, “Selamat datang ke sekolah” dan macam-macam kata-kata hikmah dan perangsang menggalakkan murid-murid datang ke sekolah untuk menuntut ilmu di sekolah.
UCU fikirkan perlu ada sesuatu tindakan dibuat tentang perkara ini. Pintu utama perlu dilalui murid-murid kerana ia bukan milik mereka yang berstatus, bukan milik mereka yang berpengaruh, bukan milik mereka yang berkuasa, bukan milik kulit sawo matang, bukan milik kulit kuning langsat, bukan milik kulit gelap; tapi milik semua orang yang berkepentingan kepadanya sama ada cikgu, pengetua, murid, pengawas, anak-anak cikgu, tukang kebun, jaga, kerani sekolah, peon sekolah, penjual kantin, VVIP, VIP dan ibu bapa. Langkah keselamatan ada cara lain yang lebih berhemah. Kalau ibu bapa degil masih hendak berhenti atau turunkan anak di depan sekolah..pengawal keselamatan sekolah berilah nasihat atau berilah surat nasihat pengetua kepada ibu bapa yang tiada sivik itu. Bagi cikgu-cikgu sekolah yang berkenderaan kenalah berwaspada bila masuk sekolah dengan kereta – kenapa pula terfikir akan terlanggar murid – sepatutnya terfikir macam mana memandu supaya tidak terlanggar murid – jika tidak confident jangan bawa kereta ke sekolah- jika perlu janganlah bawa kereta masuk sekolah, parkir lah di luar sekolah (“tak nak pulak”).
Murid-murid jangan diajar double standard kerana nanti kurang ajar jadinya mereka dan tak dengar kata. Maka bila jadi anak-anak cikgu sekalipun, perlu turun kereta dan lalu pintu kecil (ini kalau pihak sekolah bertegas tindakan mereka betul), pengawas sekolah pun lalu pintu kecil, murid-murid kesayangan cikgu pun perlu lalu pintu kecil. Satu perkara lagi janganlah jadikan keperluan VIP atau VVIP sebagai input dalam keputusan yang dibuat. Buruk benar bila VVIP dan VIP dijadikan justifikasi sesuatu keputusan dibuat. Selalunya VIP atau VVIP terperangkap dengan imej buruk disebabkan keputusan-keputusan yang berlebih-lebih. Tidak mahupun VIP atau VVIP bawa kenderaan laju masuk ke sekolah. Malah mereka ini berpengalaman dan kesedaran tinggi kalau murid-murid ada di waktu sekolah atau bersesak-sesak di pintu masuk sekolah. Hanya VIP atau VVIP yang gila atau kurang siuman sahaja yang akan tersinggung, atau meradang atau bertindak yang tidak sewajarnya bila masuk pintu utama terpaksa berhati-hati memandu bila masuk sekolah. Hendak masuk pintu syurga pun kena melewati jambatan siratol mustaqim dengan selamat bila cukup syaratnya. UCU pun pada satu-satu ketika berperanan sebagai VIP juga dan pada satu ketika yang lain sebagai VVIP – bila pakai bulu penguin (baju kot), baju korporat, atau berlingkar tali leher jakel – maka semuanya ada keistimewaan dan berlebih-lebih pula orang melayannya. Dalam cerita Madu Tiga ada kata, “baik..baik ada makna”. Itulah fitrah dunia yang sebenarnya boleh dihakis.
Sebenarnya cara tunjuk hormat banyak caranya, budi bahasa dan kemesraan yang jujur dan ikhlas adalah lebih bermakna. Selalu dengar dalam rancangan Master Chef Celebrity, “memasak dari hati dan kasih sayang”. Begitulah. Jadi cikgu-cikgu kenalah setiap keputusan dan pertimbangan tentang peraturan untuk murid-murid itu adalah dengan rasa kasih sayang yang sampai di hati dan kalbu. Bukan kehendak pentadbiran atau di bibir sahaja. Memanglah susah tapi hendak tak hendak itulah sepatutnya..yang logik dan syarak.
UCU masih ingat pengalaman di sekolah dulu, tahun 70an, masa pagi-pagi ke sekolah tidak bimbang untuk lintas jalan sebab Pak Majid atau Pak Ibrahim atau Pak Isnin akan tunggu di pintu utama sekolah dan melintas kan murid-murid dengan selamat masuk ke sekolah. Mereka ini tukang kebun sekolah sahaja. Pak Majid garang tapi tentang keselamatan murid-murid cukup dijaga – dulu UCU tidak suka pada beliau sebab suka membebel dan melarang murid-murid main di parit atau berlari-lari di bawah bangunan sekolah atau tidak beratur ketika hendak keluar dari pintu utama sekolah. Tapi kini UCU, “Terima kasih Pak majid, Al-Fatihah”. Pak Ibrahim dan Pak Isnin pula tidak banyak cakap sangat tapi murah dengan senyuman. Pak Ibrahim selalu tumpangkan murid-murid ke sekolah dengan beca nya. Pak Isnin selalu juga tegur murid-murid yang bermain-main tolak-tolak atau berlari-lari di tepi jalan raya, riuh mulutnya menegur. Pak Husain, peon sekolah yang muka macam sombong tapi baik. Selalu pelawa murid-murid yang lalu di depan rumahnya untuk petik buah rambutan sebagai sedekah. Mereka ini kakitangan sekolah yang hebat walau pendidikan formal mereka rendah. Hati mereka mulia.
Tentang cikgu-cikgu pula, Cikgu Khatijah yang tinggi lampai dan cantik jelita sebagai guru bahasa Malaysia selalu bertanya khabar murid, “..kamu sihat hari ini? Dah sarapan? Bila dah datang sekolah selamat balik nanti pun selamat ya. Berhati-hati naik basikal. Jalan tepi-tepi di jalan raya. Jalan atas rumput”. Cikgu Abdullah yang garang dan rambut berjambul rendah selalu kata, “…saya kalau nampak, dapat tangkap sapa-sapa panjat pagar, ikut lubang pagar, ikut pintu belakang sekolah yang bersemak tu…siap tinggal gigi dengan lidah saya kerjakan. Pintu depan cantik-cantik tak nak ikut…suka ikut pintu belakang sekolah yang semak samun dengan adanya ular, becak dan berduri, itu yang suka diikut..apa punya otak macam tu, nak senang aje …ikut lah pintu depan baru lah nama murid sekolah ini ..kasut pun tak kotor”. Cikgu Wah yang berkulit putih bersih dan seksi (bukan lah pakai pakaian yang menjolok mata) selalu menarik minat murid-murid belajar Geografi, dan selalu menegur, “Anda semua cikgu sayang, cikgu denda sebab anda yang langgar peraturan dan malas belajar… cikgu tengok ramai murid datang sekolah pun ramai tidak semangat…cikgu selalu perhati anda bila mula masuk pintu depan sekolah lagi, letih, lesu dan tidak ceria…awak semua kena ceria bila datang sekolah dan belajar rajin-rajin”. Cikgu Mokhtar, cikgu yang perasaan handsome ke sana ke mari bawa rotan tapi tidak pula pernah merotan murid, bila bercakap dengan nada lembut pada murid yang ditegur, “…awak ni kalau ikutkan hati melelas kulit awak saya libas dengan benda ala ini. Tapi awak ni anak-anak saya, jadi janganlah paksa saya buat macam tu. Ikut lah kata cikgu-cikgu. Kalau jangan buat tak usahlah buat…tak perlu ponteng sekolah petik rambutan belakang sekolah tu. Kalau jumpa saya, saya pun boleh belikan. Kalau tak cukup jumpa Pak Husain, seguni rambutan dia boleh beri pada awak”. Cikgu Dahlia yang lawa putih melepak , cengih tapi hati baik, “Saya tarik telinga awak ni sebab tak nak dengar kata. Kalau ikut hati saya, awak ni saya bawa balik jadi anak saya senang saya siang-siang awak. Cubalah awak fikir main-main tolak-tolak tepi parit tu bahaya, baling-baling batu terkena kereta orang kan nanti orang marah, berkejar-kejar di tepi jalan raya kan bahaya. Kalau sekolah kata semua murid tunggu van, bas, beca atau mak ayah ambil, tunggu sahaja lah depan pintu sekolah jangan lah ke mana-mana. Kan selamat. Pak Majid ada, Pak Brahim ada. Ini bertabur berlari-lari…apa lah awak ni”. Cikgu Rahman, cikgu yang selamba rock tapi prihatin, “Hoi, kau orang kalau tak beratur… basikal-basikal, jalan kaki jalan kaki, yang naik bas naik bas, beca, van, ..kalau tak beratur jangan harap dapat keluar dari pintu sekolah ni..Pak Majid tengok sekali kat jalan tu..biar saya aje yang tengok budak-budak ni…Hoi Bang ini apa ni basikal tidak ada brek, esok pastikan brek ada… hoi kakak, kain tu esok bawah buku lali yea,…lah yang kau ni benjol dahi dan koyak lengan baju ni kenapa, bergaduh, esok jumpa saya…Mat kau yang pengsan pagi tadi kan esok sarapan tahu…woi Makcik kalau pakai tudung tu betul-betul walau nak keluar sekolah ni, selagi dalam kawasan sekolah pakai betul-betul, sampai ke rumah lagi bagus. Bakal mak mentua pun suka… yang ni kenapa pulak kaki ayam, kasut sebelah lagi mana, kena curi..”. Begitu lah sebahagian cikgu UCU dulu, ramai yang bagus-bagus dan hebat-hebat yang seketika UCU marah juga bila kena denda dengan mereka. Tapi banyak yang UCU sayang mereka. Begitu juga murid-murid yang lain. Cikgu-cikgu ini terpamer kasih mereka kepada murid-murid walau pada ketika itu berapalah gaji mereka berbanding sekarang.
UCU terkenang juga kata-kata arwah Emak masa UCU bersekolah dulu, “…kau sekolah macam mana, apa cikgu cakap. Kalau emak cakap tak dengar, cikgu cakap tak dengar. Nak dengar cakap sapa…” . Arwah Abah pun pernah komen tentang Cikgu sekolah UCU, “ Cikgu-cikgu sekolah tu semua baik-baik, yang nakal dan malas kau orang… Abah kalau cikgu cakap, seratus peratus abah percaya…Pak Isnin dengan Pak Husain pun sama kalau dia orang mengadu hal anak Abah buat hal kat sekolah…jawab ”. Itulah antara hubungan UCU sebagai murid, murid-murid, ibu bapa, guru sekolah dan kakitangan sekolah. Bagaimana dengan sekarang…adakah zaman telah berubah maka segala-gala berubah. Isunya pintu depan sekolah yang tidak boleh dilalui oleh murid sebaliknya murid-murid menggunakan pintu kecil. Banyak perkara yang boleh dikait-kaitkan. Jika di sekolah anak UCU pintu kecil di penjuru kawasan sekolah iaitu 60 meter dari pintu utama sekolah. Adakah rasional peraturan yang dikuatkuasakan itu? Adakah rasional pertimbangan-pertimbangan yang dibuat untuk menguatkuasakan peraturan seperti itu? Dan di manakah kerasionalan pertimbangan dan keputusan yang dibuat itu?
Akhir kata dari UCU…kasi sahaja lah murid-murid lalu di pintu utama sekolah habis cerita.
Salam hormat.
-UCU-
No comments:
Post a Comment