Friday, May 31, 2013

KENAPALAH MAKAN DI LUAR

KENAPALAH MAKAN DI LUAR
Nilai Impian | JUMAAT| 31.05.2013 |9.50 malam| Hujan Renyai

Sudah lama UCU tidak syer sesuatu di blog ini. Pada kali ini UCU syer pandangan tentang kenapalah makan di luar. 
Hari  ini selepas solat Jumaat di Masjid Batang Benar, UCU pun cari gerai makan untuk makan tengah hari.  Perut UCU lapar sangat sebab pagi tadi UCU tak sarapan pagi kecuali minum air teh ‘O’ yang disediakan oleh isteri UCU sebelum beliau pergi kerja. Selalunya pagi-pagi UCU akan makan sekeping atau dua keping roti.   UCU pergi makan di sebuah gerai makan di jalan Pajam. Gerai makan ini memang hari-hari ramai dengan pelanggan dari kalangan suami isteri, lelaki, perempuan, kanak-kanak, pekerja, dan individu-individu atau keluarga yang lalu lalang di situ menghala ke lebuh raya LeKAS. UCU tidaklah biasa makan di situ kadang kala sahaja.  UCU pun ada juga bawa keluarga makan tengah hari di gerai ini.  Pelbagai jenis makanan masakan kampung di gerai ini.  Ada empat peniaga makanan di gerai ini.  Antara jenis masakan termasuk sup tulang, kari kepala ikan, ketam lemak cili padi, daging salai lemak cili padi, ikan merah dan jenahak masak lemak cili padi, siput sedut lemak cili padi, asam pedas, ulam-ulam, sambal belacan, sayur campur goreng, terung goreng, nasi ayam, itik salai, nasi kukus ayam kampung/ayam dara.  Minuman pula termasuk cendol, abc, air tebu, air buah, air sirap dan macam-macam lagi. 
Pada hari ini pilihan makanan tengah hari UCU biasa sahaja nasi putih, semangkuk sup tulang, sesenduk sayur campur, secamca kecil sambal belacan, dan secawan air tebu. Semasa makan rasa nikmat tapi bila bertanya harga untuk bayar air tebu UCU okay lagi harganya RM1.00, bila tanya harga makan UCU tersentap…RM15.00!. UCU tersedar hari ini bila UCU makan seorang dengan harga RM15.00. Selalu UCU makan seorang dalam lingkungan RM6.00 – RM10.00. Malah ada satu tempat di Bangi dan Semenyih dan Salak makan macam itu banyak dan jenis yang sama dalam lingkungan harga RM8.00 saja.  UCU terfikir mungkin makcik yang mengira tu salah kira …tapi malu hendak tanya harga pula sebab makcik tu guna mesin kira (calculator).  UCU tengok makcik ni perinci juga sebab sambal belacan yang UCU ambil secamca kecil pun dia kira RM1.00.  Itulah adat berniaga kos tetap kos.  Penat nak masak, beli bahan mentah, gas digunakan, tenaga untuk potong-potong dan macam-macam lagi proses yang nak buat hingga keluarnya sesuatu jenis makanan… tapi RM15.00 seorang punya makan adakah berbaloi bayaran makanan tersebut, sedangkan rasa masakan biasa saja dan di gerai makan yang bukan berhawa dingin. Terfikir juga sambal belacan saja RM1.00, mahal bagi UCU kerana UCU fikir lebih daripada 100% keuntungan diambil. “Apo nak di kato”…kalau itu pilihan pengusahanya tetapkan harga. Senang cerita, itu hak mereka, dan pilihan UCU yang pergi makan di situ siapa suruh. Teringat pada arwah emak UCU bila buat sambal belacan… ada lada merah, bawang merah, belacan bakar, sikit garam dan ajinomoto.  Semuanya ditumbuk lumat dalam lesung batu.  Kemudian dihidangkan dalam piring. Kalau dalam hotel dalam batu lesung itu sahaja. Sambal belacan yang emak buat ini paling sedap dimakan dengan nasi panas.  Dengan nasi sejuk pun okay juga…lagi sedap bila dimakan dengan bubur nasi dengan kangkung goreng.  Pada masa itu tak terfikir pula harganya.  Pada masa ini yang UCU terfikir …"Terima kasih emak kerana sambal belacan sedap! Sambal belacan paling sedap di dunia". 
Berbalik cerita harga makan itu tadi, UCU terfikir kenapa sebelum ini harga kalau makan sekeluarga antara RM35.00 – RM40.00 iaitu RM8.75 – RM 10.00 seorang.  Adakah harga makan dah naik? atau makcik tu kira salah? atau harga hari Jumaat lain? atau apa-apa saja lah lagi…yang penting UCU telah pun bayar, maka  kalau lebih atau salah kira bagi UCU halalkan saja senang cerita…malah bila lagi hendak tolong Melayu yang seagama.  Cuma satu lagi tentang persekitaran gerai makan itu tidaklah bersih mana.  Ada juga lalat. Jadi pengusaha kenalah tingkatkan kebersihan bersesuaian dengan harga yang dikenakan pada makanan.  Sebab tu UCU kalau makan di gerai ini UCU cari makanan yang panas-panas. Seperkara lagi UCU akan fikir habis-habis pada masa-masa akan datang untuk makan di gerai makan ini, saat ini apa yang terfikir ialah gerai ini adalah pilihan terakhir UCU untuk cari makan tengah hari.
UCU suka juga hendak bercerita sedikit pengalaman makan di kedai makan mamak.  Makan di kedai makan mamak, harga makan lebih kurang RM9.80 kalau makan tengah hari atau malam.  Kalau makan sekadar roti kosong dengan teh tarik dalam RM4.50-RM5.00 seorang.  Kalau makan sekeluarga (empat orang) dalam RM30 – RM 41.00 mengikut jenis makanan dan minuman yang dipesan.  Tempoh masa penyampaian (delivery) pesanan cepat… penyampaian makanan dalam masa 5 minit hingga 10 minit dari titik masa mula pesanan makanan dibuat.  Sekarang ini pun jenis pesanan boleh pilihan; contoh hendak mee goreng mamak atau mee goreng Melayu…sebab gerai masakan Melayu pun telah ada di restoran mamak.  Cuma sekarang ini UCU kalau teringin makan roti canai UCU cari di gerai makan Melayu yang ada jual roti canai.  Sebab lebih sedap, panas dan masak pada masa itu juga.  Kalau di kedai mamak kadang-kadang itu roti canai sejuk, liat, keras, transparent (nipis), tidak di goreng masa itu juga tapi yang sedia ada digoreng dipanaskan bila dipesan. Teh tarik pun yang dalam bekas air, tidak macam dulu-dul ditarik berkali-kali – tiada kualiti lagi hasil teh tarik mamak sekarang. Untuk itu UCU kalau betul-betul nak makan di kedai makan mamak, UCU akan pesan roti telur, nan, tose atau capati kerana baru dibuat atau dimasak. Atau makan nasi kandar. Kalau tidak UCU asyik bertengkar dengan pelayan/pengurus kedai mamak sebab roti kosong bukan yang baru tapi dipanaskan.  Berapa banyak kedai mamak yang UCU telah gaduh dan UCU tidak jejak kaki hingga ke hari ini. UCU tidak menyokong cara mereka melayan pelanggan untuk mendapatkan penyediaan makanan yang terbaik dan berbayar.  Jadi senang cerita hendak makan roti canai maka UCU akan cari gerai Melayu.  Lagi pun sedap. Kedai mamak pun bukan bersih mana pun. Kalau dapat A pun masih ada putung rokok dan lantai dan meja pun kotor juga berair, berhabuk, kesan kari, kesan sisa makan, dan macam-macam lagi. Oleh itu kedai mamak yang UCU makan dengan keluarga pun yang telah dipilih-pilih dan boleh diterima UCU tahap kebersihannya. 
Tentang roti canai ini UCU masih ingat arwah emak UCU pandai buat roti canai tapi tidak ada proses tebar roti canai.  Adunan yang emak guna senang saja iaitu tepung gandung, garam dan marjerin. Adunan akan diuli-uli hingga tepung jadi doh. Doh tu pula akan dibahagi-bahagikan sebesar penumbuk bayi. Dibiarkan sekejap.  Lepas itu doh di penyek-penyek dan diregangkan di atas dulang menggantikan proses menebar.  Kemudian disimpul semula dan kemudian di leperkan doh itu untuk digoreng di kuali.  Hasilnya roti canai yang lembut dan rapuh.  Sedap dimakan dengan dalca, kari, kuah asam pedas semalam, atau sambal tumis.  UCU masa itu budak-budak maka lebih suka makan dengan gula pasir. Kalau dikenang semula tentang roti canai ini apa yang UCU hendak kata … “Emak tahu tak yang roti canai emak buat yang paling ‘best’, kenapa ‘best’ sebab proses membuatnya dipenuhi dengan rasa kasih sayang”.
Ini pula UCU bercerita pengalaman makan di restoran nasi ayam yang terkenal dengan jenamanya yang tersiar dalam iklan-iklan di televisyen dan akhbar-akhbar. Nasi ayam yang di terjemahkan dalam bahasa Inggeris menjadi jenama yang di uar-uarkan kepada masyarakat di negara ini. UCU teringatkan peristiwa semasa makan di sebuah restoran nasi ayam yang terkenal dengan jenamanya itu tadi di Bandar Baru Nilai (BBN).  Kalau dalam iklan di televisyen amat meriah dengan kemesraan pelayanan dan kesedapan nasi ayamnya.  Tapi bila pergi ke restoran francais di BBN biasa saja. Layanan sama saja macam makan di gerai makan tepi jalan.  Tidak adalah yang hebat sangat pun dan rasa nasi ayam dan resipi betul lah ada kelainan tapi tidaklah hebat hingga termimpi-mimpi bila tidur. Bukan hidangan atau menu yang mengecewakan UCU tapi layanan dari pekerjanya tidaklah mesra dan profesional langsung seperti yang diperlihatkan dalam iklan-iklan dan nilai uniform yang dipakainya.  Sedangkan pelanggan dikenakan dengan cukai perkhidmatan tapi tidak sewajarnya layanan yang diterima…maaflah kalau kata di bawah paras yang diharapkan… lebih baik lagi pelayan di kedai-kedai mamak yang tidak pandai berbahasa Melayu.  Contoh, peristiwa baru-baru ni UCU makan dengan isteri UCU di restoran francais nasi ayan ini di BBN.  UCU dan isteri minta 2 set nasi ayam dengan ayam stem bahagian drum stick. Tapi apa yang sampai pesanan ialah 2 set  nasi ayam dengan ayam roaster – satu drum stick dan satu lagi dada dan kepak.  Kami tak terima hidangan tu dan minta tukar.  UCU ulang pesanan yang sama sebelum ini kepada pelayan. Kedengaran pengurus di dapur tidak puas hati dengan pemulangan semula set hidangan tersebut. 
Bila set yang dipesan semula sampai, kali ini betul 2 set ayam stem tapi bukan seperti yang dipesan iaitu dua drum stick sebaliknya satu drum stick dan satu dada dengan kepak. Sekali lagi UCU tidak terima hidangan yang disampaikan. UCU berjumpa dengan pengurus restoran itu dan memberi tahu tentang pesanan sebenar yang bagaimana yang dipersetujui semasa diambil pesanan.  UCU cakap baik-baik.  UCU memberitahu isu salah pesanan yang pertama kali dan salah pesanan pada penghantaran yang kedua.  Dengan muka selamba pengurus itu kata drum stick tidak cukup cuma ada satu unit sahaja. Sedangkan sebentar tadi, UCU lihat semasa pengurus yang juga menguruskan penyediaan hidangan mengambil seekor ayam stem yang lengkap dengan peha/ drum stick. UCU masih bertenang tapi dalam hati UCU berkata “ini penipuan, kenapa dia perlu tipu aku”.  Jadi UCU masih jelaskan pesanan UCU seperti dalam menu yang diberikan ada disenaraikan bahagian-bahagian ayam yang dikehendaki oleh pelanggan dengan kadar harga yang ditetapkan.  Dia selamba kata pelayan tadi yang ambil pesanan tidak menyemak di dapur  sama ada drum stick ada atau pun tidak. Tapi UCU kata dia telah ambil pesanan dan kami dah tunggu lama tanpa ada yang memberi tahu pesanan bertukar atau pesanan yang dipesan itu tiada.  Pengurus itu dengan selamba kata pelayan yang ambil pesanan itu adalah pekerja baru.  UCU terkedu seketika dengan jawapan dan respons pengurus itu.  Dalam fikiran UCU berlegar-legar dengan pertanyaan pada diri “adakah masalah aku kalau itu pekerja baru”.  Yang utama ialah sepatutnya pihak restoran kena tunaikan pesanan pelanggan yang telah diterima, atau jika betul drum stick itu tidak cukup kenalah pihak restoran dengan segera ulang pesanan beritahu pesanan yang dipesan awal tadi telah kehabisan stok minta pelanggan buat pesanan semula dan minta maaf – kita orang timur kan ada budi bahasa.  Ini tidak, seolah-olah apa yang disajikan di luar pesanan maka pelanggan kena terima lah saja…macam ini lah senang kata, “makan aje lah bila dah hantar tu, rasa ayam juga”…betul ke macam itu. 
Jadi UCU kata pada pengurus restoran itu, “saya tak terima pesanan yang disampaikan kecuali saya akan bayar air minuman yang kami minum sahaja”.  Pengurus itu yang muka selamba bertukar air mukanya masam macam cuka terus kira dan kami bayar air minuman sahaja sebanyak RM14.00 iaitu layer tea dan air tembikai.  Itu lah kalau dinamakan dalam televisyen nampak molek tapi pada realitinya macam ‘hampeh’..siapa buat ‘hampeh’ ialah pekerja-pekerjanya..kesian majikannya. Kalau tidak kena gaya majikan boleh bungkus..pekerja tempatan pula tu..kalau sudah tidak ada perniagaan mana lah hendak berikan peluang pekerjaan… Bila budak-budak ini tidak ada kerja, mula lah mereka ini salahkan kerajaan dan mula berarak di jalan-jalan raya.  Selamba itu tidak baik tapi bekerja dengan penuh hormat dan bertanggungjawab dan kesetiaan itu penting…  Memang lah betul rasa ayam sama sahaja makanlah bahagian mana pun… tapi cuba lah fikir kenapa pula harga bahagian-bahagian ayam yang dijual adalah berbeza-beza..dan maka terfikirkanlah bukan kah kesukaan seseorang itu yang dijual untuk mendapatkan bahagian ayam yang diminati. 
Semua pekerja restoran yang bernaung di bawah jenama nasi ayam ini kena “disekolahkan” dan dapatkan latihan secukupnya dan faham dengan matlamat syarikat dan kepuasan pelanggan yang memastikan kekayaan majikan dan menentukan mereka ada pekerjaan.  Dari segi persekitaran premis tidaklah bersih sangat walau berhawa dingin.  Berserabut. Kotor juga.  Sisa makan atas meja dan di lantai.  Cuba kata pergi belakang atau tempat operasi pastinya tidak teratur. Pakaian pekerja yang beruniform pun tidak kemas, cara pakai dan penampilan selekeh. Macam mana dapat A pun tak tahu. UCU hendak cakap dengan nada jerit bukan selamba, “Hoi! Kalau tak boleh tiru pekerja-pekerja Jepun macam mana mereka bekerja dalam perkhidmatan penyediaan makanan, cuba pergi tengok pekerja-pekerja di tempat-tempat makan berjenama di Medan Indonesia pun dah cukup, mereka lebih berketerampilan, profesional dan berbudi bahasa, malulah hoi! Kita orang Malaysia”.
Cerita pasal rasa nasi ayam ini janganlah hendak temberang dengan UCU… arwah emak UCU buat nasi ayam lagi sedap; begitu juga masakan ayam yang membuat hati sentiasa mendambakan untuk merasainya, amat menyelerakan.  Kalau makan pasti sentak lah perut…sekarang ini abang UCU di Johor punya isteri (kakak ipar UCU lah) pandai masak nasi ayam hingga terangkat kalau memakannya.  Tidak usaha lah pengusaha-pengusaha nasi ayam yang berjenama ini sombong sangat, tolonglah sekolahkan pekerja-pekerja tuan-tuan semua ini sebagai pekerja yang berbudi bahasa dan profesional.  Kerana pelanggan-pelanggan ini cari nasi ayam banyak sebabnya.  Ada kalanya fitrah manusia kerana lapar, hendak cari kelainan rasa, tidak sempat hendak masak, desakan anak-anak sebab ibu bapa tidak pandai masak nasi ayam, tidak pandai masak nasi ayam, ada yang suka-suka cari makan, ada pelanggan perasan kalau makan di restoran berjenama kononnya ada status, dan ada memang mereka itu makan kerana tekak buaya. Jadi pengusaha-pengusaha nasi ayam yang ada jenama dan restoran berhawa dingin ini perhatikan lah bagaimana prestasi pekerja-pekerja terhadap pelanggan bukan tertumpu pada mutu makanan sahaja. Buatlah pilihan sama ada cita rasa pelanggan atau duit pelanggan.
Soalan makan ini, UCU terkenangkan arwah abah dulu. UCU sedar dia suka makan masakan arwah emak.  Abah bila pergi kerja akan bawa bekalan minuman teh susu satu termos. Teh susu yang emak sediakan untuk abah. Hari-hari. Bila abah balik UCU akan mengendeng termos itu sebab hendakkan teh susu didalamnya. Bukan apa dah dinamakan budak-budak maka menggada-gada lah.  Tapi sepanjang yang UCU ingat tidak pula abah dan emak halang bila UCU ambil termos abah. Dan, setiap kali UCU tuang termos  itu mesti dapat secawan teh susu itu.  Kini UCU sedar abah memang akan simpan kan secawan teh susu itu untuk UCU.  Abah juga tak lah pernah UCU nampak kalau nak makan roti bakar atau roti canai atau roti telur akan beli di kedai mamak atau gerai makan.  Emak akan buatkan sendiri.  Abah akan sarapan pagi yang emak buat setiap pagi. Tengah hari abah mungkin tak makan agaknya (UCU tidak pernah tahu kerana tidak pernah tanya).  Balik kerja abah akan minum petang yang dihidangkan oleh emak. Bila makan malam akan sentiasa dihidangkan dan makan bersama-sama sekeluarga. Makan tengah hari pada hari-hari abah tidak bekerja pun makan bersama-sama.  Tentang makan ini, segala-gala emak yang buat semuanya. Jarang benar beli luar, mungkin jimat atau tidak banyak orang berniaga makanan pada masa itu. Tapi UCU fikirlah memang abah dan emak mengambil langkah berjimat, sebab masak sendiri lebih berbaloi kerana kasih sayang sentiasa disuburkan melalui makanan yang disediakan oleh emak.  Sebab tu masakan emak sedap sangat. Cakap saja masak apa pun semuanya sedap. Antaranya nasi lemak, nasi ayam, roti canai, roti telur, jemput-jemput, ikan pindang, ayam pedas, kari, masak lemak, nasi minyak, laksa Johor, laksa Penang, kuih bakar, tahu sumbat dan sebagainya. Boleh kata sebut sajalah masakan kampung insya-Allah emak adalah jaguhnya..kalah master chef.  UCU masih ingat-ingat lupa kata-kata arwah Abah..”makan betul-betul ____(nama UCU).  Kalau tak cukup esok emak masak lagi. Jangan membazir. Jangan tamak. Ingat juga orang belakang”.  Yang emak pula selalu kata, "makan jangan bazir. Rezeki kena makan habis. Kalau ada barang nanti boleh masak lagi"…itulah abah dan emak. Sekarang UCU selalu dengar orang-orang di sekeliling UCU, “makan jangan tak makan, kalau tak cukup boleh beli lagi” … “biarkan lah memang tak sedap pun, biarkan aje kalau tak boleh makan”…"manalah mampu nak makan, mahal lah”…macam itu lah adanya sekarang.
Akhir kata dari UCU, “…makan bila rasa lapar, berhenti makan bila rasa kenyang…kalau nak makan sedap-sedap belajar masak…kalau tak tahu masak beli…kalau orang tak layan atau rasa masakan tak sepadan dengan selera, maka puasa lagi bagus…”

Salam sejahtera.

-UCU-

3 comments:

  1. Tu lah kalo oghang luar makan... nak mughah poii Kodah. Orang Nogori kalo nak makan, memang mahal sojak dulu kalo nak dibandingkan dengan Kolumpo. Jangan la dok nak ngutik gorai tu kalo baru sekali makan. Dah memang tu hargo eh...

    Konapo nak kutuk kalo salah sendiri. Diri awak tu yang pemaleh taknak tanyo sobolum melantak...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau tanya sekalipun...nak chow ker kalau mahal..nampak sgt macam tak mampu walhal harga yg x berbaloi

      Delete
  2. Ooo....gerai kat situ memang cekik darah...ikan keli bakar kecik kemetot pun RM6.00 sekor walhal dalam sekilo boleh dapat 8-9 ekor ikan basah dengan harga RM6.00

    ReplyDelete