Nilai Impian | Khamis| 26.07.2012 |12.00 tengah malam | Panas
Selepas berbuka puasa bersama keluarga dan adik ipar, gerak hati UCU begitu kuat untuk menunaikan solat Tarawih di sebuah masjid utama di Nilai. Masjid ini juga pada malam pertama Ramadan, UCU bersama keluarga dan adik ipar UCU menunaikan solat Isyak dan Tarawih. Menakjubkan malam pertama yang memperlihatkan ahli jemaah yang ramai dan memenuhi ruang masjid. Namun pada malam ini UCU lihat tidak seramai ahli jemaah pada malam pertama tempoh hari. Ini mungkin kesan daripada apa yang terjadi pada malam pertama, pemerhatian UCU ramai ahli jemaah bangun apabila sesi tazkirah hendak dimulakan selepas solat tarawih selesai dilaksanakan pada rakaat ke empat. Empat rakaat lagi dan sunat witir akan disambung selepas selesai tazkirah. Seorang ahli jawatankuasa masjid memaklumkan tarawih pada malam itu 8 rakaat dan sunat witir pengakhirannya. Beliau memaklumkan bahawa sesi tazkirah akan diadakan selepas selesai rakaat ke empat. Pada tanggapan UCU mungkin ahli jemaah kurang bersetuju dengan sesi tazkirah di adakah selepas empat rakaat. Ramai antara mereka mencari tempat di belakang menyelesaikan solat tarawih dan witir secara sendirian dan ada yang berjemaah dengan anak-anak mereka atau rakan-rakan mereka. Mereka terus pulang selepas selesai melaksanakan tarawih. UCU juga menyelesaikan tarawih dengan anak lelaki UCU di belakang, tidak menunggu tazkirah selesai.
UCU ada terfikir juga rasanya tidak wajar buat tazkirah di pertengahan pelaksanaan keseluruhan rakaat tarawih, ada yang hendak membuat 8 rakaat dan ada yang hendak buat 20 rakaat. Ini kerana semangat dan matlamat hendak mengerjakan solat tarawih mungkin boleh terganggu. Tak tahu lah UCU sama ada betul atau salah apa yang UCU fikirkan. Tapi dengan pemerhatian UCU, reaksi jemaah, ditambahi lagi dengan tazkirah yang panjang serta mutu pembesar suara yang tidak jelas di dalam masjid menjadikan tazkirah itu mungkin tidak mencapai matlamatnya. Pada pandangan UCU dan berani UCU katakan tiada siapa boleh menafikan bahawa tazkirah itu baik, namun pelaksanaannya perlu kena pada masa yang betul baru dapat manfaatnya. Jika sekadar mengadakan tanpa mengambil kira keberkesanan dan kecekapan pengaturannya maka ia akan menjadi sia-sia sahaja. Jadi adakah jemaah pada malam ini tidak ramai di sebabkan ramai jemaah malam pertama sebelum ini telah lari ke masjid-masjid atau surau-surau lain yang lebih bertepatan dengan matlamat solat tarawih mereka dengan tenaga dan masa terhad yang mereka ada.
Namun begitu, pada malam ini solat tarawih tiada sesi tazkirah, dan dilaksanakan dalam 20 rakaat. Ada ahli jemaah yang kadar termampu 8 rakaat. Ada ahli jemaah yang berupaya menyelesaikan 20 rakaat. Dan UCU hentikan kepada 8 rakaat dan 3 rakaat solat witir. Terhenti, kerana setelah salam ke empat atau menyelesaikan 8 rakaat, tiba-tiba UCU terdengar satu suara bisikan perlahan di sebelah kanan UCU datang dari seorang lelaki menyebut nama UCU, “ini _ _ _ _ (nama UCU) kah?”. Bila UCU menoleh kepada nya, kegirangan timbul di hati UCU kerana kawan lama UCU rupa-rupanya. UCU terus merangkul bahunya rapat ke bahu UCU sebagai reaksi spontan rasa gembira UCU. UCU terus menyuarakan hasrat untuk berjumpa dengannya selepas UCU selesai mengerjakan solat witir. Beliau bersetuju dengan cadangan UCU itu. Selepas selesai solat witir UCU ke tandas untuk qada’ hajat. Kemudian UCU tunggu kawan UCU selesaikan solat witirnya. UCU lihat kawan UCU itu berjalan ke arah UCU dengan senyuman. Memang kawan UCU ini seorang yang pemurah dengan senyuman. Dari jauh UCU lihat beliau sangat berlainan dari sudut fizikalnya. Sebenarnya UCU dah hampir 2 tahun tidak jumpa beliau sejak berpindah. Sebelum ini pun hanya 4 atau 5 kali UCU ada jumpa beliau sejak tinggalkan sekolah dulu. Beliau adalah kawan UCU masa di sekolah menengah. Berkawan 2 tahun masa tingkatan 4 dan 5 dan lepas tu masuk Universiti yang berlainan. Kawan UCU ini seorang yang baik dan memang baik pun berbanding dengan UCU. Tapi dia kata UCU baik juga. Sejak jumpa 3 atau 4 kali tu, UCU dapati dia lagi baik.
Pertemuan UCU dengan kawan ini membawa kepada perbualan yang mungkin singkat tapi penuh bermakna… macam tazkirah lagaknya. Melihat kepada fizikal dan air muka serta kecergasan kawan UCU seolah-olah beliau bukan seorang yang sihat. Dalam perbualan ada UCU bertanya, “Maaflah _ _ _ (nama kawan UCU) aku bertanya, bukan hendak mengganggu peribadi kau, hanya sebagai satu pertanyaan seorang kawan yang prihatin, kau ni ada penyakit orang-orang kaya ke?”. “Ya lah _ _ _ _, kesihatan aku tak macam dulu. Aku ada darah tinggi, kolesterol dan jantung pun ada sikit problem, gigi pun dah tak ada”, itulah jawab beliau. “Kena lah jaga kesihatan _ _ _, kita ni dah masuk lebih 40 tahun umurnya”, balas UCU dengan rasa terharu dan simpati dengan perkhabaran yang diberikan tentang dirinya. Memang pun, bila UCU tengok diri kawan UCU, UCU mula sedar bahawa usia UCU dah lepas 40 tahun…Ya Allah cepat betul masa berlalu. UCU sebelum ini sentiasa rasa di jiwa yang UCU masih muda. Bila UCU lihat kawan UCU ini ibarat UCU lihat dalam cermin itulah UCU sebenarnya. UCU betul-betul bersyukur kerana UCU diberikan kesihatan yang sihat cuma sekali sekala sahaja sakit-sakit ringan seperti deman, selesema dan batuk-batuk.
Dalam perbualan UCU bersama kawan UCU ini, banyak betul yang UCU dapat manfaat. UCU ini bukan lah orang yang mudah untuk dimotivasikan. Setakat ini yang UCU boleh kata, arwah emak UCU sahaja dari kata-katanya yang boleh memberi motivasi dan semangat pada UCU walaupun dengan sepatah katanya, “Boleh”. Tak tahulah masa UCU belajar dulu pun bila emak UCU cakap “Boleh” atau “Perlahan-lahan” sahaja bagi UCU sudah menyedapkan hati UCU dan UCU boleh bertindak dengan betul. Seorang lagi yang boleh bagi semangat pada UCU, bapa saudara UCU, sudah arwah juga. Yang UCU panggil pangkat “Pandak”. Dia juga cukup faham dengan perangai UCU. Apa yang keluar dari mulut Pandak pun boleh membawa semangat pada UCU. Arwah Pandak selalu kata pada UCU, “Kena buat betul-betul”. Entahlah mungkin arwah emak dan arwah Pandak ini sangat memahami UCU agaknya. Sebab itu lah apa yang mereka cakap selalu tepat dengan apa yang UCU hendak dengar. Al-Fatihah untuk mereka berdua. Dalam hal ini, abah tidak dapat UCU rasai sangat sebab abah telah meninggal dunia semasa UCU umur 12 tahun. Cuma UCU masih ingat kata-kata akhir pada hari beliau menghembuskan nafas terakhir, “Baik-baik naik basikal ke sekolah tu walau dah lambat. Belajar betul-betul”… alih-alih tengah belajar sebelum pukul 12.00 tengah hari nampak abang UCU masuk kelas jemput UCU balik. Abang UCU kata, “Abah dah meninggal”…
Berbalik kepada cerita UCU dengan kawan UCU ini, terharu UCU bila dengar dari mulutnya, “Sebagai kawan, aku bangga dengan kau. Kau berbanding dengan kawan-kawan kita yang lain, kau jauh ke depan”. Balas UCU sambil memeluk bahunya rapat ke bahu UCU, “Apa pulak, semuanya hebat, ada kejayaan yang mereka dapat”. Kawan UCU kata, “Idak, kau lain. Aku betul-betul bangga dengan kau. Sekarang sedang mengaji tinggi pulak”. “Tentang belajar ni aku mintak doa kawan-kawan juga supaya aku berjaya, doa kawan-kawan macam kau ni.” Balas UCU. “Insya-Allah, benda baik” balas kawan UCU. UCU pula kata, ”Berat rasanya belajar yang ni, aku rasa banyak masalahnya. Hingga kini aku tak dapat jalannya”. “Perlahan-lahan _ _ _ _, boleh”, balas kawan UCU. Ungkapan dari kawan UCU ini benar-benar menyentakkan UCU… macam pernah dengar ungkapan yang dah lama UCU tak dengar. Ungkapan yang ringkas dan mungkin tidak bermakna pada sesiapa tapi amat bermakna buat UCU. Arwah emak selalu kata begitu pada UCU bila UCU hadapi masalah belajar. Arwah Pandak pun ada kata begitu. Ini yang UCU maksudkan kata-kata yang tepat dan yang hendak UCU dengari yang datang dari keikhlasan yang bukan dibuat-buat. Ungkapan yang menyegarkan semula semangat UCU yang mana sebelum ini semangat UCU belajar seolah-olah menurun sedikit demi sedikit dengan pelbagai masalah yang ditempuhi. UCU hanya berkata, “Terima kasih _ _ _”. Sepanjang perbualan UCU dengan kawan UCU , UCU rasa senang sekali. Nampak beliau begitu ikhlas dan jujur. Sekali skala beliau mengusap-usap belakang UCU. Dan sekali sekala menyedarkan sikap baik UCU yang tidak pernah UCU sedar apa yang diperhatikan oleh kawan UCU kepada UCU. Malu juga UCU, kerana sikap yang di cakap itu adalah sikap di sekolah dulu. Dia kata UCU macam dulu juga tak pernah berubah (harap bukan menunjuk baik atau riak pada diri)- merendah diri, tidak menunjuk-nunjuk, tidak sombong, tidak mahu dikenali, dan disenangi. Apa yang UCU boleh kata, “yea ke?” selepas bertahun-tahun, pada hari ini dia kata begitu dengan UCU di bulan baik dan dalam kawasan masjid pula itu. Kalau itu lah kebenarannya, UCU menadah kedua tangan mengucapkan kesyukuran dan moga Allah S.W.T kekalkan sifat baik UCU ini jika sikap ini menjurus kepada kebaikan. Tapi mungkin juga ada sikap-sikap yang UCU rasa telah berubah seperti katanya… UCU ini tidak suka marah orang. UCU kena semak sikap ini pada diri UCU kerana jika betul ia telah hilang maka UCU kena carinya semula.
Pertemuan kawan UCU ini menimbulkan satu kenangan semula..imbasan semula pada zaman sekolah bila dia menyebut nama beberapa kawan-kawan yang lain. UCU masih ingat bagaimana UCU dan kawan UCU ini sentiasa dalam kumpulan yang sama di meja makmal kimia, fizik dan biologi. Waktu rehat selalu bersama beliau. Antara murid termasuk UCU yang tidak diberikan harapan oleh Cikgu sekolah dalam pelajaran untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Kawan UCU yang sentiasa menguntumkan senyuman walau nama gelaran dipanggil. Setahu UCU, UCU tidaklah rapat dengannya di sekolah tetapi bila ada bertemu dengannya kini UCU rasa senang dengannya. Paling tidak pertemuan dengan beliau malam ini, menyuntik sedikit semangat bagi UCU dalam meneruskan pengajian UCU hingga berjaya…ungkapan yang sungguh bermakna yang bertepatan untuk didengar yang lama tidak didengari UCU ..”perlahan-lahan, boleh”. Allah itu maha kaya, maha pemurah dan maha penyayang… gerakan hati UCU untuk bertarawih di masjid ini malam ini, bertemu pula dengan kawan lama yang katanya saja datang ke masjid ini sedangkan dia dan keluarganya duduk jauh dari nilai hampir 45 minit perjalanan dengan kereta. Memang benar kebesaran malam mulia…malam Ramadan…bulan keampunan dan bulan keberkatan. Selepas bersalam-salaman dan mengemaskinikan nombor telefon bimbit, UCU berkata kepada isterinya, “jaga kesihatan _ _ _ ni. Kawan baik saya sejak sekolah”, “Ingat rupa uncle yea, ini rupa kawan baik bapa awak”, kata UCU kepada anak-anaknya. “Ya Allah, berikan kesejahteraan kepada sahabat ku ini dan kesihatan yang baik kepada dirinya, Amin”.
Pertemuan ini mengingatkan kata-kata yang pernah arwah emak katakan pada UCU, “berkawan baik-baik” - “pilih kawan baik-baik” - “tak semua kawan itu kawan” – “jangan hari ni kawan, esok jadi lawan” – “jangan besar kan kawan aje, esok sendiri susah” – “belajar berkawan, jangan sombong bodoh”. Satu yang UCU ingat kata arwah abah kepada arwah emak masa mereka berdua-duaan di tangga rumah, UCU masa itu duduk di tangga juga masih kecil tapi kira mereka berdua-duaan lah itu… “_ _ _ _ (nama abang UCU) kawan dengan sapa. Kena tengok-tengok kan juga”. Semua kata-kata itu dapat menggambarkan betapa seorang ibu dan seorang bapa amat mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan untuk memastikan anak mereka mendapat kawan yang betul. Alhamdulillah, kawan UCU ini adalah antara kawan yang UCU berkawan yang betul, Insya-Allah.
Akhir kata dari UCU, kawan ketawa ramai, kawan menangis susah dicari…maka carilah kawan yang menyenangkan jiwa.
Salam, hormat.
-UCU-
No comments:
Post a Comment