Nilai Impian | Ahad| 15.07.2012 |1.10 pagi | Panas
Sungguh lama UCU tidak mencoret kan sesuatu di blog ini. Sebenarnya banyak yang hendak UCU kongsi tapi tak kesampaian kerana kekangan masa untuk menulis. Namun hari ini UCU terpanggil untuk menulisnya kerana UCU rasa sangat penting untuk disuarakan dengan apa yang UCU alami dan pelajari sesuatu dari pengalaman ini.
Hari ini UCU dikunjungi seorang kawan. Kawan yang tidak rapat sangat namun tetap seorang kawan. Sebenarnya perjumpaan kami adalah untuk membincangkan satu urusan kertas kerja. Namun selingan dengan satu cerita dari kawan ini tentang dirinya. Topik yang tidaklah penting sangat buat UCU tapi sebagai kawan UCU menjadi pendengar yang baik dengan apa yang diceritakan oleh kawan UCU ini. UCU tahu dia ingin melepaskan rasa resah di hatinya yang memerlukan orang lain mendengarnya. UCU ceritakan semula dalam blog ini tapi telah ada sikit ubahsuai agar lebih umum dan tersimpan perkara-perkara yang tidak sepatut diketahui oleh umum.
Ceritanya: “…Amat sepi pada malam ini, aku terasa kehilangan buat sementara orang-orang tersayang. Isteri dan anak-anak pulang ke rumah orang tuanya. Aku merestui kepulangan mereka itu. Kepulangannya atas permintaan orang tuanya untuk sama-sama meraikan seseorang tetamu yang istimewa. Namun, aku tidak dapat pulang bersama pada malam ini kerana memilih melaksanakan urusan yang lebih penting iaitu menelaah dan menyiapkan kerja yang perlu disiapkan yang telah aku tertunggak agak lama. Sebenarnya takut juga menjadi isu atau tanggapan yang salah dengan ketidak hadiran atau kepulangan aku. Sungguhpun begitu, aku telah menjelaskan pada mentua bahawa aku tidak akan dapat bersama meraikan tetamu istimewa itu kerana ada urusan penting untuk atasi masalah yang sedang aku hadapi dan jika aku tidak laksanakan walau sedikit ia boleh menyesalkan diri aku. Beliau pun ada berikan hujah supaya aku dapat pulang kerana urusan aku itu boleh tangguhkan dulu, malah aku tidak perlu susah-susah kerana ipar aku akan datang menjemput. Pilihan keputusan yang aku buat, aku tidak ikutkan komitmen itu, aku harap mentua aku faham dan memaafkan aku.
Cerita yang hendak aku katakan ini bukan kepada komitmen yang patut yang aku berikan kepada mentua tetapi menumpukan kepada kehilangan sementara orang-orang tersayang kerana menunaikan permintaan orang tuanya yang juga mempunyai hak untuk menerima kasih sayang dari anak-anaknya. Bila kata kasih sayang pada isteri dan anak-anak, aku menyingkap kembali kenangan lepas, selama keluarga aku menghadapi satu ujian di mana isteri aku jatuh sakit. Aku merasakan sesuatu yang dipelajari. Semasa isteri sakit, aku sentiasa dapat bersama-sama dengannya. Aku bercuti dan dia bercuti. Menjaga dia di hospital swasta. Sentiasa mendoakan dirinya sentiasa selamat dan cepat sembuh. Sentiasa ada di sampingnya, sepanjang masa sama ada waktu subuh, tengah hari, petang malam dan subuh semula. Begitu juga anak-anak sentiasa dapat bersama-sama. Ada kalanya sama-sama tidur di hospital. Agak sukar ketika itu tetapi nikmatnya sangat mengeratkan kami sebagai sebuah keluarga yang bahagia. Betapa kasih, betapa sayang dan betapa cintanya antara satu sama lain. Nikmat dari ujian itu rupanya meminta kami belajar tentang erti kasih dan sayang antara suami dengan isteri, bapa dengan anak-anak, ibu dengan anak-anak dan adik dengan kakak. Bila ada kesukaran maka masa itulah terpamer kasih sayang dengan jelas. Selepas melalui pembedahan pula menjadikan keadaan lebih sukar tapi lebih indah apabila segala penjagaan diri dan makan minum dijaga. Aku menjaga isteri dengan begitu rapi. Setiap pagi aku membersihkan diri beliau. Bila di rumah, begitu juga memandikan beliau. Sarapan pagi dibawakan ke bilik tidur, makan tengah hari dibawakan ke bilik, makan malam dibawa ke bilik. Semua hidangan dihiasi dengan teliti untuk mencetuskan selera makan dan keselesaan. Semua dibuat kerana kasih dan sayang yang tidak berbelah bagi. Mereka di luar mungkin tidak faham kerana mungkin bukan urusan mereka untuk memikirkannya. Rawatan harian ke hospital ditemani hari demi hari. Orang luar tidak memahaminya. Sebaliknya orang luar tidak akan memikirkan itu semua. Kecuali mereka yang benar-benar memikir dan merenunginya keadaan kami, ada tapi seorang dua yang begitu prihatin. Namun, ada orang yang masih mahu lepas kan kepentingan mereka sahaja. Tidak memikirkan status kesihatan isteri aku. Hanya memastikan matlamat mereka tercapai. Balasan terima kasih sahaja bila matlamat tercapai. Mereka tidak melihat kesukaran dan permasalahan dari cakap-cakap mereka dan permintaan-permintaan mereka. Mengapa ada sikap sebegini?
Apabila isteri aku telah mulai beransur sihat kembali semula perjalanan hidup normal semula. Apa yang ketara dapat dilihat umpamanya memenuhi permintaan orang lain dan sanggup biarkan masa kurang diluangkan bersama. Aku dapati mula semula unsur-unsur permintaan orang lain menguasai perjalanan hidup keluarga kami, cubaan mempengaruhi pilihan yang kami buat dan cubaan mempengaruhi keputusan yang kami buat. Bila hendak menjaga hati orang lain tak kira lah orang tua, saudara mara, jiran-jiran dan siapa sahaja maka akan mengurangkan masa bersama suami dengan isteri, isteri dengan suami, suami dengan anak, isteri dengan anak, adik dengan kakak. Mengapa jadi begini? Adakah mereka di luar tidak memikirkan bahawa sebarang permintaan mereka itu jika tidak difikirkan sedalam-dalam akan menyukarkan kehidupan orang lain seperti kami. Atau ada yang mementingkan matlamat mereka tercapai? Atau hanya mereka fikirkan mereka ada hak atau kuasa ke atas diri kami. Atau sebenarnya kami yang lebih mementingkan mereka hingga lupa akan kepentingan rumah tangga sendiri, diri sendiri, suami, isteri dan anak-anak.
Isteri sakit adalah rahmat bagi diri dan isteri aku kerana aku dapat buktikan pada diri aku yang aku sangat sayang pada isteri aku. Isteri aku pula dapat sembuh dari penyakit yang ditanggung selepas rawatan dibuat. Aku mampu lakukan penjagaan kepada diri isteri aku. Walau banyak kelemahan dan kekurangan pada diri aku dalam memberi keselesaan kepada nya seperti pengangkutan tetapi sekurang-kurang aku boleh menyediakan satu kemudahan pengangkutan pengganti. Aku cuma berharap isteri aku tidak tamak dalam berkehendakkan apa yang aku sediakan kepada dirinya. Aku sangat mengharap isteri aku sedar betapa aku sayangkan dirinya. Harap juga isteri aku sedar bahawa sayang aku ini bukan kerana kebolehan, harta, kemampuan atau apa jua yang ada pada diri aku. Tapi seadanya yang ada pada aku yang termampu aku berikan kepadanya adalah kejujuran sedikit itu untuk sayang kepadanya. Anak-anak begitu juga aku semakin memahami mereka, kesukaran mereka dan tingkah laku mereka. Memang susah untuk memahami kerenah mereka. Tetapi aku dapat pelajaran dari itu semua. Yang penting aku lebih memahami perasaan mereka tentang sekolah, tentang pelajaran, tentang kelemahan mereka dan kelebihan mereka. Seronok juga.
Aku sentiasa berdoa semoga aku dapat menyayangi isteri, anak-anak, ibu dan bapa, dan adik-beradik aku. Begitu juga aku sentiasa berdoa agar aku turut diberi perasaan menyayangi keluarga isteri aku dan berdoa semoga mereka menerima aku seadanya bukan mencampuri urusan aku dengan perkara-perkara yang tidak wajar dan membuat keputusan-keputusan buat diri aku, isteri aku dan anak-anak aku, atau juga mengikuti cara hidup mereka. Pada fikiran aku mencampuri urusan rumah tangga orang lain lah yang menyebabkan sesebuah rumah tangga itu kucar kacir. Kerana kata-kata yang kononnya untuk memberi kebaikan atas nasihat-nasihat yang bernas tidak semestinya dapat diterima dengan baik. Aku bertekad bila anak-anak aku telah berumah tangga maka aku tidak akan mencampuri urusan mereka kalau aku percaya anak-anak aku memang bahagia dan menerima suasana rumah tangga mereka. Aku hanya melindungi anak-anak aku apabila mereka sendiri berkata ingin meminta bantuan dan nasihat. Aku rasa itu lebih adil kepada anak-anak dan menantu aku, insya-Allah. Bila tiada sepak terajang, dera mendera, cukup makan, cukup pakai, tiada keganasan, tidak mabuk-mabuk, tiada maksiat dan yakin dengan gelak ketawa kegembiraan maka bahagialah rumah tangga mereka itu.
Suatu yang aku tak faham, kenapa orang lain perlu memikirkan kelemahan orang lain sedangkan mereka selalu mengatakan kita perlu fikir secara positif. Kelemahan pada apa yang mereka fikirkan tetapi mereka tidak pernah nak fikirkan kenapa kelemahan itu terjadi dan kelebihan kelemahan itu kepada tuan empunya diri. Aku dapat rasakan banyak lagi rumah tangga yang dicampuri tangan oleh orang lain termasuk ibu bapa sendiri atau mentua. Aku fikir suatu perkara yang tidak elok mencampuri urusan rumah tangga orang lain hingga menggugat kasih sayang dalam rumah tangga tersebut. Sepatutnya jika diminta pertolongan atau diminta nasihat secara terbuka barulah orang lain ini membantu atau mencampuri nya. Mengapa perlu seseorang itu mencetuskan atau mewujudkan ‘spark’ dalam sesebuah rumah tangga hingga boleh mewujudkan pergaduhan atau ke tidak puas hati antara pasangan suami isteri atau kalangan anak-anak. Bukankah itu hasutan halus yang mengganggu fikiran dan boleh menimbulkan tingkah laku yang tidak sepatutnya berlaku.
Walaupun hari ini aku biarkan isteri dan anak-anak aku pulang kepada ibu bapanya walaupun aku lebih memerlukan mereka di sisi aku namun aku tidak mahu isteri aku dikatakan telah derhaka kepada kedua ibu bapa mereka. Aku pula yakin tidak akan jatuh derhaka kerana aku telah pun menjelaskan kenapa aku tidak perlu pulang buat masa ini kerana ada suatu yang perlu diuruskan dan kebimbangan dan pelbagai perkara yang mencemaskan yang kalau tidak dilakukan memberi rasa susah hati…tidak kah itu boleh mengganggu kesihatan jiwa yang akhirnya boleh bawa permasalahan yang lain. Tetamu istimewa yang aku kata kan tadi itu pun boleh aku temui bila-bila masa. Cuma penting sangat kerana masa dan peristiwa ini menjadi lembaran baru dalam keluarga mentua. Tapi bagi aku tanpa aku tetamu istimewa itu tidak akan rasa apa-apa pun…malah aku lebih menolong kepada ibu dan bapa mentua mempunyai masa lebih dengan tetamu istimewa itu. Aku lebih selesa sedemikian. Dan aku lebih dapat menumpukan menyelesaikan masalah aku pada malam ini dan pagi esok, insya-Allah. Tapi sunyi kerana tiada isteri dan anak-anak. Sebenarnya aku memerlukan mereka pada hari ini atau pada keadaan aku kini. Mungkin ini satu pengorbanan aku kepada ibu bapa mentua aku walaupun aku tahu aku ada hak menyekat atau menghalang isteri dan anak-anak untuk pulang ke sana. Tapi aku fikir aku telah membuat keputusan yang adil buat isteri dan ibu bapa mentua aku dengan hak yang aku ada…”
Begitulah ceritanya. UCU taklah komen apa-apa sepanjang penceritaan kawan itu tadi. Cuma anggukan dan perkataan mengiakan sahaja.
Bagi UCU, sememangnya UCU percaya dengan apa yang arwah abah kata pada emak UCU yang disampaikan kepada anak-anak, “Saya tak ada harta untuk tinggalkan kepada mereka, saya hanya beri mereka belajar supaya mereka ada pendidikan”. Arwah abah juga ada kata pada arwah emak, “kita hanya boleh perhati saja bila anak-anak kahwin. Bukan urusan kita betulkan isteri atau laki dia orang”. Tentang kehidupan ini, arwah emak UCU juga pernah kata pada UCU, “apa guna bawak kereta besar-besar, apa guna duit banyak, apa guna rumah besar, kalau diri sombong bongkak, orang pun tak suka. Esok bila dah kahwin jaga bini betul-betul. Jaga anak betul-betul. Jangan esok bini dengan anak, orang benci”. Arwah emak UCU juga pernah kata “ jangan ikut cakap enggang makan buah temolok, ikut cakap orang, diri masuk lubuk”. Abah dan emak UCU tak ada rumah besar, tak ada kereta, tak ada duit banyak, tidak berjawatan besar, tapi UCU kata mereka tidak masuk universiti dan tak ada pun PhD tapi mereka ada idea yang besar yang telah dapat dilunaskan untuk masa depan anak-anaknya. UCU sangat bangga dengan mereka. Kejayaan abang-abang dan kakak-kakak UCU dan UCUsendiri adalah dari hasil aturan dan acuan mereka. Yang jelas UCU dapat renungkan dan pastikan abah dan emak telah mengajar kami membuat keputusan dan pilihan sendiri. Mereka tidak mendesak UCU dan adik-beradik, tidak merungut, mereka mengatur UCU adik-beradik semasa kami bersama mereka, kami diasuh saling hormat-menghormati, dan mereka hanya meletakkan satu harapan masa depan kami baik. Tapi selepas itu kami dewasa, mereka hanya memerhati dan memendam yang UCU pasti tiada siapa yang tahu isi hati mereka. Yang pasti mereka mahukan kami bahagia dengan jalan hidup kami sendiri… menyayangi keluarga masing-masing. Nikmatilah kehidupan dalam keluarga dengan nikmat sayang yang dipinjamkan sementara ini.
Akhir kata dari UCU, sayang menyayang, cinta disemai, perasaan menjadi rindu..oh...oh…oh…
Salam, hormat.
-UCU-
No comments:
Post a Comment