Wednesday, July 18, 2012

BAGAIMANAKAH JODOH PERTEMUAN MEREKA…

Nilai Impian | Khamis| 19.07.2012 |5.00 pagi | Sejuk

Rezeki dan  ajal maut itu adalah rahsia Tuhan.  Begitu juga  dengan jodoh pertemuan.  UCU hari ini hendak bercerita serba sedikit apa yang UCU terdengar dan ketahui beberapa kisah tentang pasangan yang wujudkan jalinan hubungan hingga mereka ada yang sampai matlamat bergelar pasangan suami isteri. Sesuatu mungkin boleh dipelajari dari kisah-kisah yang digarap ini. 


Kisah 1:

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terpaksa bekerja di kilang papan. Kanak-kanak ini seorang anak yatim dan terpaksa menyara keluarga setelah kematian bapa. Kanak-kanak ini selalu membeli kuih muih dengan seorang gadis yang membawa adiknya.  Kanak-kanak tadi masih ingat adik gadis itu berkudis di kaki setiap kali baju labuh dipakai tersingkap.  Masa berlalu kanak-kanak tersebut membesar menjadi seorang pemuda dan menjadi seorang askar.  Adik gadis penjual kuih tadi pula menjadi gadis remaja dan bersekolah dan berkawan pula dengan adik pemuda askar.  Suatu hari, satu majlis kenduri diadakan di rumah adik pemuda askar.  Ibu pemuda askar berkenan gadis  remaja itu.  Pertunangan telah dibuat antara orang tua.  Gadis remaja tidak mengetahui siapa tunangnya.  Sebaliknya pemuda askar mengetahuinya.  Setiap kali pemuda askar bercuti beliau akan menunggu tunangnya di titi jalan pulang dari sekolah.  Gadis remaja  tidak mengenali tunangnya. Sehingga sekeping gambar diberikan.  Sejak itu gadis remaja akan mengelakkan diri dari melalui jalan biasa jika mengetahui tunangnya ada bercuti.  Tiba saatnya mereka berkahwin, pada ketika gadis remaja itu masih lagi bersekolah.  Gadis remaja berhenti sekolah dan mengikuti suaminya merantau sebagai sebahagian kehidupan seorang isteri askar. Mereka bercerai mati. Isteri menjadi balu hampir 26 tahun dan pulang ke rahmatullah setelah membesarkan anak-anak dengan jayanya.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 2:

Di sebuah kampus seorang pemuda yang selama pengajiannya tidak mahu mengadakan sebarang hubungan dengan seorang gadis di kampus. Pemuda ini menyibukkan dirinya dengan pelbagai aktiviti pelajar dan pernah menjadi presiden dalam persatuan fakultinya.  Namun, disebabkan kemerosotan dalam pelajarannya, atas nasihat penasihat akademiknya beliau telah membuang semua kegiatan pelajar dalam hidupnya dan memberi tumpuan dalam pelajaran.   Akibatnya beliau mula rasa sunyi dan sesuatu yang kosong dalam hidupnya di kampus. Namun terjadi satu lembaran baru dalam hidupnya bila suatu pagi pemuda ini diberikan sepucuk surat yang hanya mengandungi lirik sebuah lagu. Surat ini diberikan oleh seorang gadis yang kurang dikenalinya tetapi mengusik hati kegembiraan bila terpandang atau bertembung dengannya.  Gadis ini bukan kerap dijumpa atau berbual dengannya. Lirik lagu yang memberi gerak hati kepada pemuda ini bahawa gadis ini juga memendam perasaan dengannya.  Zaman 90an belum ada kemudahan sms kerana tiada telefon bimbit.  Dengan menggunakan seorang kawan, pemuda telah menghantar nota ringkas untuk berjumpa dengan gadis tersebut di sebuah restoran di kampus.  Tiba masanya, pemuda dan gadis pun bertentang mata.  Pemuda terus mengatakan bahawa hasratnya untuk jadikan gadis itu sebagai isterinya bukan sebagai teman seperti pasangan-pasangan di kampus yang duduk melepak tidak tentu fasal. Pemuda ini menegaskan kepada gadis tersebut tiada ‘cuba-cuba’ dalam hubungan yang hendak dijalinkan. Pemuda itu menjelaskan jika tidak diterima oleh gadis itu maka itulah pertemuan pertama dan yang terakhir.  Hubungan yang hendak dijalinkan ialah sebagai isteri di masa depan.  Gadis itu terima pemuda itu.  Maka hubungan pemuda dan gadis tersebut terjalin selama 4 tahun lebih dan hingga ke jinjang pelamin. Sepanjang tempoh hubungan mereka di kampus mereka berjaya dalam pelajaran malah beberapa kali mendapat kepujian dekan…hebat. Yang pasti tetap ada ranjau dan duri dihadapi mereka.   Pemuda dan gadis tersebut hingga kini masih sebagai suami isteri.  Bagaimanakah kesudahan jodoh pertemuan mereka….   



Kisah 3:

Di kampus seorang pemuda bertemu dengan seorang gadis dan komited dalam hubungan.  Semua pelajar kampus mengetahui mereka adalah pasangan yang  bercinta. Selama berada di kampus mereka tidak pernah renggang, ibarat macam belangkas. Selepas graduan mereka berkahwin. Perkahwinan mereka bertahan selama seminggu dan mereka bercerai.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka… 


Kisah 4:

Seorang gadis telah dipertemukan dengan seorang pemuda melalui seorang gurunya.  Pemuda ini mempunyai pertalian darah dengan gurunya. Pemuda ini yang meminta guru ini mencarikan pasangannya dengan kriteria yang ditentukan. Pemuda ini juga dari kalangan keluarga yang kaya raya. Pada prinsipnya, gadis ini bersetuju dengan lelaki ini. Namun, gadis ini terus menegaskan beliau hanya akan bercinta selepas perkahwinan.  Gadis dan pemuda ini hanya berbalas-balas khidmat pesanan ringkas (sms). Atas nasihat gurunya setiap hubungan sms perlu disalinkan kepada muhrimnya.  Maka setiap kali sms, gadis tersebut membuat salinan kepada abang-abangnya.  Begitu juga pertemuan mata mereka akan ada bersama ahli keluarga gadis tersebut. Pemuda ini juga telah berkunjung ke rumah gadis untuk berkenalan dengan ibu bapa gadis.  Namun pemuda tersebut belum lagi memberitahu tentang kehadiran gadis ini kepada ibu bapanya.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka….


Kisah 5:

Di kampus seorang pemuda bertemu seorang gadis berasal dari negara jiran.  Pasangan yang sangat komited sehingga tidak mengenal batas. Pernah tertangkap beberapa kali tapi mereka tetap bersama dan terus menerus melakukan aktiviti mereka tanpa batasan.  Malangnya percintaan mereka tidak direstui oleh ibu bapa mereka.  Namun mereka di kampus terus bersama.  Mereka ini tidak pula mengganggu atau menyakit hati orang lain. Cuma kurangnya aktiviti mereka yang tidak mengenal batas menyebabkan mereka dipandang serong.  Perkhabaran akhir yang diterima mereka berkahwin selepas tamat pelajaran dan hidup bahagia.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 6:

Seorang pemuda amat kecewa apabila beliau bertepuk sebelah tangan. Cinta beliau tidak berbalas oleh seorang gadis di kampus walau berbagai-bagai usaha telah dibuat. Akhirnya, beliau bertekad tidak berkahwin dan masih berharap pada gadis tersebut.  Sekian lama tidak berpasangan dan memberi cintanya kepada seseorang gadis.  Dijadikan cerita, adik lelaki pemuda telah kemalangan dan meninggal dunia.  Sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau sempat membuat permintaan terakhir kepada pemuda tersebut iaitu abangnya supaya berkahwin.  Pemuda ini telah menyerahkan mencari pasangan kepada ibu bapanya.  Beliau telah di kahwinkan  dengan seorang gadis pilihan ibu bapanya.   Pemuda itu tetap macam biasa, seolah-olah beliau belum berkahwin.  Beliau tidak merasai bahawa beliau sekarang bergelar suami dan mempunyai seorang isteri.  Cinta beliau masih pada gadis yang tidak membalas cintanya.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 7:

Seorang pemuda telah bertemu dengan seorang gadis dan menjalinkan hubungan.  Mereka bersetuju untuk berkahwin.  Sungguhpun begitu, pemuda amat takut untuk memberi tahu bapanya yang sangat garang.  Menjadi tradisi keluarga pemuda bagi setiap pasangan hidup anak mereka akan dicarikan dan diaturkan oleh keluarga. Dulu-dulu semuanya boleh jadi.  Pemuda mengambil keputusan berkahwin secara sembunyi dengan gadis pilihannya. Ideanya ialah kalau bapanya marah pun dia telah berkahwin. Selepas berkahwin barulah pemuda itu memberi tahu bapanya yang beliau ingin berkahwin dengan gadis pilihannya.  Sesuatu yang mengejutkan, bapa pemuda tidak membangkang sebaliknya bersetuju dengan pilihan anaknya itu.  Maka seperti adatnya, bapa pemuda itu membuat majlis merisik, kemudian bertunang dan majlis pernikahan.  Tiada siapa tahu bahawa pemuda ini telah pun bernikah secara sah dengan gadis tersebut.  Bermakna pemuda ini bernikah dua kali dengan gadis tersebut.  Mereka hidup bahagia.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…



Kisah 8:

Seorang gadis menyukai seorang pemuda kampungnya yang juga rakan sekolahnya. Pemuda itu juga menyukai gadis tersebut.  Mereka menjalinkan hubungan. Cuma caranya mereka tidak kerap berjumpa kecuali kerap mengutus surat.  Mereka berjumpa apabila hari raya.  Pastinya pemuda akan datang mengunjungi rumah gadis tersebut.  Malah keluarga pemuda mempunyai hubungan saudara dengan keluarga gadis tersebut.  Malangnya hubungan mereka tidak direstui oleh ibu pemuda. Akhirnya pada suatu malam, pemuda itu telah menemui gadis tersebut dan membincangkan sesuatu yang pastinya mengenai memutuskan hubungan mereka.  Pemuda itu menyatakan yang dia akan menurut kata ibunya dan menerima pasangan pilihan ibunya. Akhirnya gadis itu berputih mata dan bertekad tidak akan membuka pintu hati lagi kepada lelaki lain.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 9:

Seorang lelaki bertemu dengan seorang gadis di kampus.  Mereka menjalinkan hubungan dan berkahwin selepas tamat pengajian.  Namun, lelaki ini seolah-olah dikawal oleh isterinya yang amat mementingkan status dan kehidupan yang formal.  Hingga menyebabkan ahli keluarga lelaki turut kurang selesa.  Sekian lama berkahwin, lelaki tersebut menghadapi masalah kesihatan dan menjalani pembedahan pada saluran jantungnya.  Beliau mulai sihat semula dan cergas.  Satu berita yang mengejutkan berlaku apabila beliau mengumumkan kepada ahli keluarganya yang beliau akan berkahwin lagi.  Isterinya terkejut kerana beliau akan dimadukan.  Lelaki tadi mendapat sokongan padu dari beberapa orang ahli keluarganya.  Mereka turut membantu menguruskan perkahwinan lelaki tersebut.  Lelaki tersebut berkahwin dengan gadis pilihannya.  Beliau kini beristeri dua.  Namun, isteri pertama sukar menerima hakikat dan sehingga kini tidak menerima kehadiran madu dalam hidupnya. Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 10:

Seorang pemuda di kampus dalam diam memendam perasaan cinta dengan seorang rakan sekursus dengannya. Pemuda ini seorang yang menggemari bidang penulisan kreatif seperti puisi.  Begitu juga gadis idamannya.  Pada suatu malam pemuda ini telah mendengar di corong radio satu slot rancangan penyampaian puisi yang dibacakan oleh DJ pada malam itu.  Sebuah puisi bertemakan cinta telah ditujukan kepada pemuda itu.  Penulis puisi menggunakan nama samaran atau pena.  Bagaimanapun, pemuda itu mengetahui nama pena itu adalah gadis idamannya. Maka terjadilah satu episod hubungan cinta antara pemuda dengan gadis idamannya itu.  Suatu yang amat menarik antara mereka ialah mereka menyembunyikan percintaan mereka dari rakan-rakan hingga mereka tamat belajar.  Suatu yang menjadi ingatan rakan-rakannya ialah pemuda ini selalu menulis sesuatu di atas seketul batu.  Rupa-rupanya itulah suratnya kepada gadis idamannya. Begitulah percintaan insan kreatif katanya. Mereka berkahwin akhirnya.   Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…



Itulah kisah-kisah yang UCU garap dari apa yang UCU dengar dan ketahui.  Jodoh pertemuan itu amat pelik ketentuan adanya.  Namun itulah yang berlaku.  UCU mensyukuri jodoh pertemuan itu telah membawakan UCU kepada seorang pasangan hidup yang membahagiakan.  UCU masih ingat apa yang arwah emak UCU kata, “Bini itu nanti jangan pilih muka cantik saja, budi bahasa dan hormat orang tua kena tengok juga”.  Emak UCU juga kata, “bini yang baik, bini yang dengar kata lakinya, laki yang baik pulak macam abah tak campur hal orang lain, fikir tentang anak bini saja”.  Sepanjang yang UCU ingat arwah abah tidak pula ada cerita fasal jodoh pertemuan anak-anaknya. Cuma arwah abah buat lawak katanya, “kalau nak buat kenduri kahwin anak-anak nanti, saya nak buat makan roti canai saja jimat.  Kalau nak lagi jimat saya buat majlis kahwin pada bulan puasa”. Tapi yang pasti arwah abah UCU sempat memperuntukkan wang kepada arwah emak untuk perkahwinan abang UCU. Namun begitu, arwah abah tidak sempat melihat seorang pun anaknya berkahwin.  Al-Fatihah buat abah dan emak UCU.

Akhir kata dari UCU, kasih, sayang dan cinta itu hak kepada semua insan yang  tidak bersempadan dan akan terus subur jika hati tidak berubah. 
Salam, hormat.

-UCU-

No comments:

Post a Comment