Thursday, July 26, 2012

BERJUMPA KAWAN LAMA YANG MENYENANGKAN

Nilai Impian | Khamis| 26.07.2012 |12.00 tengah malam | Panas
Selepas berbuka puasa bersama keluarga dan adik ipar, gerak hati UCU begitu kuat untuk menunaikan solat Tarawih di sebuah masjid utama di Nilai. Masjid ini juga pada malam pertama Ramadan, UCU bersama keluarga dan adik ipar UCU menunaikan solat Isyak dan Tarawih.  Menakjubkan malam pertama yang memperlihatkan ahli jemaah yang ramai dan memenuhi ruang masjid. Namun pada malam ini UCU lihat tidak seramai ahli jemaah pada malam pertama tempoh hari. Ini mungkin kesan daripada apa yang terjadi pada malam pertama, pemerhatian UCU ramai ahli jemaah bangun apabila sesi tazkirah hendak dimulakan selepas solat tarawih selesai dilaksanakan pada rakaat ke empat.  Empat rakaat lagi dan sunat witir akan disambung selepas selesai tazkirah. Seorang ahli jawatankuasa masjid memaklumkan tarawih pada malam itu 8 rakaat dan sunat witir pengakhirannya. Beliau memaklumkan bahawa sesi tazkirah akan diadakan selepas selesai rakaat ke empat. Pada tanggapan UCU mungkin ahli jemaah kurang bersetuju dengan sesi tazkirah di adakah selepas empat rakaat. Ramai antara mereka mencari tempat di belakang menyelesaikan solat tarawih dan witir secara sendirian dan ada yang berjemaah dengan anak-anak mereka atau rakan-rakan mereka. Mereka terus pulang selepas selesai melaksanakan tarawih.  UCU juga menyelesaikan tarawih dengan anak lelaki UCU di belakang, tidak menunggu tazkirah selesai. 

UCU ada terfikir juga rasanya tidak wajar buat tazkirah di pertengahan pelaksanaan keseluruhan rakaat tarawih, ada yang hendak membuat 8 rakaat dan ada yang hendak buat 20 rakaat. Ini kerana semangat dan matlamat hendak mengerjakan solat tarawih mungkin boleh terganggu. Tak tahu lah UCU sama ada betul atau salah apa yang UCU fikirkan.  Tapi dengan pemerhatian UCU, reaksi jemaah, ditambahi lagi dengan tazkirah yang panjang serta mutu pembesar suara yang tidak jelas di dalam masjid menjadikan tazkirah itu mungkin tidak mencapai matlamatnya.  Pada pandangan UCU dan berani UCU katakan tiada siapa boleh menafikan bahawa tazkirah itu baik, namun pelaksanaannya perlu kena pada masa yang betul baru dapat manfaatnya.  Jika sekadar mengadakan tanpa mengambil kira keberkesanan dan kecekapan pengaturannya maka ia akan menjadi sia-sia sahaja.  Jadi adakah jemaah pada malam ini tidak ramai di sebabkan ramai jemaah malam pertama sebelum ini telah lari ke masjid-masjid atau surau-surau lain yang lebih bertepatan dengan matlamat solat tarawih mereka dengan tenaga dan masa terhad yang mereka ada.

Namun begitu, pada malam ini solat tarawih tiada sesi tazkirah, dan dilaksanakan dalam 20 rakaat. Ada ahli jemaah yang kadar termampu 8 rakaat. Ada ahli jemaah yang berupaya menyelesaikan 20 rakaat.  Dan UCU hentikan kepada 8 rakaat dan 3 rakaat solat witir. Terhenti, kerana setelah salam ke empat atau menyelesaikan 8 rakaat, tiba-tiba UCU terdengar satu suara bisikan perlahan di sebelah kanan UCU datang dari seorang lelaki menyebut nama UCU, “ini _ _ _ _ (nama UCU) kah?”.  Bila UCU menoleh kepada nya, kegirangan timbul di hati UCU kerana kawan lama UCU rupa-rupanya.  UCU terus merangkul bahunya rapat ke bahu UCU sebagai reaksi spontan rasa gembira UCU.  UCU terus menyuarakan hasrat untuk berjumpa dengannya selepas UCU selesai mengerjakan solat witir. Beliau bersetuju dengan cadangan UCU itu.  Selepas selesai solat witir UCU ke tandas untuk qada’ hajat. Kemudian UCU tunggu kawan UCU selesaikan solat witirnya.  UCU lihat kawan UCU itu berjalan ke arah UCU dengan senyuman. Memang kawan UCU ini seorang yang pemurah dengan senyuman. Dari jauh UCU lihat beliau sangat berlainan dari sudut fizikalnya.  Sebenarnya UCU dah hampir 2 tahun tidak jumpa beliau sejak berpindah.  Sebelum ini pun hanya 4 atau 5 kali UCU ada jumpa beliau sejak tinggalkan sekolah dulu.  Beliau adalah kawan UCU masa di sekolah menengah. Berkawan 2 tahun masa tingkatan 4 dan 5 dan lepas tu masuk Universiti yang berlainan.  Kawan UCU ini seorang yang baik dan memang baik pun berbanding dengan UCU.  Tapi dia kata UCU baik juga.  Sejak jumpa 3 atau 4 kali tu, UCU dapati dia lagi baik. 

Pertemuan UCU dengan kawan ini membawa kepada perbualan yang mungkin singkat tapi penuh bermakna… macam tazkirah lagaknya.  Melihat kepada fizikal dan air muka serta kecergasan kawan UCU seolah-olah beliau bukan seorang yang sihat.   Dalam perbualan ada UCU bertanya, “Maaflah _ _ _ (nama kawan UCU) aku bertanya, bukan hendak mengganggu peribadi kau, hanya sebagai satu pertanyaan seorang kawan yang prihatin, kau ni ada penyakit orang-orang kaya ke?”.  “Ya lah _ _ _ _, kesihatan aku tak macam dulu. Aku ada darah tinggi, kolesterol dan jantung pun ada sikit problem, gigi pun dah tak ada”, itulah jawab beliau.  “Kena lah jaga kesihatan _ _ _, kita ni dah masuk lebih 40 tahun umurnya”, balas UCU dengan rasa terharu dan simpati dengan perkhabaran yang diberikan tentang dirinya.  Memang pun, bila UCU tengok diri kawan UCU, UCU mula sedar bahawa usia UCU dah lepas 40 tahun…Ya Allah cepat betul masa berlalu.  UCU sebelum ini sentiasa rasa di jiwa yang UCU masih muda.  Bila UCU lihat kawan UCU ini ibarat UCU lihat dalam cermin itulah UCU sebenarnya. UCU betul-betul bersyukur kerana UCU diberikan kesihatan yang sihat cuma sekali sekala sahaja sakit-sakit ringan seperti deman, selesema dan batuk-batuk. 

Dalam perbualan UCU bersama kawan UCU ini, banyak betul yang UCU dapat manfaat.  UCU ini bukan lah orang yang mudah untuk dimotivasikan.  Setakat ini yang UCU boleh kata, arwah emak UCU sahaja dari kata-katanya yang boleh memberi motivasi dan semangat pada UCU walaupun dengan sepatah katanya, “Boleh”.  Tak tahulah masa UCU belajar dulu pun bila emak UCU cakap “Boleh” atau “Perlahan-lahan” sahaja bagi UCU sudah menyedapkan hati UCU dan UCU boleh bertindak dengan betul.  Seorang lagi yang boleh bagi semangat pada UCU, bapa saudara UCU, sudah arwah juga. Yang UCU panggil pangkat “Pandak”.  Dia juga cukup faham dengan perangai UCU. Apa yang keluar dari mulut Pandak pun boleh membawa semangat pada UCU. Arwah Pandak selalu kata pada UCU, “Kena buat betul-betul”.  Entahlah mungkin arwah emak dan arwah Pandak ini sangat memahami UCU agaknya. Sebab itu lah apa yang mereka cakap selalu tepat dengan apa yang UCU hendak dengar. Al-Fatihah untuk mereka berdua. Dalam hal ini, abah tidak dapat UCU rasai sangat sebab abah telah meninggal dunia semasa UCU umur 12 tahun.  Cuma UCU masih ingat kata-kata akhir pada hari beliau menghembuskan nafas terakhir, “Baik-baik naik basikal ke sekolah tu walau dah lambat.  Belajar betul-betul”… alih-alih tengah belajar sebelum pukul 12.00 tengah hari nampak abang UCU masuk kelas jemput UCU balik. Abang UCU kata, “Abah dah meninggal”…

Berbalik kepada cerita UCU dengan kawan UCU ini, terharu UCU bila dengar dari mulutnya, “Sebagai kawan, aku bangga dengan kau. Kau berbanding dengan kawan-kawan kita yang lain, kau jauh ke depan”. Balas UCU sambil memeluk bahunya rapat ke bahu UCU, “Apa pulak, semuanya hebat, ada kejayaan yang mereka dapat”.  Kawan UCU kata, “Idak, kau lain.  Aku betul-betul bangga dengan kau.  Sekarang sedang mengaji tinggi pulak”.  “Tentang belajar ni aku mintak doa kawan-kawan juga supaya aku berjaya, doa kawan-kawan macam kau ni.” Balas UCU.  “Insya-Allah, benda baik” balas kawan UCU.  UCU pula kata, ”Berat rasanya belajar yang ni, aku rasa banyak masalahnya. Hingga kini aku tak dapat jalannya”.  “Perlahan-lahan _ _ _ _, boleh”, balas kawan UCU. Ungkapan dari kawan UCU ini benar-benar menyentakkan UCU… macam pernah dengar ungkapan yang dah lama UCU tak dengar.  Ungkapan yang ringkas dan mungkin tidak bermakna pada sesiapa tapi amat bermakna buat UCU.  Arwah emak selalu kata begitu pada UCU bila UCU hadapi masalah belajar.  Arwah Pandak pun ada kata begitu. Ini yang UCU maksudkan kata-kata yang tepat dan yang hendak UCU dengari yang datang dari keikhlasan yang bukan dibuat-buat. Ungkapan yang menyegarkan semula semangat UCU yang mana sebelum ini semangat UCU belajar seolah-olah menurun sedikit demi sedikit dengan pelbagai masalah yang ditempuhi.  UCU hanya berkata, “Terima kasih _ _ _”.  Sepanjang perbualan UCU dengan kawan UCU , UCU rasa senang sekali.  Nampak beliau begitu ikhlas dan jujur.  Sekali skala beliau mengusap-usap belakang UCU. Dan sekali sekala menyedarkan sikap baik UCU yang tidak pernah UCU sedar apa yang diperhatikan oleh kawan UCU kepada UCU. Malu juga UCU, kerana sikap yang di cakap itu adalah sikap di sekolah dulu. Dia kata UCU macam dulu juga tak pernah berubah (harap bukan menunjuk baik atau riak pada diri)- merendah diri, tidak menunjuk-nunjuk, tidak sombong, tidak mahu dikenali, dan disenangi. Apa yang UCU boleh kata, “yea ke?” selepas bertahun-tahun, pada hari ini dia kata begitu dengan UCU di bulan baik dan dalam kawasan masjid pula itu.  Kalau itu lah kebenarannya, UCU menadah kedua tangan mengucapkan kesyukuran dan moga Allah S.W.T kekalkan sifat baik UCU ini jika sikap ini menjurus kepada kebaikan.  Tapi mungkin juga ada sikap-sikap yang UCU rasa telah berubah seperti katanya… UCU ini tidak suka marah orang.  UCU kena semak sikap ini pada diri UCU kerana jika betul ia telah hilang maka UCU kena carinya semula. 

Pertemuan kawan UCU ini menimbulkan satu kenangan semula..imbasan semula pada zaman sekolah bila dia menyebut nama beberapa kawan-kawan yang lain.  UCU masih ingat bagaimana UCU dan kawan UCU ini sentiasa dalam kumpulan yang sama di meja makmal kimia, fizik dan biologi. Waktu rehat selalu bersama beliau. Antara murid termasuk UCU yang tidak diberikan harapan oleh Cikgu sekolah dalam pelajaran untuk mendapat keputusan cemerlang dalam SPM. Kawan UCU yang sentiasa menguntumkan senyuman walau nama gelaran dipanggil. Setahu UCU, UCU tidaklah rapat dengannya di sekolah tetapi bila ada bertemu dengannya kini UCU rasa senang dengannya.  Paling tidak pertemuan dengan beliau malam ini, menyuntik sedikit semangat bagi UCU dalam meneruskan pengajian UCU hingga berjaya…ungkapan yang sungguh bermakna yang bertepatan untuk didengar yang lama tidak didengari UCU ..”perlahan-lahan, boleh”.  Allah itu maha kaya, maha pemurah dan maha penyayang… gerakan hati UCU untuk bertarawih di masjid ini malam ini, bertemu pula dengan kawan lama yang katanya saja datang ke masjid ini sedangkan dia dan keluarganya duduk jauh dari nilai hampir 45 minit perjalanan dengan kereta.  Memang benar kebesaran malam mulia…malam Ramadan…bulan keampunan dan bulan keberkatan.  Selepas bersalam-salaman dan mengemaskinikan nombor telefon bimbit, UCU berkata kepada isterinya, “jaga kesihatan _ _ _ ni.  Kawan baik saya sejak sekolah”, “Ingat rupa uncle yea, ini rupa kawan baik bapa awak”, kata UCU kepada anak-anaknya.  “Ya Allah, berikan kesejahteraan kepada sahabat ku ini dan kesihatan yang baik kepada dirinya, Amin”.

Pertemuan ini mengingatkan kata-kata yang pernah arwah emak katakan pada UCU, “berkawan baik-baik” -  “pilih kawan baik-baik” - “tak semua kawan itu kawan” – “jangan hari ni kawan, esok jadi lawan” – “jangan besar kan kawan aje, esok sendiri susah” – “belajar berkawan, jangan sombong bodoh”.  Satu yang UCU ingat kata arwah abah kepada arwah emak masa mereka berdua-duaan di tangga rumah, UCU masa itu duduk di tangga juga masih kecil tapi kira mereka berdua-duaan lah itu… “_ _ _ _  (nama abang UCU) kawan dengan sapa. Kena tengok-tengok kan juga”.  Semua kata-kata itu dapat menggambarkan betapa seorang ibu dan seorang bapa amat mengambil berat dengan siapa anak mereka berkawan untuk memastikan anak mereka mendapat kawan yang betul.  Alhamdulillah, kawan UCU ini adalah antara kawan yang UCU berkawan yang betul, Insya-Allah.

Akhir kata dari UCU, kawan ketawa ramai, kawan menangis susah dicari…maka carilah kawan yang  menyenangkan jiwa.

Salam, hormat.

-UCU-

Tuesday, July 24, 2012

SINDROM KALAH DI SAAT-SAAT AKHIR


Nilai Impian | SELASA| 24.07.2012 |11.59 malam | Panas

Malam ini tadi 24 Julai 2012,  UCU dengan anak lelaki UCU menyaksikan perlawanan persahabatan bola sepak antara pasukan Kebangsaan Malaysia (Harimau Malaya) dengan pasukan Kelab Arsenal.  Keputusan penuh Harimau Malaya 1 dan Kelab Arsenal 2.
Sebelum perlawanan,  UCU ada terfikir yang Harimau Malaya akan tewas di tangan Arsenal.  Tengok saja saiz fizikal pemain-pemain Arsenal sahaja macam gergasi…besar-besar…mana lah hendak dibandingkan dengan saiz fizikal pemain Harimau Malaya yang agak “kemetot”. Bermain juga di  fikiran UCU bila imbau kembali corak permainan Arsenal dalam perlawanan-perlawanan mereka di Liga Inggeris, hebat! Populariti mereka juga cukup hebat. Jadi UCU juga antara orang yang terikut kata ramai pendapat peminat bola tanah air, “Ramai yang sudah menduga keputusan Malaysia lawan Arsenal selepas aksi 90 minit, tetapi harapan sebenar dari penyokong setia Harimau Malaya adalah untuk menyaksikan tentangan dan corak permainan yang menarik daripada anak buah K. Rajagobal malam ini di Stadium Bukit Jalil”.  Namun suara hati kecil UCU tetap berkata, “alangkah indahnya kalau Malaysia menang”.  Bermakna UCU masih menaruh harapan pasukan Harimau Malaya menang.  Mengapa tidak! Bukankah pasukan Harimau Malaya itu pasukan negara UCU yang UCU sayangi. Bukankah pasukan Harimau Malaya itu mewakili UCU sebagai rakyat Malaysia…Maruah! Maruah! Maruah!.  Sejarah tahun 2004 juga telah membuktikan pasukan bola sepak Greece pernah kalahkan pasukan-pasukan gergasi dunia di UEFA European Championship.  Harimau Malaya boleh! Rupa-rupanya anak UCU berusia 12 tahun pun harapkan Harimau Malaya menang...yakin sungguh dia pada Safiq Rahim, Safee Sali,  Aidil Zafuan, Kunalan, Apek tapi tidak main dan beberapa orang pemain lagi. Tahu lah UCU, beberapa pemain Malaysia telah menjadi ikon atau wira kepada anak UCU ini, malah mungkin kepada anak-anak remaja yang lain di tanahair ini.
Apabila sepak mula di padang,  UCU tengok pemain-pemain Malaysia bermain, UCU cakap dengan anak lelaki UCU, “tak malulah tengok pemain Malaysia main”.  Dan apabila Azmi Muslim tendang bola dengan cantik bola masuk gawang gol…yahoooo…”Malaysia gol!!!”.   UCU kata dengan anak UCU, “Malaysia ada harapan menang”.   UCU kata pemain Malaysia main baik, tapi tengok pemain Arsenal main macam hendak tak hendak saja, lari pun lembap, macam malas. Mungkinkah mereka pandang rendah keupayaan pasukan Harimau Malaya? Kalau itu lah lagak mereka bermakna mereka tiada maruah, tiada semangat kesukanan dan berlagak.
 Separuh masa kedua, UCU tengok pemain-pemain Arsenal yang separuh masa pertama dah tak nampak muka kecuali penjaga gol.  Pengulas kata 10 orang Arsenal telah diganti.  Permain bermula, UCU tengok Arsenal main agak laju sikit berbanding dengan separuh masa pertama.  Agaknya mereka mula rasa pemain-pemain Malaysia tidak boleh di pandang rendah. Jadi adakah kerana Malaysia dapat gol separuh masa pertama tadi sebab pemain Arsenal tidak main betul-betul?  Tapi bila 10 orang baru masuk, mereka main betul-betul. Bagi UCU, andaian itu tidak juga, Malaysia masih bermain dengan baik dan dapat peluang untuk membuat percubaan-percubaan berbahaya di gawang gol Arsenal beberapa kali.  Penjaga gol Malaysia itu pun apa kurangnya, cekap juga sebabkan Arsenal tak boleh jaringkan gol.  Tapi apa nak kata kalau acap kali bola datang mana nak larat, akhirnya masuklah 2 biji gol di saat akhir perlawanan.  Kecewa juga UCU dan anak UCU kerana harap kan Malaysia menang.  Harapan menang apabila tengok pemain Malaysia bermain baik di separuh masa pertama dan awal permainan di separuh masa kedua. 
Pengulas kata antara faktor Malaysia buat pertukaran ramai dan pemain muda di bawa masuk adalah penyebab kekalahan Harimau Malaya.  UCU tidaklah hendak pandai-pandai congakkan faktor kekalahan, tapi Arsenal pun tukar sampai 10 orang sekali gus dan pemain mereka pun muda juga.  Alasan sukar nak diterima.  Kalau nak  kata mereka pemain antarabangsa dengan kelab terkemuka, tidak juga boleh bandingkan begitu kerana pemain-pemain Malaysia adalah pemain kebangsaan pemain negara - IMALAYSIA. Anak UCU punya andaian pulak, “ramai pemain senior keluar mana lah hendak menang”.  Hampir sama dengan pendapat andaian pengulas. 
UCU terfikir, apa matlamat pasukan Malaysia lawan Arsenal ini. Adakah kerana hendak menguji pemain yang akan menyarung jersi Malaysia di perlawanan piala Suzuki nanti.  UCU lihat penonton di stadium bukit Jalil tu ramai pakai baju kelab Arsenal tapi mereka juga penyokong kepada pasukan Malaysia.  Mereka gembira kelab bola sepak mereka menang tapi mereka akan lebih gembira bila pasukan Malaysia menang.  Anak UCU pun begitu dia saja hendak tengok perlawanan bola sepak tersebut kerana minat bola sepak, tapi bila tengok Malaysia lawan hendaklah tengok Malaysia menang.  Nama pun perlawanan.  Bila ada perlawanan adalah persaingan. Perlu ada yang menang dan kalah.  Kalau seri cuma sebagai penyedap rasa saja.  Bila lawan mesti hendak menang siapa hendak kalah.  Kalau kalah tetap di katakan kalah. Bila kalah pastinya adalah kerugian. Apa sajalah kerugian pada pihak yang kalah.  Perasaan, jati diri, kos pembiayaan, tenaga dan pelbagai lagi.  Jadi anak saya pun berkata, “Malaysia ini kalah lagi, saat akhir pulak tu”.  Dengar pengulas pun macam-macam ulasan yang diberikan untuk mengatakan perlawanan tersebut.  Anak UCU pun boleh fikir apa yang pengulas katakan malah tahap pemikiran sama saja dengan anak saya punya ulasan. 

UCU tertanya-tanya kena trend pasukan bola sepak Malaysia ini selalu kalah di saat-saat akhir.  Malah bukan bola sepak saja, terjadi juga pada sukan-sukan yang lain. Kenapa saat-saat akhir.  Pengulas, pengkritik sukan, malah jurulatih, pengurus dan siapa sahaja yang terlibat dalam sukan akan kata kekuatan mental dan pengalaman yang kurang pada pemain atau ahli-ahli sukan di negara ini.  Tolong lah! Saban kali itulah yang diperkatakan.  Jadi kalau itu masalahnya apa ‘ubat’ yang mujarab untuk selesaikan masalah itu. MLM atau jualan langsung  memang tak ada jawapan.  Tapi pakar-pakar sukan ada jawapannya.  Kenalah inovasi sikit untuk bantu pemain-pemain negara ini…bukan jokong emas, duit ribu-ribu atau gelaran-gelaran.  Itu hanya sebagai daya pendorong atau motivasi.  Bagi UCU tumpukan pada kemahiran, pengetahuan dan sikap mereka…tingkatkan! Tingkatkan! Tingkatkan.  Macam mana caranya…manalah UCU tahu. Tapi UCU percaya boleh dibuat.  UCU percaya dengan teknologi dalam bidang sains sukan boleh buat. Jepun boleh buat, Korea boleh buat, malah Vietnam boleh buat, mengapa Malaysia tidak boleh buat.  UCU tengoklah terlalu ramai orang mengulas dan bercakap…tindakan kurang.  Apa yang perlu, “Cakap serupa bikin, bikin serupa cakap” barulah menjadi.  Bukan alasan-alasan…sebab budak kecil pun boleh beri alasan. 

Terus terang UCU katakan, tiada siapa yang suka kalah. Semua orang suka menang. Menang itu antara sumber maruah diri dan maruah sesuatu bangsa yang berjaya.  Adakah sesebuah bangsa itu bermaruah apabila kalah…mana lah ada. Ini tidak, seperti malam tadi, habis saja perlawanan…UCU kata dengan anak UCU, “kalaulah Malaysia menang….”.  Anak UCU pula kata, “biasalah abah, Malaysia memang suka kalah saat akhir”…ya juga tak macam hero dalam filem yang selalunya kalah dulu menang kemudian.  Jadi UCU boleh kata pasukan Malaysia kena hakis dan buang terus SINDROM KALAH DI SAAT-SAAT AKHIR ini  kerana sindrom ini amat menyeksa kan perasaan dan kekecewaan…amat pedih.  Sekali-sekali ‘okay’ lagi, tapi kerap terjadi itu yang tak lalu tu.  UCU masih ingat arwah Abah UCU pernah berkata, “kalau nak elok apa-apa pun kena belajar sampai pandai”.  Arwah emak UCU pun ada kata, “belajar baik-baik baru dapat untungnya”.  Oleh itu, bagi pasukan Harimau Malaya belajarlah dan berusahalah untuk hakis sindrom kalah di saat-saat akhir kerana kekuatan telah ada maka jadilah Harimau Malaya bagai lagaknya.

Akhir kata dari UCU, “Sampai bila! Sampai bila! Begini…”

Salam sejahtera.

-UCU-

Wednesday, July 18, 2012

BAGAIMANAKAH JODOH PERTEMUAN MEREKA…

Nilai Impian | Khamis| 19.07.2012 |5.00 pagi | Sejuk

Rezeki dan  ajal maut itu adalah rahsia Tuhan.  Begitu juga  dengan jodoh pertemuan.  UCU hari ini hendak bercerita serba sedikit apa yang UCU terdengar dan ketahui beberapa kisah tentang pasangan yang wujudkan jalinan hubungan hingga mereka ada yang sampai matlamat bergelar pasangan suami isteri. Sesuatu mungkin boleh dipelajari dari kisah-kisah yang digarap ini. 


Kisah 1:

Seorang kanak-kanak berusia 12 tahun terpaksa bekerja di kilang papan. Kanak-kanak ini seorang anak yatim dan terpaksa menyara keluarga setelah kematian bapa. Kanak-kanak ini selalu membeli kuih muih dengan seorang gadis yang membawa adiknya.  Kanak-kanak tadi masih ingat adik gadis itu berkudis di kaki setiap kali baju labuh dipakai tersingkap.  Masa berlalu kanak-kanak tersebut membesar menjadi seorang pemuda dan menjadi seorang askar.  Adik gadis penjual kuih tadi pula menjadi gadis remaja dan bersekolah dan berkawan pula dengan adik pemuda askar.  Suatu hari, satu majlis kenduri diadakan di rumah adik pemuda askar.  Ibu pemuda askar berkenan gadis  remaja itu.  Pertunangan telah dibuat antara orang tua.  Gadis remaja tidak mengetahui siapa tunangnya.  Sebaliknya pemuda askar mengetahuinya.  Setiap kali pemuda askar bercuti beliau akan menunggu tunangnya di titi jalan pulang dari sekolah.  Gadis remaja  tidak mengenali tunangnya. Sehingga sekeping gambar diberikan.  Sejak itu gadis remaja akan mengelakkan diri dari melalui jalan biasa jika mengetahui tunangnya ada bercuti.  Tiba saatnya mereka berkahwin, pada ketika gadis remaja itu masih lagi bersekolah.  Gadis remaja berhenti sekolah dan mengikuti suaminya merantau sebagai sebahagian kehidupan seorang isteri askar. Mereka bercerai mati. Isteri menjadi balu hampir 26 tahun dan pulang ke rahmatullah setelah membesarkan anak-anak dengan jayanya.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 2:

Di sebuah kampus seorang pemuda yang selama pengajiannya tidak mahu mengadakan sebarang hubungan dengan seorang gadis di kampus. Pemuda ini menyibukkan dirinya dengan pelbagai aktiviti pelajar dan pernah menjadi presiden dalam persatuan fakultinya.  Namun, disebabkan kemerosotan dalam pelajarannya, atas nasihat penasihat akademiknya beliau telah membuang semua kegiatan pelajar dalam hidupnya dan memberi tumpuan dalam pelajaran.   Akibatnya beliau mula rasa sunyi dan sesuatu yang kosong dalam hidupnya di kampus. Namun terjadi satu lembaran baru dalam hidupnya bila suatu pagi pemuda ini diberikan sepucuk surat yang hanya mengandungi lirik sebuah lagu. Surat ini diberikan oleh seorang gadis yang kurang dikenalinya tetapi mengusik hati kegembiraan bila terpandang atau bertembung dengannya.  Gadis ini bukan kerap dijumpa atau berbual dengannya. Lirik lagu yang memberi gerak hati kepada pemuda ini bahawa gadis ini juga memendam perasaan dengannya.  Zaman 90an belum ada kemudahan sms kerana tiada telefon bimbit.  Dengan menggunakan seorang kawan, pemuda telah menghantar nota ringkas untuk berjumpa dengan gadis tersebut di sebuah restoran di kampus.  Tiba masanya, pemuda dan gadis pun bertentang mata.  Pemuda terus mengatakan bahawa hasratnya untuk jadikan gadis itu sebagai isterinya bukan sebagai teman seperti pasangan-pasangan di kampus yang duduk melepak tidak tentu fasal. Pemuda ini menegaskan kepada gadis tersebut tiada ‘cuba-cuba’ dalam hubungan yang hendak dijalinkan. Pemuda itu menjelaskan jika tidak diterima oleh gadis itu maka itulah pertemuan pertama dan yang terakhir.  Hubungan yang hendak dijalinkan ialah sebagai isteri di masa depan.  Gadis itu terima pemuda itu.  Maka hubungan pemuda dan gadis tersebut terjalin selama 4 tahun lebih dan hingga ke jinjang pelamin. Sepanjang tempoh hubungan mereka di kampus mereka berjaya dalam pelajaran malah beberapa kali mendapat kepujian dekan…hebat. Yang pasti tetap ada ranjau dan duri dihadapi mereka.   Pemuda dan gadis tersebut hingga kini masih sebagai suami isteri.  Bagaimanakah kesudahan jodoh pertemuan mereka….   



Kisah 3:

Di kampus seorang pemuda bertemu dengan seorang gadis dan komited dalam hubungan.  Semua pelajar kampus mengetahui mereka adalah pasangan yang  bercinta. Selama berada di kampus mereka tidak pernah renggang, ibarat macam belangkas. Selepas graduan mereka berkahwin. Perkahwinan mereka bertahan selama seminggu dan mereka bercerai.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka… 


Kisah 4:

Seorang gadis telah dipertemukan dengan seorang pemuda melalui seorang gurunya.  Pemuda ini mempunyai pertalian darah dengan gurunya. Pemuda ini yang meminta guru ini mencarikan pasangannya dengan kriteria yang ditentukan. Pemuda ini juga dari kalangan keluarga yang kaya raya. Pada prinsipnya, gadis ini bersetuju dengan lelaki ini. Namun, gadis ini terus menegaskan beliau hanya akan bercinta selepas perkahwinan.  Gadis dan pemuda ini hanya berbalas-balas khidmat pesanan ringkas (sms). Atas nasihat gurunya setiap hubungan sms perlu disalinkan kepada muhrimnya.  Maka setiap kali sms, gadis tersebut membuat salinan kepada abang-abangnya.  Begitu juga pertemuan mata mereka akan ada bersama ahli keluarga gadis tersebut. Pemuda ini juga telah berkunjung ke rumah gadis untuk berkenalan dengan ibu bapa gadis.  Namun pemuda tersebut belum lagi memberitahu tentang kehadiran gadis ini kepada ibu bapanya.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka….


Kisah 5:

Di kampus seorang pemuda bertemu seorang gadis berasal dari negara jiran.  Pasangan yang sangat komited sehingga tidak mengenal batas. Pernah tertangkap beberapa kali tapi mereka tetap bersama dan terus menerus melakukan aktiviti mereka tanpa batasan.  Malangnya percintaan mereka tidak direstui oleh ibu bapa mereka.  Namun mereka di kampus terus bersama.  Mereka ini tidak pula mengganggu atau menyakit hati orang lain. Cuma kurangnya aktiviti mereka yang tidak mengenal batas menyebabkan mereka dipandang serong.  Perkhabaran akhir yang diterima mereka berkahwin selepas tamat pelajaran dan hidup bahagia.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 6:

Seorang pemuda amat kecewa apabila beliau bertepuk sebelah tangan. Cinta beliau tidak berbalas oleh seorang gadis di kampus walau berbagai-bagai usaha telah dibuat. Akhirnya, beliau bertekad tidak berkahwin dan masih berharap pada gadis tersebut.  Sekian lama tidak berpasangan dan memberi cintanya kepada seseorang gadis.  Dijadikan cerita, adik lelaki pemuda telah kemalangan dan meninggal dunia.  Sebelum menghembuskan nafas terakhir, beliau sempat membuat permintaan terakhir kepada pemuda tersebut iaitu abangnya supaya berkahwin.  Pemuda ini telah menyerahkan mencari pasangan kepada ibu bapanya.  Beliau telah di kahwinkan  dengan seorang gadis pilihan ibu bapanya.   Pemuda itu tetap macam biasa, seolah-olah beliau belum berkahwin.  Beliau tidak merasai bahawa beliau sekarang bergelar suami dan mempunyai seorang isteri.  Cinta beliau masih pada gadis yang tidak membalas cintanya.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 7:

Seorang pemuda telah bertemu dengan seorang gadis dan menjalinkan hubungan.  Mereka bersetuju untuk berkahwin.  Sungguhpun begitu, pemuda amat takut untuk memberi tahu bapanya yang sangat garang.  Menjadi tradisi keluarga pemuda bagi setiap pasangan hidup anak mereka akan dicarikan dan diaturkan oleh keluarga. Dulu-dulu semuanya boleh jadi.  Pemuda mengambil keputusan berkahwin secara sembunyi dengan gadis pilihannya. Ideanya ialah kalau bapanya marah pun dia telah berkahwin. Selepas berkahwin barulah pemuda itu memberi tahu bapanya yang beliau ingin berkahwin dengan gadis pilihannya.  Sesuatu yang mengejutkan, bapa pemuda tidak membangkang sebaliknya bersetuju dengan pilihan anaknya itu.  Maka seperti adatnya, bapa pemuda itu membuat majlis merisik, kemudian bertunang dan majlis pernikahan.  Tiada siapa tahu bahawa pemuda ini telah pun bernikah secara sah dengan gadis tersebut.  Bermakna pemuda ini bernikah dua kali dengan gadis tersebut.  Mereka hidup bahagia.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…



Kisah 8:

Seorang gadis menyukai seorang pemuda kampungnya yang juga rakan sekolahnya. Pemuda itu juga menyukai gadis tersebut.  Mereka menjalinkan hubungan. Cuma caranya mereka tidak kerap berjumpa kecuali kerap mengutus surat.  Mereka berjumpa apabila hari raya.  Pastinya pemuda akan datang mengunjungi rumah gadis tersebut.  Malah keluarga pemuda mempunyai hubungan saudara dengan keluarga gadis tersebut.  Malangnya hubungan mereka tidak direstui oleh ibu pemuda. Akhirnya pada suatu malam, pemuda itu telah menemui gadis tersebut dan membincangkan sesuatu yang pastinya mengenai memutuskan hubungan mereka.  Pemuda itu menyatakan yang dia akan menurut kata ibunya dan menerima pasangan pilihan ibunya. Akhirnya gadis itu berputih mata dan bertekad tidak akan membuka pintu hati lagi kepada lelaki lain.  Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 9:

Seorang lelaki bertemu dengan seorang gadis di kampus.  Mereka menjalinkan hubungan dan berkahwin selepas tamat pengajian.  Namun, lelaki ini seolah-olah dikawal oleh isterinya yang amat mementingkan status dan kehidupan yang formal.  Hingga menyebabkan ahli keluarga lelaki turut kurang selesa.  Sekian lama berkahwin, lelaki tersebut menghadapi masalah kesihatan dan menjalani pembedahan pada saluran jantungnya.  Beliau mulai sihat semula dan cergas.  Satu berita yang mengejutkan berlaku apabila beliau mengumumkan kepada ahli keluarganya yang beliau akan berkahwin lagi.  Isterinya terkejut kerana beliau akan dimadukan.  Lelaki tadi mendapat sokongan padu dari beberapa orang ahli keluarganya.  Mereka turut membantu menguruskan perkahwinan lelaki tersebut.  Lelaki tersebut berkahwin dengan gadis pilihannya.  Beliau kini beristeri dua.  Namun, isteri pertama sukar menerima hakikat dan sehingga kini tidak menerima kehadiran madu dalam hidupnya. Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…


Kisah 10:

Seorang pemuda di kampus dalam diam memendam perasaan cinta dengan seorang rakan sekursus dengannya. Pemuda ini seorang yang menggemari bidang penulisan kreatif seperti puisi.  Begitu juga gadis idamannya.  Pada suatu malam pemuda ini telah mendengar di corong radio satu slot rancangan penyampaian puisi yang dibacakan oleh DJ pada malam itu.  Sebuah puisi bertemakan cinta telah ditujukan kepada pemuda itu.  Penulis puisi menggunakan nama samaran atau pena.  Bagaimanapun, pemuda itu mengetahui nama pena itu adalah gadis idamannya. Maka terjadilah satu episod hubungan cinta antara pemuda dengan gadis idamannya itu.  Suatu yang amat menarik antara mereka ialah mereka menyembunyikan percintaan mereka dari rakan-rakan hingga mereka tamat belajar.  Suatu yang menjadi ingatan rakan-rakannya ialah pemuda ini selalu menulis sesuatu di atas seketul batu.  Rupa-rupanya itulah suratnya kepada gadis idamannya. Begitulah percintaan insan kreatif katanya. Mereka berkahwin akhirnya.   Bagaimanakah jodoh pertemuan mereka…



Itulah kisah-kisah yang UCU garap dari apa yang UCU dengar dan ketahui.  Jodoh pertemuan itu amat pelik ketentuan adanya.  Namun itulah yang berlaku.  UCU mensyukuri jodoh pertemuan itu telah membawakan UCU kepada seorang pasangan hidup yang membahagiakan.  UCU masih ingat apa yang arwah emak UCU kata, “Bini itu nanti jangan pilih muka cantik saja, budi bahasa dan hormat orang tua kena tengok juga”.  Emak UCU juga kata, “bini yang baik, bini yang dengar kata lakinya, laki yang baik pulak macam abah tak campur hal orang lain, fikir tentang anak bini saja”.  Sepanjang yang UCU ingat arwah abah tidak pula ada cerita fasal jodoh pertemuan anak-anaknya. Cuma arwah abah buat lawak katanya, “kalau nak buat kenduri kahwin anak-anak nanti, saya nak buat makan roti canai saja jimat.  Kalau nak lagi jimat saya buat majlis kahwin pada bulan puasa”. Tapi yang pasti arwah abah UCU sempat memperuntukkan wang kepada arwah emak untuk perkahwinan abang UCU. Namun begitu, arwah abah tidak sempat melihat seorang pun anaknya berkahwin.  Al-Fatihah buat abah dan emak UCU.

Akhir kata dari UCU, kasih, sayang dan cinta itu hak kepada semua insan yang  tidak bersempadan dan akan terus subur jika hati tidak berubah. 
Salam, hormat.

-UCU-

Saturday, July 14, 2012

BEGITULAH NIKMAT SAYANG YANG DIPINJAMKAN SEMENTARA

Nilai Impian | Ahad| 15.07.2012 |1.10 pagi | Panas
Sungguh lama UCU tidak mencoret kan sesuatu di blog ini. Sebenarnya banyak yang hendak UCU kongsi tapi tak kesampaian kerana kekangan masa untuk menulis.  Namun hari ini UCU terpanggil untuk menulisnya kerana UCU rasa sangat penting untuk disuarakan dengan apa yang UCU alami dan pelajari sesuatu dari pengalaman ini. 
Hari ini UCU dikunjungi seorang kawan.  Kawan yang tidak rapat sangat namun tetap seorang kawan.  Sebenarnya perjumpaan kami adalah untuk membincangkan satu urusan kertas kerja.  Namun selingan dengan satu cerita dari kawan ini tentang dirinya. Topik yang tidaklah penting sangat buat UCU tapi sebagai kawan UCU menjadi pendengar yang baik dengan apa yang diceritakan oleh kawan UCU ini.  UCU tahu dia ingin melepaskan rasa resah di hatinya yang memerlukan orang lain mendengarnya. UCU ceritakan semula dalam blog ini tapi telah ada sikit ubahsuai agar lebih umum dan tersimpan perkara-perkara yang tidak sepatut diketahui oleh umum.
Ceritanya: “…Amat sepi pada malam ini, aku terasa kehilangan buat sementara orang-orang tersayang.  Isteri dan anak-anak pulang ke rumah orang tuanya. Aku merestui kepulangan mereka itu. Kepulangannya atas permintaan orang tuanya untuk sama-sama meraikan seseorang tetamu yang istimewa.  Namun, aku tidak dapat pulang bersama pada malam ini kerana memilih melaksanakan urusan yang lebih penting iaitu menelaah dan menyiapkan kerja yang perlu disiapkan yang telah aku tertunggak agak lama.  Sebenarnya takut juga menjadi isu atau tanggapan yang salah dengan ketidak hadiran atau kepulangan aku.  Sungguhpun begitu, aku telah menjelaskan pada mentua bahawa aku tidak akan dapat bersama meraikan tetamu istimewa itu kerana ada urusan penting untuk atasi masalah yang sedang aku hadapi dan jika aku tidak laksanakan walau sedikit ia boleh menyesalkan diri aku. Beliau pun ada berikan hujah supaya aku dapat pulang kerana urusan aku itu boleh tangguhkan dulu, malah aku tidak perlu susah-susah kerana ipar aku akan datang menjemput. Pilihan keputusan yang aku buat, aku tidak ikutkan komitmen itu, aku harap mentua aku faham dan memaafkan aku. 
Cerita yang hendak aku katakan ini bukan kepada komitmen yang patut yang aku berikan kepada mentua tetapi menumpukan kepada kehilangan sementara orang-orang tersayang kerana menunaikan permintaan orang tuanya yang juga mempunyai hak untuk menerima kasih sayang dari anak-anaknya. Bila kata kasih sayang pada isteri dan anak-anak, aku menyingkap kembali kenangan lepas,  selama keluarga aku menghadapi satu ujian di mana isteri aku jatuh sakit.  Aku merasakan sesuatu yang dipelajari.  Semasa isteri sakit, aku sentiasa dapat bersama-sama dengannya. Aku bercuti dan dia bercuti.  Menjaga dia di hospital swasta. Sentiasa mendoakan dirinya sentiasa selamat dan cepat sembuh. Sentiasa ada di sampingnya, sepanjang masa sama ada waktu subuh, tengah hari, petang malam dan subuh semula.  Begitu juga anak-anak sentiasa dapat bersama-sama.  Ada kalanya sama-sama tidur di hospital. Agak sukar ketika itu tetapi nikmatnya sangat mengeratkan kami sebagai sebuah keluarga yang bahagia. Betapa kasih, betapa sayang dan betapa cintanya antara satu sama lain.  Nikmat dari ujian itu rupanya meminta kami belajar tentang erti kasih dan sayang antara suami dengan isteri, bapa dengan anak-anak, ibu dengan anak-anak dan adik dengan kakak. Bila ada kesukaran maka masa itulah terpamer kasih sayang dengan jelas.  Selepas melalui  pembedahan  pula menjadikan keadaan lebih sukar tapi lebih indah apabila segala penjagaan diri dan makan minum dijaga. Aku menjaga isteri dengan begitu rapi.  Setiap pagi aku membersihkan diri beliau.  Bila di rumah, begitu juga memandikan beliau.  Sarapan  pagi dibawakan ke bilik tidur, makan tengah hari dibawakan ke bilik, makan malam dibawa ke bilik.  Semua hidangan dihiasi dengan teliti untuk mencetuskan selera makan dan keselesaan.    Semua dibuat kerana kasih dan sayang yang tidak berbelah bagi.  Mereka di luar mungkin tidak faham kerana mungkin bukan urusan mereka untuk memikirkannya. Rawatan harian ke hospital ditemani hari demi hari. Orang luar tidak memahaminya.  Sebaliknya orang luar tidak akan memikirkan itu semua. Kecuali mereka yang benar-benar memikir dan merenunginya keadaan kami, ada tapi seorang dua yang begitu prihatin.  Namun, ada orang yang   masih mahu lepas  kan kepentingan mereka sahaja.  Tidak memikirkan status kesihatan isteri aku. Hanya memastikan matlamat mereka tercapai.  Balasan terima kasih sahaja bila matlamat tercapai.  Mereka tidak melihat kesukaran dan permasalahan dari cakap-cakap mereka dan permintaan-permintaan mereka.  Mengapa ada sikap sebegini?
Apabila isteri aku telah mulai beransur sihat kembali semula perjalanan hidup normal semula.  Apa yang ketara dapat dilihat umpamanya memenuhi permintaan orang lain dan sanggup biarkan masa kurang diluangkan bersama. Aku dapati mula semula unsur-unsur permintaan orang lain menguasai perjalanan hidup keluarga kami, cubaan mempengaruhi pilihan yang kami buat dan cubaan mempengaruhi keputusan yang kami buat.  Bila hendak menjaga hati orang lain tak kira lah orang tua, saudara mara, jiran-jiran dan siapa sahaja maka akan mengurangkan masa bersama suami dengan isteri, isteri dengan suami, suami dengan anak, isteri dengan anak, adik dengan kakak.  Mengapa jadi begini?  Adakah mereka di luar tidak memikirkan bahawa sebarang permintaan mereka itu jika tidak difikirkan sedalam-dalam akan menyukarkan kehidupan orang lain seperti kami.  Atau ada yang mementingkan matlamat mereka tercapai? Atau hanya mereka fikirkan mereka ada hak atau kuasa ke atas diri kami.  Atau sebenarnya kami yang lebih mementingkan mereka hingga lupa akan kepentingan rumah tangga sendiri, diri sendiri, suami, isteri dan anak-anak.
Isteri sakit adalah rahmat bagi diri dan isteri aku kerana aku dapat buktikan pada diri aku yang aku sangat sayang pada isteri aku. Isteri aku pula dapat sembuh dari penyakit yang ditanggung selepas rawatan dibuat.  Aku mampu lakukan penjagaan kepada diri isteri aku.  Walau banyak kelemahan dan kekurangan pada diri aku dalam memberi keselesaan kepada nya seperti pengangkutan tetapi sekurang-kurang aku boleh menyediakan satu kemudahan pengangkutan pengganti. Aku cuma berharap isteri  aku tidak tamak dalam berkehendakkan apa yang aku sediakan kepada dirinya.  Aku sangat mengharap isteri aku sedar betapa aku sayangkan dirinya.  Harap juga isteri aku sedar bahawa sayang aku ini bukan kerana kebolehan, harta, kemampuan atau apa jua yang ada pada diri aku. Tapi seadanya yang ada pada aku yang termampu aku berikan kepadanya adalah kejujuran sedikit itu untuk sayang kepadanya. Anak-anak begitu juga aku semakin memahami mereka, kesukaran mereka dan tingkah laku mereka.  Memang susah untuk memahami kerenah mereka.  Tetapi aku dapat pelajaran dari itu semua. Yang penting aku lebih memahami perasaan mereka tentang sekolah, tentang pelajaran, tentang kelemahan mereka dan kelebihan mereka.  Seronok juga.    
Aku sentiasa berdoa semoga aku dapat menyayangi isteri, anak-anak, ibu dan bapa, dan adik-beradik aku. Begitu juga aku sentiasa berdoa agar aku turut diberi perasaan menyayangi keluarga isteri aku dan berdoa semoga mereka menerima aku seadanya bukan mencampuri urusan aku dengan perkara-perkara yang tidak wajar dan membuat keputusan-keputusan buat diri aku, isteri aku dan anak-anak aku, atau juga mengikuti cara hidup mereka.  Pada fikiran aku mencampuri urusan rumah tangga orang lain lah yang menyebabkan sesebuah rumah tangga itu kucar kacir. Kerana kata-kata yang kononnya untuk memberi kebaikan atas nasihat-nasihat yang bernas tidak semestinya dapat diterima dengan baik.  Aku bertekad bila anak-anak aku telah berumah tangga maka aku tidak akan mencampuri urusan mereka kalau aku percaya anak-anak aku memang bahagia dan menerima suasana rumah tangga mereka. Aku hanya melindungi anak-anak aku apabila mereka sendiri berkata ingin meminta bantuan dan nasihat. Aku rasa itu lebih adil kepada anak-anak dan menantu aku, insya-Allah.  Bila tiada sepak terajang, dera mendera, cukup makan, cukup pakai, tiada keganasan, tidak mabuk-mabuk, tiada maksiat dan yakin dengan gelak ketawa kegembiraan maka bahagialah rumah tangga mereka itu. 
Suatu yang aku tak faham, kenapa orang lain perlu memikirkan kelemahan orang lain sedangkan mereka selalu mengatakan kita perlu fikir secara positif. Kelemahan pada apa yang mereka fikirkan tetapi mereka tidak pernah nak fikirkan kenapa kelemahan itu terjadi dan kelebihan kelemahan itu kepada tuan empunya diri. Aku dapat rasakan banyak lagi rumah tangga yang dicampuri tangan oleh orang lain termasuk ibu bapa sendiri atau mentua. Aku fikir suatu perkara yang tidak elok mencampuri urusan rumah tangga orang lain hingga menggugat kasih sayang dalam rumah tangga tersebut. Sepatutnya jika diminta pertolongan atau diminta nasihat secara terbuka barulah orang lain ini membantu atau mencampuri nya. Mengapa perlu seseorang itu mencetuskan atau mewujudkan ‘spark’ dalam sesebuah rumah tangga hingga boleh mewujudkan pergaduhan atau ke tidak puas hati antara pasangan suami isteri atau kalangan anak-anak.  Bukankah itu hasutan halus yang mengganggu fikiran dan boleh menimbulkan tingkah laku yang tidak sepatutnya berlaku.
Walaupun hari ini aku biarkan isteri dan anak-anak aku pulang kepada ibu bapanya walaupun aku lebih memerlukan mereka di sisi aku namun aku tidak mahu isteri aku dikatakan telah derhaka kepada kedua ibu bapa mereka.  Aku pula yakin tidak akan jatuh derhaka kerana aku telah pun menjelaskan kenapa aku tidak perlu pulang buat masa ini kerana ada suatu yang perlu diuruskan dan kebimbangan dan pelbagai perkara yang mencemaskan yang kalau tidak dilakukan memberi rasa susah hati…tidak kah itu boleh mengganggu kesihatan jiwa  yang akhirnya boleh bawa permasalahan yang lain. Tetamu istimewa yang aku kata kan tadi itu pun boleh aku temui bila-bila masa.  Cuma penting sangat kerana masa dan peristiwa ini menjadi lembaran baru dalam keluarga mentua.  Tapi bagi aku tanpa aku tetamu istimewa itu tidak akan rasa apa-apa pun…malah aku lebih menolong kepada ibu dan bapa mentua mempunyai masa lebih dengan tetamu istimewa itu. Aku lebih selesa sedemikian. Dan aku lebih dapat menumpukan menyelesaikan masalah aku pada malam ini dan pagi esok, insya-Allah. Tapi sunyi kerana tiada isteri dan anak-anak. Sebenarnya aku memerlukan mereka pada hari ini atau pada keadaan aku kini. Mungkin ini satu pengorbanan aku kepada ibu bapa mentua aku walaupun aku tahu aku ada hak menyekat atau menghalang isteri dan anak-anak untuk pulang ke sana.  Tapi aku fikir aku telah membuat keputusan yang adil buat isteri dan ibu bapa mentua aku dengan hak yang aku ada…”  
Begitulah ceritanya.  UCU taklah komen apa-apa sepanjang penceritaan kawan itu tadi. Cuma anggukan dan perkataan mengiakan sahaja.

Bagi UCU, sememangnya UCU percaya dengan apa yang arwah abah kata pada emak UCU yang disampaikan kepada anak-anak, “Saya tak ada harta untuk tinggalkan kepada mereka, saya hanya beri mereka belajar supaya mereka ada pendidikan”.  Arwah abah juga ada kata pada arwah emak, “kita hanya boleh perhati saja bila anak-anak kahwin. Bukan urusan kita betulkan isteri atau laki dia orang”. Tentang kehidupan ini, arwah emak UCU juga pernah kata pada UCU, “apa guna bawak kereta besar-besar, apa guna duit banyak, apa guna rumah besar, kalau diri sombong bongkak, orang pun tak suka.  Esok bila dah kahwin jaga bini betul-betul. Jaga anak betul-betul.  Jangan esok bini dengan anak,  orang benci”.  Arwah emak UCU juga pernah kata “ jangan ikut cakap enggang makan buah temolok, ikut cakap orang, diri masuk lubuk”.  Abah dan emak UCU tak ada rumah besar, tak ada kereta, tak ada duit banyak, tidak berjawatan besar, tapi UCU kata mereka tidak masuk universiti dan tak ada pun PhD  tapi mereka ada idea yang besar yang telah dapat dilunaskan untuk masa depan anak-anaknya. UCU sangat bangga dengan mereka.  Kejayaan abang-abang dan kakak-kakak UCU dan UCUsendiri adalah dari hasil aturan dan acuan mereka.  Yang jelas UCU dapat renungkan dan pastikan abah dan emak telah mengajar kami membuat keputusan dan pilihan sendiri.  Mereka tidak mendesak UCU dan adik-beradik, tidak merungut,  mereka mengatur UCU adik-beradik semasa kami bersama mereka, kami diasuh saling hormat-menghormati, dan mereka hanya meletakkan satu harapan masa depan kami baik. Tapi selepas itu kami dewasa, mereka hanya memerhati dan memendam yang UCU pasti tiada siapa yang tahu isi hati mereka.  Yang pasti mereka mahukan kami bahagia dengan jalan hidup kami sendiri… menyayangi keluarga masing-masing. Nikmatilah kehidupan dalam keluarga dengan nikmat sayang yang dipinjamkan sementara ini.
Akhir kata dari UCU, sayang menyayang, cinta disemai, perasaan menjadi rindu..oh...oh…oh…

Salam, hormat.

-UCU-