Monday, June 24, 2013

PINTU UTAMA SEKOLAH CANTIK TAPI MASUK SEKOLAH IKUT PINTU KECIL

PINTU UTAMA SEKOLAH CANTIK TAPI MASUK SEKOLAH IKUT PINTU KECIL
Nilai Impian | ISNIN| 24.06.2013 |7.13 malam| Jerebu

Pintu utama sekolah cantik tapi masuk sekolah guna pintu kecil…pengawas jaga pintu utama pastikan murid-murid tidak masuk melalui pintu utama…pengawas jaga pintu kecil pastikan ambil kedatangan murid-murid datang lambat dan tutup pintu kecil bila sampai waktu.  Apa rasionalnya dan banyak mana rasional yang dibuat oleh pihak sekolah dan penerimaan PIBG ikut sahaja lah. 
Sekolah menengah dan sekolah rendah  itu untuk semua peringkat usia rakyat Malaysia antara 6 hingga 18 tahun mendapat pendidikan formal. Bagus.  Malah Malaysia adalah sebuah negara yang memberi peluang seluas-luas kepada semua peringkat rakyatnya tanpa mengira warna kulit untuk mendapat pendidikan formal. Lainlah mereka yang berduit atau membuat pilihan lain sekolahkan anak-anak di sekolah bukan penajaan kerajaan.
Institusi persekolahan kerajaan adalah terbesar muridnya.  Murid-murid sebagai pelanggan yang diraikan yang menjadi pewaris agama, bangsa dan negara. Malah dasar pendidikan negara juga cukup jelas bagi penyampaian ilmu pengetahuan yang menyediakan seorang insan di Malaysia sejak mencapai kemerdekaan.  Dengan pembentukan sahsiah diri, nilai-nilai murni, nilai-nilai kemanusiaan dan  fahaman keagamaan sebagai perisai diri.  Namun bagaimana pemahaman, penghayatannya dan amalannya. Sehalus mana pemahaman, penghayatan dan amalannya. Sejujur mana pemahaman, penghayatan dan amalannya. Sehalus mana penzahiran pemahaman, penghayatan dan amalannya.
Jika hendak diulas atau mengkritik amat sedap dan banyak perkara boleh diperkatakan secara logik. Setidaknya terpandang dan terfikir dan meluahkan apa yang difikirkan logik. Kerana logik itu adalah realiti walaupun pahit ditelan dan memedihkan hati. 
Hari ini UCU hendak sentuh satu perkara tentang pintu besar kebanyakan sekolah tidak boleh dilalui oleh murid untuk memasuki sekolah pada hari persekolahan.  Suatu penguatkuasaan yang efisien di sekolah.  Larangan murid sekolah yang tidak boleh melalui pintu utama sekolah.  Mereka kena melalui pintu kecil sekolah. Kenapa? Apa rasionalnya? Dimaklumkan PIBG telah setuju dengan cadangan sekolah dengan rasional-rasional yang di bawa pertimbangan. 
UCU juga mendapat respons tentang perkara ini.  UCU syer kan apa respons yang diperoleh.  Sama-sama direnungi apa yang tersurat dan apa yang tersirat…”Lu fikirlah sendiri”.  Antara respons, iaitu:
·         Pihak sekolah mengatakan, “Sebagai langkah menjaga keselamatan murid-murid.  Kerana kenderaan memasuki melalui pintu utama sekolah.  Supaya tiada berlaku kemalangan”

·         Pihak PIBG memaklumkan, “kita terima sebagai langkah memastikan anak-anak kita selamat daripada di langgar kenderaan yang melalui pintu utama”.

·         Kalangan murid mengatakan pelbagaian iaitu:

o   “Cikgu kata VIP atau VVIP kadang kala datang ke sekolah jadi  tidak mahu laluan terhalang dengan murid-murid”.

o   “Cikgu kata, memudahkan cikgu yang berkenderaan memasuki sekolah dan tidak perlu risau daripada terlanggar murid-murid”.

o   “Peraturan sekolah tidak membenarkan murid-murid pejalan kaki melalui pintu utama. Entah apa sebabnya…kecuali murid yang naik basikal, murid yang naik motor atau anak-anak cikgu yang bersekolah di situ boleh lalu pintu utama”

o   “…memang macam tu Pakcik, sekolah ni pelik tapi benar.  Ada setengah murid boleh lalu pintu utama..bila kenal pengawas yang jaga.  Bukan itu sahaja tandas sebuah yang busuk untuk kami yang ramai, tapi pengawas, anak-anak cikgu, atau murid kesayangan cikgu boleh guna tandas guru atau pejabat.  Ada di antara mereka kunci tandas itu malah boleh pinjam kunci dengan cikgu”.

o   “..Ikut ajelah Pakcik banyak sangat kerenah nanti cikgu marah. Emak dan bapa saya tak kisah pun lalu pintu mana janji pergi sekolah.  Kadang-kadang tu cemburu juga tengok ada murid-murid yang diberi keistimewaan di sekolah ini”.

o   “Ha..Ha..Ha..saya tak kisah pun pintu mana.  Saya tak ada pintu pun boleh masuk dan keluar sekolah…dinding dan pagar sekolah adalah pintu yang tiada daun pintu…senang kata ada aku kisah”.

o   “Keputusan tidak boleh masuk pintu utama tu sebab nanti mak bapak hentikan anak-anak di pintu utama. Jadi depan pintu jadi sibuk. Cikgu-cikgu yang bawak kereta payah nak masuk”.

o   “Saya sekolah lima tahun aje di sini.  Lepas tu masuk Universiti. Lepas tu dapat diploma dan ijazah. Lepas dapat kerja. Lepas cukup duit beli kereta kwau-kwau punya…tayang depan cikgu di sekolah ni.  Apa dia orang ingat sekolah ni dia punya jadi suka-suka pintu utama dia dan anak-anak dan barua nya aje yang boleh lalu.  Kami ni ikut pintu kecil…kecil hati kami dia orang tak tahu malah tak nak ambil tahu pun… sikit-sikit kata PIBG dah setuju.  Mentang-mentang emak bapak saya ni pakcik, takut jumpa sekolah atau malas bersuara. Banyak perkara tak betul di sekolah ni Pakcik…nak kencing pun kena tahan nafas separuh mati…nak tanya juga Pakcik ni siapa?”

o   “My god… crazy regulation, Uncle”

o   “Okay juga pakcik sebab hendak jaga keselamatan kami dari terlanggar oleh kereta cikgu”.

o   “Ok lah tu pakcik, cikgu boleh zoom laju masuk.  Tak payah nak fikir murid-murid. Seronok juga bila tengok kalau cikgu kalau dah terlewat, berdesup masuk ..nasib baik tak buat drift.  Lepas tu keluar…kalau yang cikgu lelaki selama aje … kalau cikgu perempuan seronok tengok..terkedik-kedik jalan masuk pejabat nak punch..lagi best bila perhimpunan cikgu-cikgu yang macam ini naik pentas dan berkata “anda semua mesti menepati masa datang sekolah jangan lewat… tolong beritahu ibu bapa yang menghantar kamu ke sekolah tolong berhati-hati di kawasan sekolah, perlahankan kereta di kawasan sekolah, jangan henti di depan kon, minta kerjasama tentang perkara ini, bila kemalangan susah jika melibatkan kamu semua”…ha..ha..ha.. pakcik tak gelak sama ”

o   “Biasalah lalu pintu kecil ni… sekolah rendah dulu pun macam ni juga.  Peraturan adalah peraturan”

o   “Suka cikgulah apa nak larang…pintu kecil ni pintu juga sama aje…tapi tertanya juga apa guna ada pintu utama”.

o   “Bapak saya ada juga komen dan cakap dengan cikgu…bukan pintu besar ni aje banyak perkara…tapi saya malu lepas tu sebab kadang-kadang cikgu perli saya dan soseh-soseh …jadi satu salah pulak.  Sedang kan banyak kali cikgu ada kata kalau ada perkara yang ibu bapa rasa boleh bincangkan dengan pihak sekolah datang lah berbincang…tapi bila bapak saya jumpa cikgu kenapa pulak nak heboh-heboh perkara macam ni”.

Banyak lagi UCU boleh tuliskan semula respons yang diberikan tentang penggunaan pintu utama sekolah.  Tidak habis nanti.  Cuma UCU terfikir lah bukankah murid-murid sekolah ini adalah pelanggan yang diraikan. Mereka ada hati dan perasaan.  Mereka aset negara.  Hal ini kerana adanya mereka maka adalah sekolah, kerjaya rasmi sebagai guru, peluang pekerjaan sebagai guru dan pendidik, pemikir-pemikir perkembangan ilmu pengetahuan, usahawan-usahawan pembinaan dan perkhidmatan, perniagaan buku dan stationery, penjual baju seragam sekolah, tokoh cikgu cemerlang, dan macam-macam perkara tentang keperluan murid.  Cuma adakah terfikir dengan larangan melalui pintu utama sekolah sebaliknya melalui pintu kecil untuk memasuki sekolah itu sebagai lambang atau simbolik kurang meraikan murid-murid yang suci hati untuk menuntut ilmu. 
UCU kata “suci hati” kerana mereka sanggup datang sekolah dalam keadaan apa sekalipun mungkin dipaksa ibu bapa, ikhlas kerana hendak belajar, suka belajar, kerana kawan, bosan berada di sekolah, boleh merokok dengan kawan-kawan, boleh gurau senda, boleh membuli, boleh bercerita dan berbual-bual, tempat yang selamat, cikgu-cikgu sayang, ikut saja sebab budak-budak kena sekolah, ada kuasa jadi pengawas, boleh makan bersama rakan-rakan, boleh bermain dan bersukan dan macam-macam lagi. Seribu satu macam sebab.  Belum pernah lah sekolah beroperasi dengan berpuluh cikgu cuma seorang murid dalam satu masa.  Walaupun hujan ribut, panas terik, berjerebu, rusuhan, berperang dan pelbagai halangan cuaca dan peristiwa murid-murid akan datang sekolah lebih dari seorang untuk belajar atau apa-apa saja justifikasi mereka untuk berada di sekolah. Cikgu-cikgu pun ada juga yang sebegitu yang “suci hati” ke sekolah.  Tidak dinamakan sekolah jika ada murid tiada cikgu atau tiada murid tiada cikgu.   
Tapi penekanan kepada pengukuhan pendidikan kepada murid-murid bukan pada buku dan pelajaran yang disampaikan tapi cara falsafah sekolah itu diterjemahkan kepada sesuatu tindakan keputusan dibuat.  Murid-murid sebenarnya melalui proses pembelajaran formal dan tidak formal.  Mereka mengalami banyak perkara di sekolah.  Mereka pemerhati dan merasai setiap apa yang dilalui di sekolah dari disiplin diri hingga tuntutan belajar. Facilities dan kemudahan yang diterima juga sebagai pengukuhan diri mereka.  UCU percaya  larangan melalui pintu utama mencetuskan pelbagai pengalaman dan peristiwa yang diperhatikan dan penilaian yang dibuat oleh murid-murid.  Lihatlah respond yang diberikan tadi.  Kesan keputusan pihak sekolah dan penerimaan keputusan pihak PIBG atas rasional keselamatan murid-murid.  UCU sendiri terkata bila perhatikan dari semasa ke semasa, “Konon keselamatan murid…apa tu”.  Hari ini sahaja pintu utama sesebuah sekolah dijaga oleh seorang pengawas murid dalam keadaan berjerebu.  Seorang pengawas murid yang tidak dibekalkan dengan topeng muka maka  “Selamat kah murid ini…sebab nak pastikan murid tidak lalu di pintu utama seperti arahan cikgu”…kenapa?…”Sebab nanti terlanggar oleh kereta cikgu”…”Please lah tuan pengetua …atau cikgu-cikgu…logik lah sikit”.  Murid-murid sebenarnya saban hari diberi pengukuhan secara tidak sedar tentang perbezaan status, sifat mementingkan status, mementingkan diri, peraturan yang double standard, sifat cemburu, sifat iri hati, peraturan dibentuk untuk kepentingan segelintir manusia sahaja, kesombongan, cakap tak serupa bikin, hak mereka dinafikan dan ketidakpuasan hati.  Tidak bermakna bagi mereka apa yang tertulis di tembok pagar sekolah “Terima kasih kerana anda datang ke sekolah”, “Sekolah ku syurga ku”, “Selamat datang ke sekolah” dan macam-macam kata-kata hikmah dan perangsang menggalakkan murid-murid datang ke sekolah untuk menuntut ilmu di sekolah.
UCU fikirkan perlu ada sesuatu tindakan dibuat tentang perkara ini.  Pintu utama perlu dilalui murid-murid kerana ia bukan milik mereka yang berstatus, bukan milik mereka yang berpengaruh, bukan milik mereka yang berkuasa, bukan milik kulit sawo matang, bukan milik kulit kuning langsat, bukan milik kulit gelap;  tapi milik semua orang yang berkepentingan kepadanya sama ada cikgu, pengetua, murid, pengawas, anak-anak cikgu, tukang kebun, jaga, kerani sekolah, peon sekolah, penjual kantin, VVIP, VIP dan ibu bapa.  Langkah keselamatan ada cara lain yang lebih berhemah.  Kalau ibu bapa degil masih hendak berhenti atau turunkan anak di depan sekolah..pengawal keselamatan sekolah berilah nasihat atau berilah surat nasihat pengetua kepada ibu bapa yang tiada sivik itu.  Bagi cikgu-cikgu sekolah yang berkenderaan kenalah berwaspada bila masuk sekolah dengan kereta – kenapa pula terfikir akan terlanggar murid – sepatutnya terfikir macam mana memandu supaya tidak terlanggar murid – jika tidak confident jangan bawa kereta ke sekolah- jika perlu janganlah bawa kereta masuk sekolah, parkir lah di luar sekolah (“tak nak pulak”). 
Murid-murid jangan diajar double standard kerana nanti kurang ajar jadinya mereka dan tak dengar kata.  Maka bila jadi anak-anak cikgu sekalipun, perlu turun kereta dan lalu pintu kecil (ini kalau pihak sekolah bertegas tindakan mereka betul), pengawas sekolah pun lalu pintu kecil, murid-murid kesayangan cikgu pun perlu lalu pintu kecil.  Satu perkara lagi janganlah jadikan keperluan VIP atau VVIP sebagai input  dalam keputusan yang dibuat.  Buruk benar bila VVIP dan VIP dijadikan justifikasi sesuatu keputusan dibuat.  Selalunya VIP atau VVIP terperangkap dengan imej buruk disebabkan keputusan-keputusan yang berlebih-lebih. Tidak mahupun VIP atau VVIP bawa kenderaan laju masuk ke sekolah. Malah mereka ini berpengalaman dan kesedaran tinggi kalau murid-murid ada di waktu sekolah atau bersesak-sesak di pintu masuk sekolah. Hanya VIP atau VVIP yang gila atau kurang siuman sahaja yang akan tersinggung, atau meradang atau bertindak yang tidak sewajarnya bila masuk pintu utama terpaksa berhati-hati memandu bila masuk sekolah.  Hendak masuk pintu syurga pun kena melewati jambatan siratol mustaqim dengan selamat bila cukup syaratnya.  UCU pun pada satu-satu ketika berperanan sebagai VIP juga dan pada satu ketika yang lain sebagai VVIP – bila pakai bulu penguin (baju kot), baju korporat, atau berlingkar tali leher jakel – maka semuanya ada keistimewaan dan berlebih-lebih pula orang melayannya. Dalam cerita Madu Tiga ada kata, “baik..baik ada makna”.  Itulah fitrah dunia yang sebenarnya boleh dihakis.
Sebenarnya cara tunjuk hormat banyak caranya, budi bahasa dan kemesraan yang jujur dan ikhlas adalah lebih bermakna.  Selalu dengar dalam rancangan Master Chef Celebrity, “memasak dari hati dan kasih sayang”.  Begitulah.  Jadi cikgu-cikgu kenalah setiap keputusan dan pertimbangan tentang peraturan untuk murid-murid itu adalah dengan rasa kasih sayang yang sampai di hati dan kalbu.  Bukan kehendak pentadbiran atau di bibir sahaja.  Memanglah susah tapi hendak tak hendak itulah sepatutnya..yang logik dan syarak. 
UCU masih ingat pengalaman di sekolah dulu, tahun 70an, masa pagi-pagi ke sekolah tidak bimbang untuk lintas  jalan sebab Pak Majid atau Pak Ibrahim atau Pak Isnin akan tunggu di pintu utama sekolah dan melintas kan murid-murid dengan selamat masuk ke sekolah.  Mereka ini tukang kebun sekolah sahaja.  Pak Majid garang tapi tentang keselamatan murid-murid cukup dijaga – dulu UCU tidak suka pada beliau sebab suka membebel dan melarang murid-murid main di parit atau  berlari-lari di bawah bangunan sekolah atau tidak beratur ketika hendak keluar dari pintu utama sekolah.  Tapi kini UCU, “Terima kasih Pak majid, Al-Fatihah”.    Pak Ibrahim dan Pak Isnin pula tidak banyak cakap sangat tapi murah dengan senyuman.  Pak Ibrahim selalu tumpangkan murid-murid ke sekolah dengan beca nya.  Pak Isnin selalu juga tegur murid-murid yang bermain-main tolak-tolak atau berlari-lari di tepi jalan raya, riuh mulutnya menegur.  Pak Husain, peon sekolah yang muka macam sombong tapi baik.  Selalu pelawa murid-murid yang lalu di depan rumahnya untuk petik buah rambutan sebagai sedekah.  Mereka ini kakitangan sekolah yang hebat walau pendidikan formal mereka rendah. Hati mereka mulia.
 Tentang cikgu-cikgu pula, Cikgu Khatijah yang tinggi lampai dan cantik jelita sebagai guru bahasa Malaysia selalu bertanya khabar murid, “..kamu sihat hari ini? Dah sarapan? Bila dah datang sekolah selamat balik nanti pun selamat ya. Berhati-hati naik basikal.  Jalan tepi-tepi di jalan raya. Jalan atas rumput”.   Cikgu Abdullah yang garang dan rambut berjambul rendah selalu kata, “…saya kalau nampak, dapat tangkap sapa-sapa panjat pagar, ikut lubang pagar, ikut pintu belakang sekolah yang  bersemak tu…siap tinggal gigi dengan lidah saya kerjakan.  Pintu depan cantik-cantik  tak nak ikut…suka ikut pintu belakang sekolah yang semak samun dengan adanya ular, becak dan berduri, itu yang suka diikut..apa punya otak macam tu, nak senang aje …ikut lah pintu depan baru lah nama murid sekolah ini ..kasut pun tak kotor”.  Cikgu Wah yang berkulit putih bersih dan seksi (bukan lah pakai pakaian yang menjolok mata) selalu menarik minat murid-murid belajar Geografi, dan selalu menegur, “Anda semua cikgu sayang, cikgu denda sebab anda yang langgar peraturan dan malas  belajar… cikgu tengok ramai murid datang sekolah pun ramai tidak semangat…cikgu selalu perhati anda bila mula masuk pintu depan sekolah lagi, letih, lesu dan tidak  ceria…awak semua kena ceria bila datang sekolah dan belajar rajin-rajin”.  Cikgu Mokhtar, cikgu yang perasaan handsome ke sana ke mari bawa rotan tapi tidak pula pernah merotan murid, bila bercakap dengan nada lembut pada murid yang ditegur, “…awak ni kalau ikutkan hati melelas kulit awak saya libas dengan benda ala ini. Tapi awak ni anak-anak saya, jadi janganlah paksa saya buat macam tu.  Ikut lah kata cikgu-cikgu.  Kalau jangan buat tak usahlah buat…tak perlu ponteng sekolah petik rambutan belakang sekolah tu.  Kalau jumpa saya, saya pun boleh belikan.  Kalau tak cukup jumpa Pak Husain, seguni rambutan dia boleh beri pada awak”.  Cikgu Dahlia yang lawa putih melepak ,  cengih tapi hati baik, “Saya tarik telinga awak ni sebab tak nak dengar kata.  Kalau ikut hati saya, awak ni saya bawa balik jadi anak saya senang saya siang-siang awak. Cubalah awak fikir main-main tolak-tolak tepi parit tu bahaya, baling-baling batu terkena kereta orang kan nanti orang marah, berkejar-kejar di tepi jalan raya kan bahaya. Kalau sekolah kata semua murid tunggu van, bas, beca atau  mak ayah ambil, tunggu sahaja lah depan pintu sekolah jangan lah ke mana-mana. Kan selamat. Pak Majid ada, Pak Brahim  ada. Ini bertabur berlari-lari…apa lah awak ni”.  Cikgu Rahman, cikgu yang selamba rock tapi prihatin, “Hoi, kau orang kalau tak beratur… basikal-basikal, jalan kaki jalan kaki, yang naik bas naik bas,  beca, van, ..kalau tak beratur jangan harap dapat keluar dari pintu sekolah ni..Pak Majid tengok sekali kat jalan tu..biar saya aje yang tengok budak-budak ni…Hoi Bang ini apa ni basikal tidak ada brek, esok pastikan brek ada… hoi  kakak, kain tu esok bawah buku lali yea,…lah yang kau ni benjol dahi dan koyak lengan baju ni kenapa, bergaduh, esok jumpa saya…Mat kau yang pengsan pagi tadi kan esok sarapan tahu…woi Makcik kalau pakai tudung tu  betul-betul walau nak keluar sekolah ni, selagi dalam kawasan sekolah pakai betul-betul, sampai ke rumah lagi bagus.  Bakal mak mentua pun suka… yang ni kenapa pulak kaki ayam, kasut sebelah lagi mana, kena curi..”.  Begitu lah sebahagian cikgu UCU dulu, ramai yang bagus-bagus dan hebat-hebat yang seketika UCU marah juga bila kena denda dengan mereka. Tapi banyak yang UCU sayang mereka.  Begitu juga murid-murid yang lain. Cikgu-cikgu ini terpamer kasih mereka kepada murid-murid walau pada ketika itu berapalah gaji mereka berbanding sekarang.
UCU terkenang juga kata-kata arwah Emak masa UCU bersekolah dulu, “…kau sekolah macam mana, apa cikgu cakap.  Kalau emak cakap tak dengar, cikgu cakap tak dengar. Nak dengar cakap sapa…” .  Arwah Abah pun pernah komen tentang Cikgu sekolah UCU, “ Cikgu-cikgu sekolah tu semua baik-baik, yang nakal dan malas kau orang… Abah kalau cikgu cakap, seratus peratus abah percaya…Pak Isnin dengan Pak Husain pun sama kalau dia orang mengadu hal anak Abah buat hal kat sekolah…jawab ”. Itulah antara hubungan UCU sebagai murid, murid-murid, ibu bapa, guru sekolah dan kakitangan sekolah. Bagaimana dengan sekarang…adakah zaman telah berubah maka segala-gala berubah. Isunya pintu depan sekolah yang tidak boleh dilalui oleh murid sebaliknya murid-murid menggunakan pintu kecil. Banyak perkara yang boleh dikait-kaitkan.  Jika di sekolah anak UCU pintu kecil di penjuru kawasan sekolah iaitu 60 meter dari pintu utama sekolah.  Adakah rasional peraturan yang dikuatkuasakan itu?  Adakah rasional pertimbangan-pertimbangan yang dibuat untuk menguatkuasakan peraturan seperti  itu?  Dan di manakah kerasionalan pertimbangan dan keputusan yang dibuat itu?
Akhir kata dari UCU…kasi sahaja lah murid-murid lalu di pintu utama sekolah habis cerita.

Salam hormat.

-UCU-

Saturday, June 22, 2013

TAHUKAH PENCEMARAN ITU TINDAKAN JIRAN LAH

TAHUKAH PENCEMARAN ITU TINDAKAN JIRAN LAH 
Nilai Impian | Sabtu| 22.06.2013 |3.51 petang| Panas dan Jerebu

Pada hari ini Berita Nasional TV1 mewartakan Nilai, Seremban dan di beberapa tempat lain persekitaran tidak sihat. Jerebu akibat dari pembakaran hutan di Indonesia. Kerajaan Malaysia telah meminta kerjasama jiran Malaysia ini malah “Abang” Malaysia untuk berbuat sesuatu. “Abang” kata perkara ini akan disiasat.  Kemudian iklan kesedaran di TV1 disiarkan tentang  jerebu meminta penduduk Malaysia perlu banyak minum air, cuci muka dan kurangkan aktiviti di luar rumah. Kemudian itu Berita Nasional TV1 menyiarkan secara lintas langsung tentang program Floria, Putrajaya.  Mempromosi dan mengalu-alukan orang datang beramai-ramai ke program tersebut.  Anak UCU tanya, “Tadi berita kata jangan keluar rumah, kurangkan aktiviti di luar sebab jerebu yang tidak sihat. Apa ni Abah. Mana satu yang betul ni”.  UCU pun jawab, “Abah pun confuse”.   

Dalam hal ini, apa yang UCU hendak perkatakan hari ini ialah pencemaran akibatkan daripada tindakan jiran-jiran. Mungkin isu jerebu ini besar isu nasional yang melibatkan kerajaan dan perhubungan luar dua hala. Namun satu isu yang dianggap remeh oleh ramai orang tapi juga isu pencemaran yang berlaku saban hari yang juga hasil pertimbangan tidak wajar dari jiran-jiran. Isu pencemaran yang dibuat sendiri oleh jiran-jiran di taman-taman perumahan.  Contoh, pembuang sampah, pembakaran terbuka secara kecil-kecilan,  majlis karaoke dalam majlis kenduri kahwin atau parti hari jadi sampai ke tengah malam, bunyi alat-alat penyelenggara dan pembinaan rumah, terpekik terlolong, limpahan air basuhan kereta, limpahan air basuhan binatang peliharaan, bunyi mercun, deruman kuat bunyi kereta dan motosikal, bengkel kereta dan motosikal di rumah kediaman, pasang audio radio atau televisyen yang kuat, dan macam-macam lagi.

Pengalaman UCU sendiri, pada hari ini malah sebelum ini pun UCU hadapi masalah pencemaran yang dibuat oleh jiran UCU.  Malah UCU rasa begitu juga jiran-jiran yang lain.  Jiran UCU membuat penyelenggara dan pembinaan tambahan rumah mereka.  Tambahan mana-mana yang patut pada rumah mereka. Tidaklah salah kerja-kerja yang mereka buat untuk capai impian mereka. Tapi kerja-kerja penyelenggaraan dan pembinaan dilaksanakan juga pada hari Ahad dan Sabtu. Dua hari dan masa yang UCU dan keluarga hendak beristirahat di rumah.  Berlaku pencemaran bunyi.  Bunyi dari ketukan tukul, mesin pemotong kayu atau besi, malah yang paling teruk bunyi gerudi (drill).  Dalam suasana begini macam mana hendak beristirahat.  Hendak keluar bersiar-siar dinasihatkan duduk di rumah kerana jerebu.  Tapi duduk di rumah bising dengan pencemaran bunyi pula.  Tidak selesa dan aman.  Kalau hari Isnin, selesa, Rabu Khamis dan Jumaat tidak lah jadi masalah kerana UCU dan keluarga tiada di rumah. Cuma selepas pukul 5.00 petang baru ada di rumah.  Nasib baik kerja-kerja di buat setakat jam 6.00 petang.

Dalam hal ini UCU perhatikan banyak berlaku di mana-mana taman perumahan tentang pencemaran bunyi ini akibatkan tindakan jiran membuat penyelenggara rumah.  Kerja-kerja dilaksanakan pada hari-hari minggu yang di sambut macam hari Sabtu dan Ahad  atau Jumaat dan Sabtu. Lebih meletihkan bila salakan anjing yang tidak henti-henti siang dan malam.  Ada jiran yang bela anjing yang macam kena sampuk asyik menyalak setiap masa.  Hendak bela tapi tidak pandai pelihara dan latih anjing – anjing menyalak mungkin lapar, terikat dan macam-macam payah nak cakap. Kalau malam sekali sekala bolehlah hendak fahamkan juga, paling tidak kata anjing nampak hantu.  Ada jiran yang pula baiki kereta atau motosikal di rumah.  Enjin yang sedang hidup di tekan-tekan minyak, berderum-derum bunyi yang tidak menyenangkan. Kalau buat aduan pada pihak penguat kuasa kerana gangguan maka jiran akan bermasam muka. Jadi macam mana.  Tiada keprihatinan payah lah untuk hidup berjiran.  Adakah aturan hidup ini semuanya hendak ada undang-undang.  Banyak undang-undang pun tidak guna juga kalau tidak dikuatkuasakan.  Penguat kuasa juga bertindak bila ada aduan. UCU tertanya-tanya juga adakah perlu buat aduan kalau terang-terang kejadian di depan mata. Buat lah sedikit rondaan. Nasihatkan sahaja atau hentikan aktiviti yang kurang menyenangkan pada mereka yang kurang isu sivik. Sivik dikuatkuasakan daripada pihak berkuasa dapat kurangkan rasa tidak senang antara jiran dengan jiran yang hari-hari bersemuka.  Orang Malaysia mana suka berterus terang. Banyak cakap berlapik.  Paling-paling main secara ‘halus’. Tidak mahulah sampai peringkat macam ini.

UCU fikirlah kalau bab-bab penyelenggara rumah ini kenalah buat pada hari-hari bukan hari minggu dan tetapkan masa dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang.  Sebelah malam tidak lah usah ada kerja-kerja pembinaan, pencemaran bunyi. Ramai jiran yang hendak beristirahat.  Jiran-jiran yang ada keperluan kepada menghasilkan pencemaran kenalah prihatin kalau ada jiran yang sakit di rumah, kenalah memberitahu mereka tentang sesuatu yang mungkin mengganggu seperti penyelenggara, pembinaan dan sebagainya.  Maka adalah budi bahasanya. Ini kurang bijak yang ramai, main belasah sahaja tanpa hiraukan perasaan jiran.

“Biarlah, jangan pedulikan, nanti gaduh”, kata arwah Emak bila UCU merungut masa anjing jiran menyalak tidak henti-henti siang malam macam kena sampuk. Itulah Emak UCU. 

Abah pula,  “Apa ni, tolonglah gerakkan bas jauh sikit dari rumah ini.  Asap menghala ke rumah.  Tak tahu ker rumah ini ada orang sakit. Bisinglah sama.  Kenalah faham”, UCU masih ingat bila arwah Abah hilang sabar menegur seorang pemandu bas yang hidupkan basnya sambil tekan minyak berkali-kali menderumkan enjin bas. Sebenarnya pemandu bas ini buat hari-hari sebelum ini.  Rumah UCU di kampung berada di sebelah tempat simpanan bas yang beroperasi.  Arwah Abah memang sakit terlantar.  Pada suatu pagi, memandangkan Abah tidak tahan lagak beberapa pemandu bas, jadi dia gagah kan diri bangun dan menempelak pemandu-pemandu tersebut. Nasib baik pemandu-pemandu itu tidak bertindak keterlaluan. Mungkin adalah sikit hormat dalam diri mereka, atau sebelum ini tiada orang menegur pada mereka. 

Arwah Emak dengan arwah Abah memang sangat hormat jiran-jiran. Mereka tidak mahu cari gaduh dengan jiran-jiran.  Malah anak-anak pun Abah larang bermain di rumah atau kawasan jiran-jiran.  Abah lebih menggalakkan anak-anak dan anak-anak jiran bermain di kawasan rumah kami. Emak pula paling mudah dan sinonim dengan kata, “Biarlah tidak usah pedulikan, nanti gaduh dengan dia orang”.  Itu lah kata-kata Emak bila anjing menyalak hari-hari, bila ayam-ayam jiran datang cari makan di kawasan rumah sampai tahi ayam merata-rata di kaki lima rumah, bila orang letakkan kenderaan di kawasan rumah tanpa kebenaran sebab hendak hadir parti atau kenduri kahwin, bila anak-anak jiran-jiran menghalakan mercun terbang ke rumah masa hari raya  atau tahun baru cina dan lain lagi lah peristiwa yang tidak menyenangkan.  Hikmahnya ialah tidaklah keluarga kami bergaduh atau bermusuh dengan jiran-jiran.  Cuma satu UCU tertanya-tanya adakah jiran-jiran fikirkan tentang keluarga UCU.  Atau kesempatan yang mereka ambil dari kebaikan Emak dan Abah.  UCU berpendirian mesti ada cara menanganinya jangan sampai orang pijak ke kepala. Cuma kena fikir dan pilihan yang dibuat perlu berhemah.

Akhir kata dari UCU…jiran-jiran tolong lah fahami jiran-jiran lain…pencemaran itu tindakan tuan-tuan bukan orang lain pun. Bertindak lah secara bijak supaya terhindar dari menjadi kurang bijak.

Salam  jua.

  -UCU-

Monday, June 17, 2013

SATU PERISTIWA MEMBAWA ERTI BELAJAR – MENGAJAR – DIAJAR

SATU PERISTIWA MEMBAWA ERTI BELAJAR – MENGAJAR – DIAJAR
Nilai Impian | Selasa| 18.06.2013 |3.30 pagi| Panas

Allah S.W.T. menciptakan sesuatu peristiwa yang dialami manusia itu untuk direnungi dan dikaji sebagai suatu pengajaran bermakna. Hari ini (Perhatian: Peristiwa ini berlaku pada 17.06.2013 (Isnin) sehari sebelum, bukan pada pagi ini) selepas menghantar anak UCU ke sekolah, UCU singgah ke sebuah kedai makan di Bandar Baru Nilai (BBN). Kedai makan biasa UCU.   UCU suka makan di sini sebab semua makanan yang diniagakan sedap. UCU masuk kedai makan, terus ambil sepinggan nasi, sesenduk pucuk ubi masak lemak, seekor ikan cencaru bakar, sedikit sambal belacan, kicap untuk cicah ikan bakar, dan teh ‘O’ limau ais. Setelah ambil semua luak dan minuman, UCU tercari-cari meja makan. Tengah hari ini ramai pelanggan menjamu selera di kedai ini. Toleh kiri, toleh kanan, UCU ternampak di sudut  kiri kedai masih ada meja dan kerusi kosong.  Tapi UCU kena berkongsi dengan 2 orang pemuda yang sedang makan.  Masa hendak duduk UCU dengan senyuman sapa mereka, “Kosong ker?”.  Salah seorang pemuda tadi dengan senyum juga membalas, “Yea kosong”, sambil menunjukkan isyarat tangan mempersilakan UCU duduk. UCU pun duduk.

Selepas membaca doa makan dan membaca Bismillahirrahmanirrahim UCU meneguk sedikit air teh ‘O’ limau ais dan menyuap nasi ke mulut. “Peh! Sedapnya rasa masakan kampung ni, syukur nikmat dari Allah”, UCU berkata dalam hati.   Sedang elok suapan kali kedua, seorang pemuda duduk berhadapan ke kanan sedikit daripada UCU.  Dia duduk tanpa sapaan, pada 2 pemuda tadi dan pada UCU.  Berkata dalam hati UCU, “Budak-budak muda Malaysia sekarang tak ada budi bahasa, tanyalah dulu, atau senyum paling tidak pada orang sekeliling”.  UCU diam dan terkata juga dalam hati, “Apa pulak aku nak kisah, dia punya hal lah”. 

Selang beberapa minit selepas itu datang tuan punya kedai mengira harga makanan.  Selesai pengiraan dibuat,  beliau serahkan kertas yang tercatat harga makanan kepada UCU sambil berkata, “Kira semuakan”. Rupa-rupanya beliau kira sekali gus harga makanan pemuda yang duduk kemudian tadi.  Pemuda itu kata, “Tidak sekali”.  UCU sambil tersenyum kata pada tuan kedai itu, “Tak apa Bang, saya bayarkan sekali”.  “Maaf lah saya ingat Abang sekali tadi”, kata tuan kedai.  “Ok”, kata UCU.

Lepas itu UCU sambung makan.  “Terima kasih  Bang”, tiba-tiba pemuda itu bersuara.  “Sama-sama, tak apa. Insha’Allah, rezeki awak”, jawab UCU.  Lepas itu wujud perbualan antara UCU dengan beliau.  Menyedarkan UCU kenapa pemuda itu tidak menyapa kerana beliau bukan orang sini (bukan orang tempatan). Ada perasaan rendah diri dan malu menyapa orang tempatan. Sebab segelintir (tapi ramai juga) orang tempatan yang memandang rendah orang luar yang menjadi buruh di Malaysia. Daripada UCU, “Sedar-sedarlah, ‘agung’ masuuuk………… berapa kepada mereka, brother”.  Lebih kurang kata daripada Mat Bangla, Mat/Minah Myanmar, Mat/Minah Vietnam, Mat/Minah Filipina dan Mat/Minah Indon,  “Kerja sini bagus…saya mahu beli tanah, mahu beli lembu, mahu beli rumah”, “…kita cari duit sini sebab sini orang banyak wang. Anak-anak  orang sini tak kerja pun tak apa, mak bapak banyak wang”…Yang menyedihkan bila Bangla berkata, “..adik manisss..mahu ikut boleh..”… Yang remaja dan belia tempatan pula ramai dah bergaya macam artis K-Pop dan liuk lintuk macam Bobo…dan yang berani melampau pula macam Mat rempit…hampeh!!!. Kalau macam ini lah punya remaja dan belia …soalan untuk karang SPM tahun-tahun mendatang ialah masih kah sesuai ungkapan ini di negara ini iaitu “Pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara” bincangkan.

Berbalik kepada cerita tadi, pemuda itu perkenalkan dirinya.  Beliau berasal dari Minang (Minangkabau). Kampungnya di Bukitinggi, Sumatera. Bernama Jafni (bukan nama sebenar dalam cerita UCU ini).  Beliau sebenarnya lahir di Malaysia (Negeri Sembilan), tapi masa bayi lagi, nenek beliau  bawanya ke Minang. Ibunya di sana. Bapanya di Malaysia.   Pernah mohon untuk jadi warganegara Malaysia. Malangnya tiada surat beranak dan bukti beliau dilahirkan di Malaysia. Beliau kerja sendiri sebagai tukang kasut di BBN. Membantu pakciknya.  Pendapatan purata sehari RM100.00.   Berumur 20 tahun.  Fasih berbahasa Melayu campur Bahasa Indonesia. Rupa paras macam Melayu di Malaysia.

Banyak perkara yang dibualkan.  Namun, suatu yang menarik tentang beliau yang UCU hendak kongsi kan di sini ialah bagaimana beliau ingin menyempurnakan impiannya.  Pada permulaan perbualan kami, pengamatan UCU, Jafni ini seorang yang terpelajar dan mempunyai matlamat hidup.  Tekaan dari pengamatan UCU benar. Jafni mengatakan beliau sebenarnya layak untuk masuk ke Universiti di Indonesia.  “Saya ada kelulusan sekolah tarafnya sama dengan SPM di Malaysia”, kata Jafni pada UCU.  “Saya keluarga susah, ibu ada kata boleh adakan uang untuk saya belajar ke Universitas. Tapi saya tolak.  Saya mahu cari wang belanja ke Universitas sendiri” kata Jafni.  Beliau telah ada sijil dalam bidang perkapalan; kata Jafni, “Saya ada certificate perkapalan, tapi kalau kerja dengan itu tidak dapat upah yang lumayan. Mahu bagus kerja dan lumayan upah pastinya mahu ke degree atau jauh lagi untuk pendidikan”. Kini Jafni sedang mengumpulkan wang untuk pembiayaannya ke Universiti, katanya “Saya sedang kumpul wang bikin belanja masuk ke Universitas”. 

Dalam perbualan UCU dengan Jafni, banyak perkara menarik diperkatakan.  Beliau turut mengupas tentang bagaimana seorang jutawan di Indonesia menjadi senang dan berjuang untuk rakyat tempatan untuk menarik mereka menjadi jutawan sepertinya. Jutawan ini seorang Doktor Gigi yang mempunyai perusahaan berkaitan dengan pergigian. Jafni juga nyatakan beliau tidak mahu menjadi ahli politik.  Namun beliau mahu menjadi seorang yang patriotik. Beliau berhasrat untuk membantu penduduk tempatan. Beliau juga mengulas beberapa buku yang dibaca yang menjadi motivasi dan mencorak hidupnya. Beliau juga mengatakan bahawa orang Minang adalah bangsa yang tidak mahu makan gaji tapi suka berniaga. Minang adalah kaum yang kuat beragama Islam dan ibarat akar Islam di Indonesia. 

Menurut Jafni penduduk Malaysia sepatutnya bersyukur kerana boleh dikatakan segala-galanya mewah.   Pendidikan di Malaysia kukuh. Peluang belajar banyak dan terbuka luas.  Penduduk Malaysia mampu mendapat pendidikan yang baik.  Kepada mereka yang kurang berkemampuan akan mendapat pembiayaan sama ada dalam bentuk biasiswa atau pinjaman.  Kerajaan Malaysia sangat membantu rakyatnya.  Di Indonesia berlainan, peluang itu ada tetapi persaingan amat tinggi.  Faktor bilangan penduduk yang ramai, taburan penempatan, geografi dan keutamaan politik memainkan peranan dalam ke bersaingan peluang individu memperoleh pendidikan di Indonesia. 

Jafni menyatakan beliau akan berusaha untuk meningkatkan hidupnya melalui pendidikan. Beliau percaya dengannya. Beliau mendapat nasihat daripada abangnya yang bekerja sebagai buruh binaan… sebagai manusia yang baik adalah belajar, mengajar dan diajar.  “Saya akan usaha kumpul wang, pastikan saya dapat dalami bidang yang saya minati, insya-Allah hidup rezeki yang senang, dan boleh bantu orang lain dan keluarga’.

UCU pun sembang-sembang yang berfaedah dan berikan kata-kata semangat kepada beliau.  UCU kagum dengan semangat yang beliau ada untuk merubah hidupnya dengan pendidikan. Hal ini membuatkan UCU cukup hormat dengan Jafni ini.  UCU kagum juga dengan kematangan beliau berkata-kata dan beliau berfikir sebelum berkata-kata.  Jafni ini zahirnya cuma seorang tukang kasut, tapi sebenarnya seorang anak muda yang terpelajar dan mempunyai wawasan.  Beliau datang di BBN, Negeri Sembilan mencari rezeki.  Rezeki di perantauan orang digali di bawa pulang ke negeri sendiri untuk di belanjakan bagi memperbaiki diri.  Benarlah kata orang, “Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri”.  Bagi UCU, Jafni seorang yang tabah dan UCU mendoakan kejayaan beliau.

Selepas habis bersembang UCU pun membayar harga makanan RM 16.50. Bergerak keluar dari kedai bersama dengan Jafni.  UCU bersalaman dan berjalan ke haluan masing-masing.  Yang terharu beliau cium tangan UCU ketika bersalaman.  “Tak perlu macam ini Jafni”, kata UCU.  Balas beliau, “Mana boleh, saya dapat sesuatu yang baik dari abang. Banyak nasihat dan pengajaran dari Abang walaupun sekejap”.

Sepanjang perjalanan balik, di atas motor SYM, di fikiran UCU bermain-main dengan peristiwa tadi tentang Jafni. Semangat dan usaha beliau untuk mencapai cita-citanya.  Kesukaran beliau untuk melanjutkan pengajian kerana batasan sejumlah wang perbelanjaan bagi UCU agak memeritkan juga.  UCU amati remaja-remaja dan belia-belia di Malaysia yang dapat peluang belajar sangat beruntung.  Tapi mengapa ada segelintir besar yang lalai dan melakukan perkara-perkara yang bagi UCU tidak sewajarnya. Di kalangan yang berada di menara gading terpengaruh dan sangat taksub berpolitik, selalu tidak puas hati, memberontak, berarak tidak tentu hala memperjuangkan perkara yang tersangat ideal bukan realiti sebenar, bermewah-mewahan dengan wang saku dan pembiayaan yang diberikan.  Malah tak tahu lah apa yang terjadi kalau pendidikan diberikan percuma di negara ini.  Mungkin pendidikan mula tiada nilai lagi, kerana senang diperoleh peluang yang diberikan.
 
UCU setuju dengan pandangan Jafni iaitu bukan mahu politik tapi patriotik adalah lebih penting.  Seperkara yang UCU belajar hari ini adalah apa yang diperkatakan oleh abang jafni yang disampaikan dalam perbualan kami iaitu menjadi manusia yang baik adalah “Belajar”, “Mengajar” dan “Diajar”.  Satu konsep yang konkrit daripada seorang yang tiada gelaran Doktor Falsafah pun atau berpangkat bergaji besar. UCU sangat setuju.  Malam ini UCU akan fikir-fikirkan dengan mendalam cetusan konsep ini..mungkin suatu hari nanti UCU akan menulis buku tentang konsep BELAJAR, MENGAJAR dan DIAJAR untuk menjadi insan yang baik di muka bumi ini. 

Dalam  hal ini juga UCU ingat pesan arwah emak, “…Belajar betul-betul, bila dah pandai boleh masuk U (Universiti)  lepas tu boleh kerja gaji empat angka”. Arwah abah juga pernah kata “…dalam kelas dapat nombor 1, nombor 2 bagus, tapi perangai kenalah baik juga”, kata abah lagi “…pergi sekolah belajar bukan main”.  Bagi UCU arwah emak dan arwah abah sangat pentingkan anak-anaknya belajar.  Cuma mungkin mereka tiada dapat pendedahan. Pada ketika itu ahli-ahli keluarga terdekat belum ada yang berjaya hingga ke menara gading dan kerja bergaji besar.  Maka arwah emak dan abah terbatas cara bagaimana mereka mengaturkan dan mencorakkan anak-anaknya dalam pendidikan.  Apa yang mereka buat, malam anak-anak disuruh baca buku. Televisyen hanya boleh tonton pada hari cuti.  Dulu tiada tuisyen. Malah perkhidmatan tuisyen adalah kos atau suatu yang membebankan keluarga. Hal ini kerana pendapatan yang kecil yang diutamakan perbelanjaan asas seperti makanan dan pembayaran bil-bil seperti air, elektrik, cukai dan rutin lain. “Gaji abah dulu RM200 aje, cukup untuk besarkan kau orang semua…”, kata arwah emak pada satu ketika dulu. Suatu perkara yang kadang-kadang terpacul dalam fikiran UCU, iaitu kata keramat arwah emak, “..belajar untuk jadi orang…”.  Kata keramat arwah abah pula, “…saya tidak tinggalkan apa-apa untuk anak-anak, kecuali pendidikan yang mereka dapat”.  Malam ini UCU menguatkan tekad akan belajar dan terus belajar sama ada secara formal dan tidak formal…UCU perlu BELAJAR, perlu MENGAJAR, dan perlu DIAJAR untuk menjadi insan yang baik…semoga UCU sentiasa dipertunjukkan ke jalan yang lurus.


Akhir kata dari UCU … Memburu Impian:


Ku jejak
jalan yang berliku
membara jiwa ku
memburu impian

Ku renang lautan gelora
biarpun tersadai
di hujung dunia
akan ku tempuhi segala rintangan
biarpun rebah ku bangun sendiri

Akan ku genggam biarpun hitam
menjadi milik mu...

Ku mula
dengan langkah ini
menuju sinaran abadi



Salam kemaafan jua.

  -UCU-

Monday, June 3, 2013

SANA ROKOK, SINI ROKOK, SANA PEROKOK, SINI PEROKOK

SANA ROKOK, SINI ROKOK, SANA PEROKOK, SINI PEROKOK
Nilai Impian | SELASA| 4.06.2013 |1.54 Pagi| Panas

Di Malaysia ada rokok dan ada perokok. Memanglah dan itu semua orang pun tahu. Tapi yang sibuk-sibuk dari dulu sampai sekarang cerita tentang rokok kenapa pula? Dari UCU sekolah darjah satu tahun 70an hingga umur UCU ke senja ini pada abad ke 21 masih ramai pihak yang bercakap tentang rokok. Pi mai pi mai tang tu juga.  Dalam hal ini UCU hendak kongsi juga pandangan tentang cerita rokok yang tak lekang dek panas dan tak lapuk dek hujan.
Rokok? Rokok okay. Rokok tidak lakukan apa-apa. Rokok duduk diam saja. Rokok tidak kacau orang. Kalau lilin membakar dirinya untuk menerangi orang lain.  Rokok bakar dirinya juga untuk memberikan suatu rasa kepuasan kepada orang lain juga.  Rokok tidak membunuh manusia.  Tapi sikap yang tidak betul, kesedaran yang dinafikan, dan pengetahuan yang tidak digunakan dalam pertimbangan yang menjadi pilihan manusia untuk menjadikan rokok sebagai alat kepuasan untuk membunuh diri mereka secara perlahan-lahan. Namun, rokok banyak jasanya kepada masyarakat setempat.     Rokok menyumbang kekayaan kepada pengusaha, meningkatkan pungutan cukai dalam sektor peruncitan,  dan seterusnya meningkatkan ekonomi negara. Namun kenapa rokok perlu dipersalahkan dan ada puak anti rokok. Contohnya dalam kempen – “rokok membahayakan kesihatan”, “rokok punca barah”, “rokok punca keguguran” dan sebagainya…betulkah rokok yang buat demikian.  Kasihan rokok.  Walhal rokok tidak buat apa-apa pun. Rokok kalau lah boleh berkata-kata akan bercakap kepada manusia; “rokok tiada kalau tiada pengusaha rokok, pengusaha rokok tiada kalau perokok tiada”… “guna akai lah brother”.  Senang cakap, “kenapa lah salahkan rokok”.
Bagaimana pula dengan perokok? Perokok tidak okay. Perokok menyumbang kepada pencemaran persekitaran dan menguji tahap kesabaran orang di sekelilingnya daripada marah…jadi Hulk! Perokok sangat melata. Lelaki merokok. Perempuan merokok. Tua merokok. Muda merokok. Dewasa merokok. Remaja merokok. Kanak-kanak merokok. Pekerja merokok. Pelajar pengajian tinggi merokok. Murid sekolah merokok. Menteri merokok. Bukan menteri merokok. Pegawai tinggi kerajaan merokok. Kerani merokok. Peguam merokok. CEO merokok. Ahli-ahli parti pemerintah merokok.  Ahli-ahli parti pembangkang merokok. Budak pejabat pun merokok. Jururawat merokok. Polis merokok. Kastam merokok. Imigresen merokok.  Tentera merokok. Jejaka kacak merokok.  Perempuan-perempuan cantik dan seksi pun merokok. Datuk merokok.  Nenek merokok. Bapa merokok.  Ibu merokok. Cikgu merokok. Banduan merokok. Pengemis merokok. Orang kurang upaya (OKU) pun merokok.  Ahli korporat merokok. Petani merokok. Iman merokok. Bilal merokok. Pak Haji merokok. Pelacur merokok. Gay merokok. Biseksual merokok, orang gila merokok…. Boleh kata mana-mana tempat boleh kita lihat perokok. Toleh kiri ada perokok. Toleh kanan ada perokok. Toleh belakang ada perokok. Toleh depan ada perokok. Pusing 360 darjah pasti dapat lihat perokok-perokok. Perlakuan pula, boleh lihat juga perokok mencampakkan puntung rokok.  Perokok menjentik batang rokok untuk menaburkan abu rokok.  Perokok meninggalkan puntung rokok dalam cawan, gelas, pinggan makan, pasu bunga, parit, kaki lima, tong sampah dan sebagainya.  Lebih tragik lagi bila bara rokok yang di cucukkan kepada anak, bini, suami atau individu lain yang di dera. Setakat ini asap berkepul-kepul keluar mulut atau hidung perokok.  Belum ada lagi kreativiti perokok menghembuskan asap dari lubang-lubang seperti liang roma, lubang telinga, mata, pusat, xxxxx, xxxxx dan lain-lain lubang dari anggota badan mereka. Perokok puas tapi orang yang terpaksa menghidu atau diselubungi asap rokok… “ya rabbi”… ada yang menyumpah dalam hati…paling tidak…”tak sukalah”.
Kalau hendak ceritakan tentang adab dan peradaban tentang perokok dengan yang bukan perokok ini banyak. Boleh perhati lah hari-hari di kedai makan, kedai makan mamak, kedai tom yam, hotel, rumah, pasar, kompleks beli-belah, masjid, di tangga-tangga bangunan pejabat, ruang legar pejabat, majlis kahwin, malah di kawasan parlimen sendiri.  UCU ceritakan sikit beberapa kes yang terkena pada batang hidung UCU sendiri seperti di bawah:
Kes 1:  Petang semalam UCU pergi makan dengan isteri UCU di sebuah kedai makan di Bandar Baru Nilai.  Di sebuah kedai makan nasi kandar yang agak terkenal juga.  Ramai orang makan di kedai makan nasi kandar ini.  Lepas ambil makanan UCU dan isteri cari tempat duduk yang bersih.  Jadi ada lah meja makan kosong di satu sudut yang agak selesa.  Lihat kumpulan pelanggan yang berdekatan duduk sedang asyik makan sambil berbual dan gelak ketawa. Tidak seorang pun yang merokok dan lihat mangkuk habuk rokok pun tiada di atas meja mereka.  Jadi meja makan pilihan UCU dan isteri memang sesuai.   Kipas di siling ligat berpusing laju. Kiranya nyaman lah juga kerana tidak rasa bahang panas tengah hari.  Tidak sampai 10 minit UCU makan, tiba-tiba kelihatan habuk rokok berterbangan di atas meja makan UCU.  UCU lihat kiri dan lihat kanan, tidak ada pula orang merokok.  Bila  toleh ke belakang, lebih kurang setengah kaki jarak dari leher UCU terpacak megah rokok di jari seorang perokok di belakang UCU.  Tiga pemuda baru selesai makan sedang berselera pula menyedut asap dan menghembus asap rokok.  Jari-jari mereka seronok menjentik-jentik batang rokok mereka.  Jadi habuk berterbangan lah.  UCU bersabar untuk marah sebab mereka tiga orang.  Silap-silap bertindak lebam muka UCU atau masuk ICU.  UCU dengan sopan berkata, “Maaf Bang habuk rokok terang ke meja kami.  Kami sedang makan”.  Pemuda yang betul-betul belakang UCU itu tadi tidak jawab apa-apa pun, minta maaf pun tidak, beri maaf pun tidak (sebab UCU ada kata minta maaf).  Dia cuma sebut “uhh!” saja dan betulkan kedudukannya dan bawa tangannya yang memegang rokok ke hadapannya menghala ke pinggan makan beliau…selamba saja.  Dalam hati UCU, kalau UCU macam Bruce Lee mahu UCU ketuk kepala dia.  UCU hendak dengki juga dia…UCU hendak kentut perlahan tapi niat itu UCU hentikan (Tuhan tidak izinkan agaknya).  Lepas itu meja makan sebelah kiri UCU pun sekumpulan budak  muda - 2 budak lelaki 2 perempuan - mula berkepul-kepul di meja mereka dengan asap rokok.  Budak lelaki lah yang hidup rokok.   UCU dengan isteri cepat-cepat makan dengan tujuan hendak selesai makan cepat.  Tapi mereka semua selesai dan bangun dulu.  Mereka ini perokok yang betul-betul tidak ada otak dan sikap tidak betul (senang cakap kurang ajar).  Puntung rokok  di buang ke lantai.  Habuk rokok bertaburan  di lantai.  Di meja belakang dalam pinggan dan gelas dibuangnya puntung rokok mereka.  Yang UCU faham dia orang ini otak di lutut dan pentingkan diri sahaja…lagak tidak bertempat.  Kemudian datang pekerja kedai makan mengemas dan menyapu habuk-habuk rokok.  UCU boleh kata kedai makan ini pun satu juga, tidak tampal tanda di larang merokok di kedai mereka.  Yang UCU faham banyak kedai macam ini kerana bimbang pelanggan akan lari atau takut perniagaan tidak laku.  Tapi kedai ini UCU tengok pekerja lelaki  pun merokok. Maka dua kali lima lah… UCU fikir lah pihak penguat kuasa patut keluarkan arahan semua di premis makan tidak dibenarkan sama sekali merokok.  UCU rasa tidaklah susah sangat pun. Lepas itu pantau lah…dengan buat teguran kepada pemilik kedai kerana membenarkan pelanggan merokok (kalau lagi ekstrem kompaun dikenakan)  dan tegur lah pada perokok kerana merokok di tempat yang tidak dibenarkan… susah kah…Singapura (adik bongsu nakal Malaysia) boleh buat kenapa Malaysia (abang) tidak boleh buat…di Singapura lagi strict gula-gula getah pun tidak boleh makan.  Realisasikan lah semangat Malaysia Boleh!... bukan Malaysia Boleh ker?
Kes 2:  UCU sama isteri, emak mentua dan bapa mentua pergi makan di sebuah kedai makan mamak di Melawati, Ampang.  Kami baru pulang dari menziarahi kematian.  Masuk kedai mamak kami cari tempat yang sesuai untuk duduk makan. Sebuah meja makan panjang yang memuatkan 8 orang jadi pilihan kami.  Kebetulan walaupun orang ramai tapi kami bernasib baik kerana ada meja kosong ketika itu. Kami pun duduk.  Pesanan hidangan sampai, kami pun makan sambil berbual-bual.  Lebih kurang 10 minit kami mula makan seorang lelaki dengan anak lelakinya yang lebih kurang berumur 6 tahun duduk sebelah bapa mentua.  Beri salam pun tidak, senyum pun tidak, menyapa kami pun tidak.  Duduk dengan muka selamba. Tidak lah salah, lantak lah dia dengan hal dia, memang pun 2 kerusi itu kosong. Lepas itu dia keluarkan kotak rokok dari kocek bajunya dan keluarkan sebatang rokok lalu menghisapnya.  UCU perhatikan sahaja.  Tengok kan muka dia bila sedut asap rokok dan hembuskan rokok cukup puas bagi dia.  Dia pun tanya juga pada anaknya hendak makan apa. Anaknya geleng kepala. Hembusan asap kali ketiga, UCU tengok emak mentua dan isteri UCU mula tidak selesa.  Bapa mentua UCU buat tidak endah sahaja.  Perokok ini buat tidak tahu sahaja.  UCU jadi hangat bila dia jentik batang rokok untuk buang habuk rokok dalam bekas habuk rokok.  Berterbangan habuk menghala kepada bapa mentua dan emak mentua.  Begitu juga kepada UCU dan isteri.  Muka perokok masih selamba sahaja. UCU terus bangun dan bergerak ke belakang bapa mentua dan berbisik kepada perokok tadi.  UCU cakap “Maaf tuan, tuan dah kurang ajar dengan kami, tapi saya tidak lah mahu kurang ajar dengan tuan.  Asap rokok dengan habuk rokok tuan mengganggu kami tuan perasaan tidak.  Kalau tuan mahu terus duduk di sini baik tuan jangan hisap rokok.  Kalau tuan hendak terus merokok pergi lah ke meja depan sana.  Jangan lak nanti tuan malu dengan anak tuan. Dan saya malu dengan bapa dan emak mentua saya”.  Perokok tadi tengok muka UCU.  Muka dia merah…marah lah.  Tapi dia diam sahaja.  Dia terus bangun dan pimpin tangan anak dia dan terus jalan.  Lepas tu UCU terus balik semula ke tempat duduk dan sambung makan.  UCU tengok bapa mentua dan emak mentua UCU macam tidak tahu apa-apa, agak tidak perasaan apa yang sedang berlaku.  UCU tengok ada tanda melarang merokok dalam kedai itu.  Tapi pengurus atau pekerja mungkin takut menegur mereka yang merokok atau tanda itu tiada beri makna pada mereka. Pernah juga UCU tengok seorang pekerja di kedai mamak kena maki dengan sekumpulan pemuda kerana melarang mereka merokok…”Apa! Apa! kau bukan orang sini jangan nak tunjuk lagak.  Kau dengan kedai-kedai ni aku bungkus campak ke negara kau.  Kau cari makan sini kau nak tunjuk sial”… pekerja itu diam dan terus berlalu.  UCU dapat perhatikan juga pekerja itu ditarik ke belakang kedai dan kena marah pula dengan pengurus kedai. Pekerja itu mampu geleng-geleng kepalanya sahaja.  Kumpulan pemuda bersahaja duduk di meja selamba sahaja macam tidak ada apa-apa berlaku, malah lagi bising bercakap dan ketawa terbahak-bahak yang dibuat-buat.  Begitu lah…jadi macam mana hendak tegakkan kebenaran di negara ini di kalangan rakyat yang di ketahui dunia sebuah masyarakat berbilang kaum yang berbudi bahasa.
Kes 3:  UCU masih ingat masa itu UCU sekolah darjah 5 di sekolah rendah.  Peristiwa tahun 70an / 80an yang tidak dapat dilupakan ialah bila Cikgu XXX minta anak-anak murid belikan rokok untuknya pada waktu rehat sekolah.  Beliau akan beri duit harga rokok dan lebihkan sikit sepuluh sen upah pada murid yang beli rokok. Murid-murid lelaki cari sahaja peluang untuk belikan rokok untuk Cikgu XXX waktu rehat sebab dapat upah sepuluh sen.  Siapa yang dapat belikan Cikgu XXX rokok dan dapat upah sepuluh sen punya lah rasa bangga dan habis hatilah pada hari itu. Pada suatu hari UCU dipanggil Cikgu XXX di sudut kantin untuk belikan dia rokok. UCU punya lah seronok. Misi UCU pada hari itu di waktu rehat sekolah ialah belikan Cikgu XXX rokok dan lebih hebat dapat habuan sepuluh sen. Sepuluh sen masa itu besar nilainya. Boleh beli satu mee siput berkuah dan air krim Malaysia atau sebungkus nasi lemak (3 kali suap), air sirap cincau sebungkus atau 2 tauhu sumbat  atau beli segulung peletup pistol mainan (pistol letop-letop – terkenal pada masa itu).  Masa itu manalah terfikir soal bahaya atau keselamatan.  Malah keluar dari kawasan sekolah masa waktu sekolah tidak dibenarkan oleh pihak sekolah Jauh kedai dengan sekolah lebih kurang satu kilometer. Tapi kereta masa itu tidaklah banyak, sesebuah kereta lalu di jalan raya selang 10 minit sebuah yang lalu.  Itu pun kereta Fiat lama, Nissan lama, dan Volkswagen lama (kereta katak) dan Volvo. Masa tu Proton Saga, Wira, Waja, Perdana, senang cakap jenama nasional jauh sekali, malah tidak terfikir pun akan ada kereta nasional ini pun. Lori dan bas pun selang satu jam baru ada.  Pengawas sekolah pun tidak berani tangkap sebab tugasan Cikgu XXX.  Malah Cikgu XXX adalah guru pengawas. Lebih-lebih lagi pengawas pun kadang-kadang Cikgu XXX suruh belikan dia rokok. Pernah nampak seorang budak kena tangkap oleh Cikgu lain, lepas budak itu jelaskan Cikgu tadi sengih saja dan lepaskan.  Kalau Guru Besar kesan pun pasti punya tidak “kantoi” sebab mereka berdua ‘geng’.  Cikgu Guru Besar pun bukan ambil tahu sangat… denda cubit pulas bahagian tetek (lelaki bukan perempuan), kalau perempuan cubit di lengan.  Lempang ikut suka. UCU pernah kena cubit pulas di tetek, ‘mak datuk’ sakit tapi UCU tidak bersalah kerana UCU cakap betul dan jujur.  Hukuman yang dikenakan pada UCU pada masa itu tidak sah sebab UCU tidak datang sekolah untuk hari gotong-royong sebab pada hari yang sama arwah Abah sakit masa itu.  UCU cakap, “Abah saya sakit cikgu”, Cikgu Guru Besar ini balas, “Abah awak sakit, jadi awak jadi doktor lah”…tidak sempat hendak cakap dalam hati menjerit “aduh!” kerana tetek telah dipulas. Sekarang kalau di kenang tindakan itu, UCU akan berkata dalam hati, “apa lah pun Cikgu macam ini, kena maki sia-sia dengan anak murid”.   Berbalik cerita beli rokok tadi, misi UCU berjaya pada masa itu dengan jayanya dan dapat sepuluh sen. Selepas puas susup keluar dari pagar sekolah, lalu denai semak samun, dan berlari ke kedai dan berlari balik ke sekolah kerana takut waktu rehat tamat.   Hari itu UCU makan besar, 2 tauhu sumbat UCU dapat beli di kantin.  Itu lah masalah perokok walaupun seorang Cikgu…pentingkan diri dan tidak tahu keselamatan anak orang lain dan disiplin murid.  Kalau diperhalus kan kini, abah UCU sendiri tidak pernah hendak suruh beli rokok walau dia seorang perokok tegar. Jangan kata beli, sentuh rokok pun tidak dibenarkan.
UCU bukan lah mengecam perokok.  UCU sendiri mempunyai kawan-kawan merokok.  Hampir 85% kawan UCU adalah perokok.  Terdapat abang dan anak-anak saudara UCU yang merokok.  UCU harap mereka adalah perokok yang berhemah. Cuma macam mana hendak kata perokok yang berhemah…tiada model atau kajian.  Pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian kesihatan sendiri tidak dapat tunjukkan model perokok berhemah, orang-orang ternama dan orang-orang besar pun tidak dapat tunjukkan model perokok yang berhemah. Kalau tengok lagak arwah abah UCU mungkin boleh fikir-fikirkan…UCU tengok abah tidak pernah merokok dalam rumah dan bilik tidur.  Abah selalu merokok di tangga rumah.  Itu pun malam.  UCU pernah ikut abah ke pejabat dia, dia merokok di belakang pejabat di pokok-pokok bunga. Abah buang puntung rokok dalam parit yang airnya berarus. Abah tidak pula merokok dalam kumpulan. Tidak pernah UCU tengok Abah minta rokok pada orang lain.  Abah juga tidak merokok depan orang tua-tua. Abah berhenti merokok bila dia mula sakit … kalau tidak salah UCU pada tahun 1980. Pesanan arwah abah yang selalu arwah emak ingatkan pada anak-anaknya ialah “jangan jadi macam saya, anak-anak jangan merokok”.  UCU sampai sekarang tak merokok kecuali adalah lah sekali dua sedut asap rokok resdung untuk tujuan perubatan.
Satu lagi UCU tertarik lihat perokok-perokok di Jepun.  Bukan pujian. Hanya berkongsi apa yang UCU lihat.  Perokok-perokok Jepun tidak lagi merokok merata-rata. Mereka pun tidak buang habuk rokok merata-rata.  Bila hendak buang puntung atau habuk mereka akan buang dalam bekas pembuang rokok yang mereka bawa ke sana ke mari. Kalau buang puntung rokok mereka akan buang dalam bekas yang disediakan.  Mereka tidak menghembuskan asap depan orang atau berdekatan orang.  Cuba tengok dalam filem-filem Jepun atau Korea.  Ada tidak adegan-adegan perokok walaupun samseng atau kumpulan gangster …jarang sekali. Kumpulan beruniform di Jepun, mereka langsung UCU tidak nampak yang merokok… polis, bomba, tentera, kastam, imigresen, atendan hospital, pegawai keselamatan, pemandu teksi … tak ada UCU lihat sama sekali mereka merokok.  Itu bukan negara Islam tapi mereka cukup beradab dan menghormati hak orang lain dalam soal rokok ini.
Celoteh sudah banyak… jadi macam mana hendak hapuskan fenomena merokok ini suatu perkara yang tidak mustahil.  Rokok tidak ada bila tembakau tidak ada. Rokok tidak ada kalau pengusaha rokok tidak ada. Rokok tidak ada bila tiada perokok. Perokok tidak ada bila semua perokok mati.  Perokok tidak ada bila rokok tidak ada. Orang bijak pandai kata berikan kesedaran dan ilmu pengetahuan untuk memberi tahu rokok adalah berbahaya.  Persoalannya berkesan kah?  Atau mesti ada soal pengukuhan negatif.  Contoh, bagi penjawat awam mereka tidak boleh merokok , calon pengambilan baru pastikan tidak merokok, pengesahan jawatan mesti pastikan mereka bersih dari merokok, perokok yang sedia ada dalam perkhidmatan mesti melalui program pemulihan hingga mereka tinggalkan tabiat merokok…jadi orang yang besar-besar juga tidaklah boleh merokok termasuk paip atau cerut…ekstrem sangat kah?  Mana lebih ekstrem, perhabiskan duit rakyat buat poster, periklanan, dan tajaan untuk program kempen kesedaran yang tidak tahu perokok akan sedar; atau perhabiskan duit rakyat buat tindakan ekstrem yang kesannya lebih berimpak dan pasti ramai menuruti walau mungkin mendapat penentangan…mungkin kononnya hak asasi manusia.  Tapi orang yang terpaksa sedut asap walau tidak merokok dan melalui hari-hari persekitaran yang kotor dengan habuk rokok mana pula hak asasi manusianya.
Rumusannya, UCU ikut pesan arwah abah “jangan merokok”, dan jangan lah hendak panjang-panjang berbahas memang semua orang tahu merokok itu tidak bagus untuk kesihatan…dan… “ada aku kisah kau hisap rokok, tapi jangan susahkan orang lain brother…betul kan sister?”
Salam hormat jua.

-UCU-